Sabtu, 5 March 2022 | 8:30am
Zizi menghasilkan single Pijak dihasilkan berdasarkan pengalaman dilalui sepanjang bergelar anak seni. - Foto Ihsan Universal Music
Zizi menghasilkan single Pijak dihasilkan berdasarkan pengalaman dilalui sepanjang bergelar anak seni. - Foto Ihsan Universal Music

'Biar dipijak, usah mengalah'

KUALA LUMPUR: Lebih lima bulan melayari bahtera perkahwinan, Zizi Kirana, 37, mengaku kini lebih bahagia.

Perasaan itu jelas terpancar pada wajah penyanyi dan pelakon ini setiap kali berkongsi mengenai suaminya, pelakon, Yusuf Bahrin.

Sekalipun diusik belum dikurniakan rezeki cahaya mata, Zizi atau nama sebenar, Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil masih mampu menjawab pertanyaan dengan nada ceria.

Zizi tidak pernah melenting jauh sekali tertekan apabila diaju pertanyaan mengenai zuriat.

"Itu memang antara soalan yang sering diterima. Secara jujur, saya tidak pernah tertekan. Sama seperti dahulu, orang selalu bertanya bila hendak berkahwin kerana makin tua.

"Sekarang, orang bertanya pula, bila hendak ada anak? Jawapan saya sama seperti dahulu. Semua itu bukan kerja saya.

"Saya cuma boleh berusaha dan yang menentukannya adalah Allah. Kalau ada rezeki, ada, kalau tiada rezeki, kita cuba lagi," katanya kepada BH Online.

Andai dikurniakan cahaya mata, Zizi tidak pernah berhasrat meletakkan noktah kepada karier nyanyiannya. Namun, ramai menganggap Zizi berhenti menyanyi selepas mendirikan rumah tangga pada 19 September lalu.

Zizi berkata minatnya terhadap muzik mendapat sokongan suami. Malah, Yusuf minat menyanyi, cuma enggan menjadikan bakat itu sebagai karier.

"Ramai tidak tahu suami saya boleh menyanyi. Selama hidup solo, saya tidak pernah mempunyai set karaoke di rumah. Namun, selepas berkahwin, kami ada set karaoke kerana Yusuf suka menyanyi.

"Untuk pengetahuan ramai, suami suka lagu hindustan dan pemuzik berkumpulan. Ini berbeza dengan saya yang sukakan lagu nusantara.

"Insya-Allah kalau ada rezeki, mungkin saya akan menerbitkan lagu duet bersamanya. Tetapi kena pujuk kerana dia segan menyanyi di hadapan orang ramai," katanya.

Zizi berkata, pada awalnya, dia berhasrat menampilkan Yusuf dalam muzik video single baharu berjudul Pijak. Namun, hasrat itu tidak kesampaian.

"Saya ajak Yusuf tampil dalam video muzik kerana selama ini, saya tidak pernah menampilkan pasangan dalam klip diterbitkan.

"Suami sudi menjayakan projek itu jika dia kelapangan. Namun, ketika kami merakamkan muzik video Pijak, suami terikat dengan penggambaran.

"Dia hanya sempat datang ke set penggambaran video muzik Pijak untuk memantau sahaja," katanya pada sidang media pelancaran single Pijak di pejabat Universal Music Malaysia di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Andai dikurniakan cahaya mata, Zizi tidak pernah berhasrat meletakkan noktah kepada karier nyanyiannya biarpun dianggap berhenti menyanyi selepas mendirikan rumah tangga. - Foto Ihsan Universal Music
Andai dikurniakan cahaya mata, Zizi tidak pernah berhasrat meletakkan noktah kepada karier nyanyiannya biarpun dianggap berhenti menyanyi selepas mendirikan rumah tangga. - Foto Ihsan Universal Music

Berkongsi lanjut mengenai single ciptaannya bersama Navigator dan Mambang, Zizi berkata, lagu itu adalah kesinambungan kepada single Eh yang menceritakan pihak yang suka mengambil kesempatan atas kebaikan dan kelemahan orang lain.

Biarpun kedengaran sinikal, Zizi menambah, lagu itu tidak dituju kepada mana-mana individu, sebaliknya, sekadar nasihat dan pedoman buat dirinya.

"Lagu Pijak bercerita mengenai perangai orang yang suka mengambil kesempatan, membuli, melakukan penyeksaan mental, merendahkan orang dan seumpamanya.

"Lagu ini adalah untuk memberi semangat dan nasihat. Biarpun orang pijak kita, kita jangan mengalah. Namun, janganlah kita pijak balik.

"Biar takdir Allah yang membalasnya. Saya selalu dengar cerita orang kena buli. Jadi, bila dengar lagu ini, mereka tidak patah semangat," katanya.

Namun, Zizi tidak menafikan single Pijak dihasilkan berdasarkan pengalaman dilalui sepanjang bergelar anak seni.

"Saya jumpa ramai orang. Jadi, banyak pengalaman yang saya lalui. Apa yang saya belajar daripada perjalanan hidup ini, saya sering dinasihatkan untuk belajar cakap 'tidak'.

"Bukan bermaksud melawan, namun, ada masanya kita perlu cakap 'ya' dan ada ketikanya, 'tidak'," katanya.

Dalam teruja memperdengarkan karya baharu, Zizi mengaku gementar memikirkan penerimaan peminat dengan imej berbeza yang lebih sopan.

"Saya banyak bertanya kepada pengurus dan suami mengenai lagu ini. Persoalan itu sentiasa bermain dalam kepala.

"Namun, mereka sokong dan beri semangat. Mereka mengingatkan mengenai diri saya sebelum ini yang berani. Jadi, dengan mengambil semangat itu, saya langgar saja.

"Namun, pada masa sama, sebagai isteri orang, saya kena tahu batasan. Saya tidak boleh terlalu berseronok. Alhamdulillah, pasukan saya memahami.

"Apa yang penting adalah cerita di sebalik lagu itu," katanya.

Berita Harian X