Rabu, 16 Februari 2022 | 1:00pm
Buku Tuk Tak bukan sekadar biografi Zahid, malah memuatkan pengalamannya dalam industri muzik yang diceburi sejak empat dekad lalu. - NSTP/Aizuddin Saad
Buku Tuk Tak bukan sekadar biografi Zahid, malah memuatkan pengalamannya dalam industri muzik yang diceburi sejak empat dekad lalu. - NSTP/Aizuddin Saad

Pemain dram kongsi kejayaan revolusi muzik

KUALA LUMPUR: Ketika industri muzik Malaysia pada era 1980-an dikuasai irama Hindustan dan rock, sekumpulan penggiat seni nekad membuat perubahan dengan memperkenalkan genre muzik yang agak asing.

Berbekalkan pengalaman, kerja berpasukan dan kesungguhan, misi memperkenalkan penyanyi Datuk Sheila Majid membawa dimensi baharu dalam landskap muzik tempatan melalui genre pop jazz yang menjadi tanda dagang penyanyi kecil molek itu hingga sekarang.

Sebagai antara individu penting yang terbabit dalam mencetuskan revolusi itu, pemain dram terkenal, Zahid Ahmad memberitahu, niat mereka hanya melihat Malaysia mampu menghasilkan muzik yang bagus dan boleh dibanggakan.

"Melalui cetusan idea penerbit terkenal yang juga kawan saya, Roslan Aziz, kami bersama rakan pemuzik seperti Michael Veerapen dan Mac Chew nekad membawa evolusi kepada industri muzik tempatan yang banyak mendapat pengaruh irama Hindustan, ketika itu.

"Kebetulan Roslan ingin memperkenalkan Sheila yang genre muziknya agak berbeza dengan apa yang disajikan pada waktu itu.

"Berbekalkan kerja keras, kualiti kerja yang dihasilkan dan pemasaran bagus, akhirnya nama Sheila meledak dan genre muzik yang dipertaruhkan terus kekal relevan hingga hari ini," katanya kepada BH Online.

Ternyata keputusan Zahid meninggalkan dunia kelab malam dan menyertai Roslan Aziz Productions (RAP) berbaloi apabila label itu menjadi antara syarikat rakaman tempatan yang produktif dan dikenali dengan produk bermutu.

"Sebelum berhijrah ke RAP saya bermain di kelab malam, All That Jazz di Petaling Jaya. Mendengar visi Roslan melakukan evolusi terhadap landskap muzik tempatan, saya tertarik menyertainya.

"Kebetulan, ketika itu, saya sudah bosan dengan suasana kelab malam. Rakan pemuzik seperti Michael dan Mac pula baru pulang daripada melanjutkan pelajaran di Berklee College of Music, jadi banyak idea baharu yang boleh dikongsi.

"Bersama RAP, kami bermula dari bawah. Berbekalkan semangat dan minat terhadap muzik, kami bekerja keras sehingga sanggup tidur di studio berbulan-bulan lamanya, terutama jika ada projek besar.

"Apabila bercakap soal kualiti, kami tidak akan berkompromi. Kami bukan sahaja menitikberatkan soal muzik, malah aspek bunyi.

"RAP sanggup keluar bajet tinggi untuk sistem bunyi demi kepuasan pendengar.

"Roslan mahu semua instrumen yang dimainkan kedengaran jelas, sama ada ketika konsert atau dalam album," katanya yang juga adik kepada pemain dram kumpulan Search, Allahyarham Yazit Ahmad.

Zahid lebih suka menjadi pemuzik bebas dan tidak berminat menganggotai mana-mana band kerana tidak suka, selain tidak memiliki sifat penyabar seperti abangnya, arwah Yazit. - NSTP/Aizuddin Saad
Zahid lebih suka menjadi pemuzik bebas dan tidak berminat menganggotai mana-mana band kerana tidak suka, selain tidak memiliki sifat penyabar seperti abangnya, arwah Yazit. - NSTP/Aizuddin Saad

Ditanya pandangannya mengenai industri muzik sekarang, Zahid berkata, kebanyakan penyanyi hari ini tidak berani menongkah arus dan mencipta muzik semata-mata mengikut kehendak pasaran.

"Penyanyi dahulu buat album, tetapi aliran sekarang lebih kepada penghasilan single. Kalau sebelum ini studio menjadi tempat rakaman lagu, sekarang rumah pun boleh jadi studio.

"Penyanyi sekarang tidak berani mengambil risiko membuat perubahan dan hanya mengikut pasaran. Lebih mengecewakan apabila mereka buat muzik demi viral.

"Itu yang sampai sanggup buat benda bodoh demi mencari populariti dengan cara mudah. Malah antara mereka yang apabila menyanyi, langsung tidak nampak nilai seni," luahnya.

Zahid yang berusia 56 ditemui pada majlis pelancaran buku biografi yang dihasilkannya berjudul Tuk Tak di ibu negara, baru-baru ini.

Buku berharga RM45 ini bukan sekadar biografi Zahid, malah memuatkan pengalaman beliau dalam industri muzik yang diceburi sejak empat dekad lalu.

Buku Tuk Tak ini pernah ditolak beberapa penerbit sebelum Bukuku Press bersetuju menerbitkannya.

Bermain dram sejak usia 12 tahun dan tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang muzik.

Lebih suka menjadi pemuzik bebas dan tidak berminat untuk menganggotai mana-mana band kerana tidak gemar terikat dan tidak memiliki sifat penyabar seperti abangnya, arwah Yazit.

Berita Harian X