Selasa, 8 Februari 2022 | 11:00am
Shahidan dan Osman (kiri) yang banyak membantunya mengasah bakat lakonan melalui beberapa telefilem arahannya. Foto IG Ahmad Shahidan Mohd Ali
Shahidan dan Osman (kiri) yang banyak membantunya mengasah bakat lakonan melalui beberapa telefilem arahannya. Foto IG Ahmad Shahidan Mohd Ali

Insiden sabit terbang bukan 'over acting' - Shahidan

KUALA LUMPUR: Kecoh dalam laman sembang kes sabit 'terbang' yang menyebabkan bakat baharu, Shahidan, yang ketika insiden itu sedang menjayakan babak pergelutan dalam penggambaran filem, Telaga Suriram, cedera dahi, baru-baru ini.

Sebaik tular, ada pihak mendakwa, insiden itu disengajakan dan menuding jari kepada pelakon 'senior', Ellie Suriaty yang didakwa menjadi punca kepada malapetaka berkenaan.

Tampil memberi penjelasan, Shahidan atau nama penuh, Ahmad Shahidan Mohd Ali, 25, berkata insiden sabit 'terbang' sekadar kemalangan tidak berbau di lokasi penggambaran filem arahan Osman Ali itu.

"Saya baca komen di Facebook (FB) dan Instagram (IG) ada yang mendakwa kami 'over acting' sehingga sabit 'terbang'.

"Ramai juga yang menyalahkan Ellie. Kebanyakan mereka yang melayangkan komen ibarat berada di set penggambaran bersama kami.

"Sebenarnya, bukannya kami keterlaluan. Insiden itu juga bukan salah Ellie atau sesiapa. Ia berpunca daripada kesilapan koreografi ketika babak pergelutan.

"Jika mahu diikutkan, pemegang watak Jabet iaitu Ammar Bahri sepatutnya tahan sabit itu. Tetapi akibat silap langkah, sabit itu terpelanting lalu terkena saya.

Ellie (tengah) dan Shahidan (kanan) ketika berada di set penggambaran filem arahan Osman berjudul Telaga Suriram yang mencetuskan kontroversi gara-gara insiden sabit terbang. Foto IG Ahmad Shahidan Mohd Ali
Ellie (tengah) dan Shahidan (kanan) ketika berada di set penggambaran filem arahan Osman berjudul Telaga Suriram yang mencetuskan kontroversi gara-gara insiden sabit terbang. Foto IG Ahmad Shahidan Mohd Ali

"Ini adalah kemalangan yang tidak disengajakan. Apatah lagi, penggambaran dilakukan ketika cuaca panas. Perlis (lokasi penggambaran) sedang panas... Jadi, semuanya bukanlah berpunca daripada sesuatu yang disengajakan," katanya kepada BH Online.

Tambah Shahidan yang dikejarkan ke klinik sebaik insiden berlaku, kerja penggambaran filem Telaga Suriram terpaksa dihentikan.

"Alhamdulillah, luka saya semakin sembuh. Cuma tampak bengkak sahaja. Luka tidak dijahit tetapi ditampal seolah-olah seperti gam.

"Jika dijahit, akan tinggal parut dan nampak benang jahitan," katanya.

Shahidan yang mula bertatih dalam bidang seni mengaku kali pertama ditimpa kemalangan di lokasi penggambaran.

Namun, jejaka ini enggan menyesali atas apa yang berlaku, sebaliknya, menjadikan ia sebagai pengalaman berguna.

"Sebelum ini, saya pernah cedera biasa. Ini kali pertama saya mendapat luka yang dalam. Tidak mengapa, saya ambil perkara ini sebagai pengalaman.

"Mana tahu, selepas ini, ada rezeki saya untuk diberi kepercayaan melakukan adegan lebih lasak. Jadi, boleh saya gunakan ilmu ini," katanya yang gemar melakonkan watak lasak.

Berkongsi lanjut mengenai filem pertamanya itu, Shahidan berterima kasih kepada Osman yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menghidupkan watak gangster kampung, Kasa.

Demi meningkatkan penghayatan, Shahidan berguru dengan Ellie, Nabila Huda dan pengarah, Isma Yusof.

"Telaga Suriram ini boleh dikatakan filem pertama saya. Dalam filem Munafik 1 dan 2, saya membawa watak hantu dari awal sehingga tamat," katanya yang pernah bekerja dengan Osman dalam telefim Tersimpang Ke Alam Bunian dan Sihir Pemisah.

Shahidan mengambil masa setahun untuk menyiapkan diri dengan watak Kasa.

"Saya belajar sebab saya tidak mahu orang tengok saya sebagai pelakon 'kayu'," katanya.

Antara pelakon nama besar menjayakan filem Telaga Suriram terbitan Nuansa Films dengan kerjasama Odissi Creative adalah Farid Kamil, Nabila Huda, Scha Alyahya dan Maya Karin.

Shahidan popular selepas mengaku menjadi hantu perempuan selepas proses solekan dalam filem Munafik 1 dan 2.

Berita Harian X