Isnin, 14 Februari 2022 | 1:00pm
Farid akui, sikap sesetengah rakan lebih terserlah apabila gelaran Datuk ditarik balik berikutan kontroversi yang pernah menghimpitnya. - Foto IG Farid Kamil
Farid akui, sikap sesetengah rakan lebih terserlah apabila gelaran Datuk ditarik balik berikutan kontroversi yang pernah menghimpitnya. - Foto IG Farid Kamil

'Kenal siapa kawan, lawan selepas peristiwa hitam'

KUALA LUMPUR: Pengalaman hitam dilalui bukan sahaja memberikan hikmah, malah, turut mengajar aktor, Farid Kamil, 41, mengenali siapa kawan dan lawan.

Malah, Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari berkata, sikap sesetengah rakan lebih terserlah apabila gelaran Datuk ditarik balik berikutan kontroversi yang pernah menghimpitnya sebelum ini.

"Jika sebelum ini ramai mengaku kawan, tetapi selepas itu, ada yang mula menjauhkan diri.

"Namun, tidak mengapa, itu semua adalah lumrah kehidupan. Sekelumit pun saya tidak rasa terkilan atau menyimpan dendam dalam hati.

"Saya hanya mahu melihat perkara ini daripada sudut positif sahaja. Jujurnya, pangkat Datuk yang saya terima sebenarnya merenggangkan hubungan saya dengan rakan yang memang ikhlas bersahabat dengan saya.

"Contohnya, ramai memaklumkan segan dan berasakan diri tidak layak berkawan dengan saya disebabkan gelaran selepas berlaku pengalaman hitam ini," katanya kepada BH Online.

Farid berkata, pengakuan rakan juga membuatkannya tersentuh dan percaya sahabat sejati memang wujud.

"Tidak dinafikan, kontroversi berlaku turut mendedahkan saya kepada banyak dakwaan negatif. Antaranya, saya suka berkhayal atau 'lalok'.

"Tuduhan ini tidak benar sama sekali. Saya tak rasa pun berkeadaan sedemikian ketika berdepan atau bercakap dengan orang.

"Namun, terserahlah apapun persepsi orang terhadap saya. Saya sudah malas mahu mengambil peduli," katanya.

Farid teruja membintangi filem Telaga Suriram, lebih lagi, bergandingan dengan aktres hebat seperti Maya, Nabila dan Scha. - Foto IG Farid Kamil
Farid teruja membintangi filem Telaga Suriram, lebih lagi, bergandingan dengan aktres hebat seperti Maya, Nabila dan Scha. - Foto IG Farid Kamil

Pelakon filem Lagenda Budak Setan dan Kongsi itu berkata, masih ada banyak perkara penting yang harus difikirkan terutama nasib dunia perfileman dalam situasi pandemik COVID-19 ini.

"Ini kerana filem Remp-it 2 yang diarahkan bakal menemui penonton pada Mei depan. Situasi pandemik yang dihadapi sangat menggusarkan saya," katanya.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu berkata, dia dapat merasakan kerancakan industri perfileman dari segi penerbitan mahupun lakonan sebelum ini.

"Namun, kehadiran 2020 bermulanya era pandemik menjadikan industri perfileman hampir lumpuh. Dan selama dua tahun pawagam sekejap beroperasi dan tutup.

"Sehingga kini, kaki wayang masih takut untuk pergi menonton filem ke pawagam. Jadi, kita kena didik penonton agar tidak takut ke pawagam.

"Insya-Allah, dengan dua dos suntikan vaksinasi COVID-19 yang lengkap, ditambah pula suntikan dos penggalak, saya percaya kita mampu mengekang penularan virus bahaya ini, sekali gus memberi keyakinan kepada penonton untuk kembali memeriahkan pawagam," katanya.

Kesedaran itu, katanya, dapat membantu menghidupkan semula industri perfileman yang hampir lumpuh.

"Selain berdebar menanti maklum balas penonton terhadap filem Remp-it 2, perasaan sama juga dirasakan kerana saya sudah mula memasuki lokasi penggambaran bagi filem Telaga Suriram arahan Osman Ali.

"Sejujurnya, saya teruja berlakon dalam filem ini. Bukan sahaja diarahkan oleh pengarah kegemaran saya, tetapi juga bergandingan dengan aktres hebat seperti Maya Karin, Nabila Huda dan Scha Alyahya.

"Setiap mereka mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu membantu saya membawakan karakter Zakir dalam filem bergenre seram ini," katanya.

Berita Harian X