Sabtu, 12 Februari 2022 | 1:00pm
SOG sudah lebih 16 tahun berkecimpung dalam dunia muzik dan menghasilkan tiga album penuh serta album mini.
SOG sudah lebih 16 tahun berkecimpung dalam dunia muzik dan menghasilkan tiga album penuh serta album mini.

SOG tak tunduk desakan komersial

KUALA LUMPUR: Ketika Sekumpulan Orang Gila (SOG) diumumkan sebagai antara 12 finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 menerusi lagu Pelukan Angkasa yang didendangkan bersama Shila Amzah, ramai tertanya-tanya siapa gerangan mereka.

Hakikatnya, SOG sudah lebih 16 tahun berkecimpung dalam dunia muzik dan menghasilkan tiga album penuh dan sebuah EP (album mini).

SOG dianggotai enam jejaka iaitu Riko Agus yang bertindak sebagai vokalis, Raja Nazrin Shah (vokalis dan gitaris), Abdul Qayyum (gitar bes), MK Ridzuan (pemain flut) serta Raja Nazmin Shah dan Amsyar Saiful (masing-masing gitaris).

Bagi anggota SOG, melangkah buat kali pertama ke pentas AJL 36 menjadi platform terbaik untuk melonjakkan nama mereka.

Pastinya mereka bersandarkan harapan menggunung terhadap lagu Pelukan Angkasa yang dicipta Raja Nazrin Shah, manakala lirik dihasilkan Fazleena Hishammuddin.

Berkongsi mengenai single Pelukan Angkasa, Raja Nazrin berkata, lagu berkenaan adalah kesinambungan kepada single Terbanglah yang dimuatkan dalam album kedua SOG berjudul Dermaga.

"Lagu ini dicipta pada 2018 selepas album Dermaga dilancarkan. Tiga bulan selepas itu, kami terbang ke Paris, Perancis untuk merakamkan album ketiga, Second Voyage yang turut memuatkan lagu Pelukan Angkasa.

"Perancangan berduet dengan Shila sudah lama dihajati iaitu sejak 2017. Saya dan saudara kembar, Raja Nazmin Shah atau Adek berkawan dengannya.

"Setahun kemudian, kami ajak Shila bekerjasama. Dia sangat berpengalaman dan tahu hala tuju kami. Kemunculannya dalam single itu bagai melengkapi.

"Tanpa diduga, tuah kami untuk lagu ini mula menampakkan sedikit hasil," katanya.

Raja Nazrin (kiri) bersama adik kembarnya, Raja Nazmim mahu memartabatkan lagu Pelukan Angkasa di tempat sepatutnya seperti AJL 36.
Raja Nazrin (kiri) bersama adik kembarnya, Raja Nazmim mahu memartabatkan lagu Pelukan Angkasa di tempat sepatutnya seperti AJL 36.

Mengenai persiapan menjelang malam kemuncak AJL 36, Raja Nazrin berkata, mereka hanya mahu membuat persembahan dengan lancar.

"Kami tidaklah terlalu merancang itu dan ini. Kami mahu buat persembahan macam biasa. Cuma diharapkan kesihatan dan segala-galanya lancar.

"Sebagai kelainan, persembahan kami akan diiringi pemuzik orkestra. Seperti kita sedia maklum, AJL adalah pertandingan membabitkan lagu. Jadi, tumpuan kami kepada naskhah lagu itu sendiri berbanding perkara lain.

"Peluang dan rezeki sudah ada. Jadi, kami mahu memartabatkan lagu ini di tempat sepatutnya seperti AJL 36," katanya.

Mengulas mengenali SOG yang kurang dikenali di arus perdana, Raja Nazmin atau Adek berkata, mereka tidak kisah kerana ini adalah jalan dipilih untuk memperjuangkan nilai seni.

Adek berkata, mereka enggan terlalu tunduk kepada kehendak komersial.

"Ada yang komen itu dan ini termasuklah bahagian jeritan vokalis kami. Biasalah, kami hormat pendapat masing-masing dan mungkin mereka tidak biasa.

"Elemen jeritan itu adalah ekspresi yang berbeza dalam menyampaikan lagu.

"Kami terbuka dan tidak mudah melatah. Apa yang penting, kami jalan terus. Kami mensasarkan album ketiga untuk pasaran antarabangsa. Cuma situasi pandemik COVID-19 merencatkan perancangan itu," katanya.

SOG menghasilkan EP berjudul Civilization Is On Trial pada 2013, manakala album pertama, Bahtera pada 2014, diikuti Dermaga (2018) dan Second Voyage (2021).

Berita Harian X