Sabtu, 12 Februari 2022 | 3:00pm
Janna pernah berhadapan lelaki gatal, meskipun sudah berpunya, lantas, mengharapkan single Gatal boleh dijadikan pengajaran buat pendengar. - Foto IG Janna Nick
Janna pernah berhadapan lelaki gatal, meskipun sudah berpunya, lantas, mengharapkan single Gatal boleh dijadikan pengajaran buat pendengar. - Foto IG Janna Nick

Janna tak kuasa layan lelaki 'gatal'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Janna Nick, 26, mendedahkan banyak menerima mesej pelik dalam laman Instagram.

Tidak hanya itu, ada lelaki sanggup mengganggu sehingga menunggu depan rumah.

"Saya pernah diganggu sampai ke rumah. Ketika itu, saya buat uji bakat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL). Ada seorang lelaki hadir dan pilih untuk melakukan uji bakat.

"Masa itu, saya sudah perasan lelaki itu adalah individu yang sudah lama menghantar mesej kepada saya. Patutlah ketika saya membuat pembentangan, lain macam sahaja memandang saya.

"Saya pulang ke rumah pada jam 4 pagi. Saya diberitahu pengawal keselamatan ada lelaki menunggu saya dari jam 10 malam. Ia adalah individu yang sama.

"Apabila membuka mesej langsung, saya banyak menerima mesej pelik-pelik," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner berkata, dia mengambil langkah tidak mempedulikan mesej diterima, malah, menyifatkan individu berbuat sedemikian mempunyai masalah mental.

"Sebenarnya, ia terpulang pada kita, sama ada mahu layan atau sebaliknya. Saya mengambil tindakan tidak ambil mempedulikannya walau apa sahaja yang dihantar.

"Saya tidak sekat. Jika disekat, lelaki ini akan melakukan perkara sama lagi. Saya tak mahu lelaki ini tahu saya membaca dan menyedari kewujudannya.

"Jika tengok ayat pelik, saya tidak akan membukanya. Dari cara penulisan pun, saya boleh tahu lelaki ini bukanlah orang normal.

"Kita kena faham masalah penyakit mental ada di mana-mana. Ada kala mereka tidak sihat, jika sihat, mereka tidak berkelakuan sedemikian," katanya.

Janna mengambil langkah tidak mempedulikan mesej pelik diterima, malah, menyifatkan individu berbuat sedemikian mempunyai masalah mental.
Janna mengambil langkah tidak mempedulikan mesej pelik diterima, malah, menyifatkan individu berbuat sedemikian mempunyai masalah mental.

Janna berkongsi pengalamannya pengalamannya berhadapan lelaki 'gatal' pada sidang media single baru berjudul Gatal, baru-baru ini.

Teman wanita kepada pelakon, Dini Schatzmann itu tidak menafikan, dia pernah berhadapan dengan lelaki gatal, meskipun sudah berpunya.

"Yang mahu mendekati dan menggatal pasti ada, meskipun saya sudah berpunya. Cuma sebagai wanita, saya tidak melayan. Saya tak boleh menafikan cubaan tetap ada.

"Saya akan mengelak, jika ada yang terpesong dari segi perbualan, saya takkan layan. Saya akan layan hanya sebab kerja sahaja.

"Saya tidak pernah mengehadkan dengan siapa saya mahu berkawan. Dini sendiri tidak pernah menghalang saya berkawan atau mesej dengan sesiapa.

"Jadi, apapun ia bergantung kepada diri sendiri. Jika tak melayan, ia takkan jadi," katanya.

Justeru, Janna berharap, karya ciptaan Aepul Roza itu dapat menjadi pengajaran buat pendengar. Single Gatal berentak pop diserikan dengan bait lirik yang seakan menolak godaan seorang lelaki yang sudah berpunya.

"Single Gatal ini mesejnya sangat besar. Boleh tengok lirik dituju pada lelaki, tetapi video muzik menunjukkan perempuan pun gatal.

"Di sini, saya mahu menunjukkan bahawa gatal bukan membabitkan sebelah pihak. Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

"Jika melayan, ia akan terjadi isu gatal dengan suami orang," katanya.

Single Gatal terbitan Warner Music ini boleh didapati di kesemua pelantar digital sejak 28 Januari lalu. Video muzik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube sejak 9 Februari lalu.

Berita Harian X