Sabtu, 5 Februari 2022 | 3:33pm
Ariff dan isteri sedang menjalani kuarantin 10 hari di rumah selepas disahkan dijangkiti COVID-19. Foto IG Ariff Bahran
Ariff dan isteri sedang menjalani kuarantin 10 hari di rumah selepas disahkan dijangkiti COVID-19. Foto IG Ariff Bahran

Ariff Bahran, isteri positif COVID-19

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ariff Bahran dan isteri, Amirah Syazwani Ridzuan, masing-masing disahkan positif COVID-19.

Ariff atau nama sebenar, Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 24, disahkan dijangkiti wabak berkenaan, semalam, selepas mengalami beberapa simpton, disusuli isterinya, yang mendapat keputusan sama, pagi tadi.

Ariff berkata, dia mula rasa lemah selain mengalami selesema dan sakit tekak sebaik kerja seni yang diusahakan, selesai.

"Saya membuat ujian COVID-19 di rumah sebanyak dua kali dan mendapati positif.

"Tidak berpuas hati, kira-kira jam 4 pagi semalam, saya pergi ke klinik untuk membuat ujian saringan RTK-Antigen dan keputusan mendapati saya positif.

"Saya mungkin dijangkiti virus COVID-19 di lokasi kerja kerana sedang sibuk 'shooting'. Setakat ini, saya demam panas dan menjalani kuarantin di bilik studio di rumah saya," katanya kepada BH Online.

Berikutan itu, Ariff bersama Amirah menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari.

Penyanyi Melodi Hati ini turut meluahkan rasa bimbang dengan kesihatan ibu bapa serta seluruh ahli keluarga yang ditemui ketika majlis sambutan hari jadi bapanya.

"Saya dan seluruh keluarga baharu menyambut ulang tahun kelahiran ayah. Saya amat risaukan kesihatan mereka.

"Saya juga risau dengan rakan-rakan artis dan kru produksi yang terbabit dalam penggambaran dengan saya. Saya harap individu yang ditemui berada dalam keadaan yang baik dan melakukan ujian saringan segera," katanya.

Selain itu, Ariff berpesan agar semua pihak terutama yang bekerja agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan COVID-19.

Berita Harian X