Khamis, 24 Februari 2022 | 5:00pm
Aqish nafi mempunyai masalah bipolar dan kecelaruan personaliti, sebaliknya keadaannya berpunca disebabkan rentak sekeliling. - NSTP/Aziah Azmee
Aqish nafi mempunyai masalah bipolar dan kecelaruan personaliti, sebaliknya keadaannya berpunca disebabkan rentak sekeliling. - NSTP/Aziah Azmee

Rindu sudah mati...

KUALA LUMPUR: Siapa sangka, di sebalik senyuman sentiasa terukir di wajah dan tutur bicara penuh santun, tubuh kecil milik pelakon remaja, Puteri Balqis Azizi, 15, sarat memikul bebanan yang mungkin tidak mampu dipikul golongan dewasa.

Satu demi satu kemelut yang mengheret dirinya ke kancah kontroversi hingga menjadi buah mulut ramai, namun, semua itu tidak pernah membuat Balqis atau lebih mesra disapa Aqish menyerah kalah.

Tidak mungkin Aqish pejam mata atau memekakkan telinga apabila maruah ibunya dipijak-pijak sesuka hati. Demi harga diri, bintang cilik yang pernah diangkat Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Televisyen Asia Ke-19 di Singapura pada 2014 itu bangkit mempertahankan harga diri wanita kesayangannya itu.

"Apabila ibu dikecam dan dituduh penagih, sudah tentu saya perlu pertahankannya. Saya anaknya, tak mungkin saya hanya mampu memandangnya.

"Walaupun ada yang mengatakan tindakan saya menjengkelkan, namun, kalau bukan saya siapa lagi yang harus membela nasib ibu? Dia segala-gala buat saya.

"Selama ini, kami tidak pernah mengganggu hidup orang lain. Jadi, kenapa nak lemparkan tuduhan tidak berasas?

"Apabila bersikap lantang menyebabkan saya dilabelkan suka memberontak. Jujurnya, saya tidak begitu gemar dengan gelaran ini, tetapi apabila difikirkan semula, biarlah...," katanya kepada BH Online.

Tambahnya, ada juga yang salah sangka dengan keadaannya apabila menuduhnya mempunyai masalah bipolar dan kecelaruan personaliti.

"Mereka salah tafsir dengan keadaan saya. Bila masa saya ada penyakit bipolar atau kecelaruan personaliti. Saya jadi begitu kerana rentak sekeliling.

"Saya perlu menjadi seorang yang matang kerana tidak mahu diri dipijak-pijak. Tetapi, dalam kehidupan seharian, saya menjadi masih individu yang sesuai dengan usia saya," jelasnya.

Dibesarkan tanpa kasih sayang ayah turut menjadikan semangat pelakon drama Akulah Balqis dan Andainya Takdir itu kental dalam menghadapi ujian mendatang.

Gambar kenangan Aqish bersama ibu bapanya ketika memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Televisyen Asia Ke-19 di Singapura pada 2014.
Gambar kenangan Aqish bersama ibu bapanya ketika memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Televisyen Asia Ke-19 di Singapura pada 2014.

Malah, Aqish akui, tiada sekelumit rasa rindu terhadap lelaki yang sudah lima tahun meninggalkannya dan tidak lagi ditemuinya itu.

"Sejak ayah menghilangkan diri, saya tiada keinginan langsung bertemu dengannya, jauh sekali mahu mengungkap perasaan rindu.

"Jujurnya, saya ingin menjauhkan diri daripada ayah. Antara kami memang tiada keserasian.

"Saya juga tidak memerlukan ayah. Ini kerana ibu adalah ayah saya," luah pelakon yang pernah muncul dalam video muzik Anuar Zain menerusi lagu Andainya Takdir ini.

Pada pertemuan itu, Aqish turut menjawab dakwaan netizen menuduh akidah terpesong hanya kerana penampilannya yang agak daring, suka memakai skirt pendek dan berstoking panjang berwarna hitam yang dihiasi corak tengkorak seperti perkongsiannya dalam laman Instagram (IG).

"Apa yang dipakai sekadar fesyen. Saya cuma mahu kelihatan estetik. Dan itulah juga cara saya menghadapi situasi yang berlaku di sekeliling.

"Lagipun, ia hanyalah untuk paparan dalam media sosial. Tetapi, jika di rumah, penampilan saya biasa sahaja, sama seperti remaja lain," ujarnya.

Berhubung persengketaan antaranya dan pelakon remaja, Mia Sara Nasuha seperti hangat diperkatakan di alam maya, Aqish berharap, perkara itu tidak diperbesarkan kerana sudah memohon maaf.

"Usahlah memperbesarkan isu ini, lagi pun, saya sudah memohon maaf. Jujurnya, saya rasa amat lega.

"Saya pun tidak menyimpan dendam dalam hati. Namun, hingga hari ini, saya belum mendapat sebarang maklum balas

daripada Mia.

"Tak mengapa, saya sudah pun melupakan apa yang berlaku," ujar Aqish.

Aqish bersikap lantang demi mempertahankan maruah ibunya yang dipijak dan dituduh sebagai penagih dadah.
Aqish bersikap lantang demi mempertahankan maruah ibunya yang dipijak dan dituduh sebagai penagih dadah.

Mengulas tawaran produser, Datuk Ayu Puteh yang mahu menggandingkannya dan Mia dalam sebuah supertele, Aqish mengakui, dia terkejut mendapat tahu berita itu.

"Saya tidak tahu menahu mengenai tawaran ini, malah tiada sesiapa menghubungi saya.

"Saya tiada masalah digandingkan dengan Mia kerana saya bersikap profesional. Bagaimanapun, ia bergantung kepada jadual.

Jika ada kelapangan, saya okay sahaja," ungkapnya.

Beralih perkembangan kerjaya seninya, pelakon filem Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng ini mengakui berdebar menantikan kemunculan filem bergenre seram, Rumah yang menyaksikannya bergandingan dengan Erra Fazira dan artis veteran, Mak Jah.

"Saya membintangi filem Rumah ketika berusia 12 tahun. Jadi, masih ada banyak kelemahan yang dapat saya lihat dari segi lakonan.

"Perkara pertama ingin diperbaiki adalah babak menjerit jika diberi peluang.

"Saya nampak ada kelemahan dalam babak ini di layar kaca. Saya lihat babak menjerit dilakukan agak melucukan," cerita Aqish.

Dua tahun lalu, penderitaan Aqish dan ibunya, Norashikin Abdul Aziz yang hidup melarat pernah mendapat perhatian program Bersamamu terbitan TV3.

Berita Harian X