Jumaat, 11 Februari 2022 | 8:30am
Arwah Mastura sangat berdisiplin, arwah mempunyai jadual dan rutin yang ditetapkan sepanjang hari.
Arwah Mastura sangat berdisiplin, arwah mempunyai jadual dan rutin yang ditetapkan sepanjang hari.

Lawak jenaka arwah Mastura pasti dirindui

KUALA LUMPUR: Tiada lagi lawak jenaka, keramahan dan nasihat yang dititipkan seperti ketika hayatnya masih ada. Kini, apa yang tinggal hanyalah momen manis dan lagu dendangannya sebagai legasi untuk rujukan masa depan.

Pemergian penyanyi yang pernah popular dengan lagu Apo Kono Eh Jang, Datin Mastura Ismail, 65, yang menghembuskan nafas terakhir akibat kanser ovari tahap empat di kediamannya di Taman Cheras Idaman, Kajang, jam 8.39 malam, kelmarin ditangisi ramai.

Bagaimanapun, kesedihan lebih dirasakan anak saudaranya yang juga penyanyi popular era 1990-an, Oja kerana sudah menganggap arwah seperti ibunya sendiri.

"Arwah sangat berdisiplin. Celik sahaja mata sehingga hendak tidur, arwah mempunyai jadual dan rutin yang perlu dilakukan sepanjang hari.

"Sebagai anak saudara paling rapat dengannya, arwah melayan saya dengan baik. Jika melawat keluarga kami di Pahang ketika masih kecil, saya mesti ikut arwah pulang ke Kuala Lumpur.

"Saya memanggil arwah dengan panggilan Mummy kerana sudah menganggap seperti ibu kandung sendiri. Pemergiannya membuatkan saya sangat sedih dan rasa kehilangan," luahnya dalam nada sebak kepada BH Online.

Berkongsi kenangan dan sifat arwah, Oja atau nama sebenarnya, Daninas Huza Daud berkata, arwah bukan sahaja menjadi sumber inspirasi, malah, guru membimbing dalam kerjaya seni dan kehidupan peribadinya.

"Sebagai insan terlebih dahulu menceburi bidang seni, arwah banyak menitipkan nasihat berguna untuk dijadikan panduan. Arwah sering mengingatkan saya agar sentiasa menjaga kelakuan dan bersabar.

"Ini kerana bidang seni terlalu banyak duri dan ranjaunya. Jatuh bangun arwah dalam bidang seni, saya antara saksi dan dari situ, saya belajar banyak perkara.

"Selain itu, arwah banyak mengajar saya mengenai ilmu agama terutama hal berkaitan akhirat. Beliau seorang yang sangat kuat dengan pegangan agama," ujar penyanyi yang popular dengan lagu Dasira ini.

Oja pernah merakamkan album duet bersama arwah Mastura menerusi album Ceneke pada 2013.
Oja pernah merakamkan album duet bersama arwah Mastura menerusi album Ceneke pada 2013.

Arwah mula mencipta nama lagu duet menggunakan loghat Negeri Sembilan, Apo Kono Eh Jang yang dinyanyikannya bersama Ally Noor berjaya mencetuskan fenomena sekitar 1980-an.

Oja yang juga anak kepada penyanyi Nas Atea itu bersyukur sempat bertemu arwah sebelum menghembuskan nafas terakhir di hadapan matanya.

"Kali terakhir saya berjumpa ketika masih buka mata, bulan lalu. Saya singgah menziarahinya sebelum pulang ke kampung mentua di Kedah.

"Dapat juga saya memperkenalkan anak yang baru lahir kepadanya. Walaupun keadaannya agak lemah, namun, arwah tetap menggagahkan diri bersembang dan berjenaka dengan saya.

"Saya juga bersyukur dapat membacakan surah Yasin buat arwah pada saat pemergiannya. Saya baru baca beberapa potongan ayat, arwah menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang di hadapan saya dan keluarga," ujar peserta program realiti, Gegar Vaganza musim ketujuh itu.

Jenazah Allahyarham Mastura dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Taman Rakan Cheras sebelum dikebumikan sebelum waktu Zohor di Tanah Perkuburan Islam Sungai Long, semalam.

Allahyarham Mastura yang juga seorang balu meninggalkan dua cahaya mata dan dua cucu.

Oja berkata, doktor menasihatkan anggota keluarga membawa arwah pulang selepas mendapati keadaannya semakin lemah selepas beberapa hari mendapat rawatan di Institut Kanser Negara (IKN).

"Arwah dibawa pulang, jam 3 petang pada hari pemergiannya dalam keadaan tidak sedarkan diri. Arwah baru sahaja dikesan mengidap kanser ovari tahap empat, beberapa bulan lalu.

"Sebelum itu, arwah memang selalu mengadu sakit pada bahagian perut, tetapi tidak mendapatkan rawatan. Sebaliknya, arwah lebih selesa hanya melakukan rawatan kampung.

"Bagaimanapun, akhirnya arwah bersetuju membuat pemeriksaan apabila puas dipujuk. Namun, keadaan kesihatan arwah semakin merosot sejak sebulan lalu apabila bahagian perut semakin membesar.

"Arwah juga pernah beberapa kali menjalani pembedahan membuang cecair pada bahagian perut," katanya.

Arwah Mastura pernah mencipta fenomena menerusi lagu duet, Apo Kono Eh Jang bersama Ally Noor sekitar 1980-an.
Arwah Mastura pernah mencipta fenomena menerusi lagu duet, Apo Kono Eh Jang bersama Ally Noor sekitar 1980-an.

Sementara itu, Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah Mastura dan turut berduka cita atas pemergian penyanyi yang terkenal dengan lagu dialek Negeri Sembilan itu.

Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave berkata, pihaknya akan menyumbangkan bantuan bagi meringankan beban keluarga arwah.

"YAKT bersedih atas pemergian arwah. Sepanjang hayatnya, arwah banyak menyumbang jasa kepada industri muzik tempatan dan kami sangat menghargainya.

"Atas sumbangan itu, YKAT akan menyalurkan sumbangan khairat kematian bernilai RM1,500 kepada keluarga arwah. Urusan mengenai perkara ini sedang dilakukan.

"Kami akan bertemu dengan waris arwah selepas segala urusan selesai," katanya.

Berita Harian X