Sabtu, 19 Februari 2022 | 12:00pm
Siti Saleha bersikap profesional dalam menghidupkan karakter Dr Suzanna tanpa terbawa-bawa kisah peribadi. - Foto IG Siti Saleha
Siti Saleha bersikap profesional dalam menghidupkan karakter Dr Suzanna tanpa terbawa-bawa kisah peribadi. - Foto IG Siti Saleha

Siti Saleha letak ketepi kisah peribadi

KUALA LUMPUR: Enggan terbuai emosi membawa karakter berkaitan kisah peribadi, aktres jelita, Siti Saleha, 32, letak ketepi perasaannya, malah mementingkan sikap profesional ketika bekerja.

Menghidupkan watak Dr Suzanna yang juga wanita dan ibu berhadapan masalah rumah tangga menerusi drama baharu, Love In Lockdown arahan Mai Fernandez, sedikit sebanyak karakter itu memberi kesan kepadanya.

Bagaimanapun, Siti Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd Baharum bersikap profesional dalam menghidupkan karakter tanpa terbawa-bawa kisah peribadi.

"Saya harus profesional. Memang saya meletakkan sepenuh hati dan jiwa dalam setiap watak diberikan.

"Tidak dinafikan, watak Dr Suzanna mempunyai kaitan dengan kehidupan peribadi di mana hubungan bersama pasangan diuji.

"Namun, saya bawakan secara profesional dan harap dapat melakukan yang terbaik. Paling penting, saya cuba untuk tidak menjadikannya terlalu peribadi," katanya kepada BH Online.

Siti Saleha menyifatkan takdir tertulis adalah aturan terbaik daripada Tuhan.

Terdahulu, Siti Saleha mengesahkan perceraiannya bersama bekas suami, Ahmad Lutfi Azhar, 36, di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor pada 17 Januari lalu.

Berita perceraian Siti Saleha dan Ahmad Lutfi selepas empat tahun melayari bahtera rumah tangga cukup mengejutkan ramai, apatah lagi, mereka dikenali sebagai pasangan bahagia.

Ketika itu, timbul pelbagai persepsi termasuklah Siti Saleha dan Ahmad Lutfi didakwa sudah tidak tinggal sebumbung, selain dikatakan wujud 'orang ketiga' menjadi punca keretakan rumah tangga.

Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu menjawab pertanyaan media mengenai kaitan watak Dr Suzanna dengan kehidupan realitinya menerusi sidang media drama Love In Lockdown secara virtual, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenainya, Siti Saleha teruja diberi tanggungjawab menjadi petugas barisan hadapan ketika berhadapan situasi pandemik COVID-19.

Wanita kelahiran Basildon, England itu menjadikan watak Meredith dalam drama popular, Grey's Anantomy sebagai inspirasi ketika membintangi drama Love In Lockdown.

"Watak Dr Suzanna sudah lama diimpikan. Saya hendak merasai bagaimana menjadi petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa henti ketika pandemik.

"Kita sering kali melakukan ujian calitan ketika bekerja, jadi, ia serba sedikit memberi gambaran kepada saya mengenai watak Dr Suzanna ini.

"Selain itu, saya menjadikan watak Meredith yang juga seorang doktor sebagai satu contoh.

"Kekuatan watak Dr Suzanna mungkin tidak sama seperti saya, namun, sifat seorang yang sangat mementingkan kerjanya adalah gambaran mengenai diri saya," katanya.

Siti Saleha bersama barisan pelakon drama Love In Lockdown ditayangkan secara eksklusif dan menjadi siri Original Pertama aplikasi Sooka yang ditayangkan mulai esok. - Foto IG Siti Saleha
Siti Saleha bersama barisan pelakon drama Love In Lockdown ditayangkan secara eksklusif dan menjadi siri Original Pertama aplikasi Sooka yang ditayangkan mulai esok. - Foto IG Siti Saleha

Adik kepada penyanyi Sam Bunkface itu berkata, dia respek petugas barisan hadapan yang bekerja keras untuk masyarakat.

"Apabila ditawarkan watak Dr Suzanna, pastinya saya tidak menolak. Ini kerana watak ini berbeza buat saya.

"Tidak hanya itu, saya juga mendapat menimba pengalaman menjalankan penggambaran ketika 'lockdown'. Ia nampak sukar, tetapi mengujakan," katanya.

Meskipun hanya lakonan, Siti Saleha percaya situasi dilalui Dr Suzanna turut dilalui wanita lain.

"Sebagai doktor, Suzanna tidak mempunyai banyak masa untuk keluarga ketika melaksanakan tanggungjawab menyelamatkan nyawa orang ramai.

"Dr Suzanna mengabaikan tanggungjawab sebagai anak, kakak, ibu dan isteri.

"Beliau bagaikan seorang yang kehilangan dirinya. Saya percaya ramai berdepan menghadapi waktu sukar ketika pandemik sama ada membabitkan isu kewangan, emosi, mental dan sebagainya.

"Apa yang saya boleh dikatakan, saya dan Dr Suzanna mempunyai persamaan dari segi komitmen kerjaya. Seperti wanita lain, kita mahu semuanya berjalan sempurna, namun, malangnya jatuh ketika diuji," katanya.

Menerusi drama terbitan Pho Sumpro itu, Siti Saleha bergandingan dengan Shah Iskandar.

Turut membintangi, Julia Farhana Marin, Sara Mack Lubis, Esma Daniel, Bella Rahim, Ahmad Adly Sofwan, Amir Nafis dan Gen Darwish.

Sebanyak 10 episod Love In Lockdown ditayangkan secara eksklusif dan menjadi siri Original Pertama aplikasi Sooka yang ditayangkan mulai esok.

Berita Harian X