Jumaat, 4 Februari 2022 | 8:30am
Elly lebih cenderung berkongsi foto yang memaparkan sebahagian anggota tubuh anak-anak setiap kali memuat naik entri di Instagram (IG), bukan penampilan penuh mereka. Foto IG Elly Mazlein
Elly lebih cenderung berkongsi foto yang memaparkan sebahagian anggota tubuh anak-anak setiap kali memuat naik entri di Instagram (IG), bukan penampilan penuh mereka. Foto IG Elly Mazlein

Elly Mazlein kurang tunjuk anak dalam media sosial

KUALA LUMPUR: Setiap ibu bapa ada cara tersendiri membesarkan anak pada era digital ini.

Bagi penyanyi, pengacara dan pelakon, Elly Mazlein, dia kurang selesa terlalu menayangkan wajah dua permata hatinya dalam media sosial.

Sejak anak sulung, Putri Sara Sefhia yang kini berusia enam tahun, Elly yang cukup dikenali dengan panggilan Kak Lina Pom Pom, jarang berkongsi wajah puteri kesayangannya itu kepada umum.

Menimang anak kedua, Elly masih berpegang pendirian sama apabila dilihat tidak terlalu mendedahkan wajah putera tersayang, Haider Mateen yang dilahirkan Oktober tahun lalu.

Memberitahu BH Online, Elly atau nama sebenar, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 41, berkata, dia mahu terus berpegang pendirian enggan berkongsi segalanya dalam media sosial terutama zuriat.

Elly lebih selektif dalam menimbang tawaran kerja bagi memastikan keperluan anak-anak dipenuhi setiap masa. Foto IG Elly Mazlein
Elly lebih selektif dalam menimbang tawaran kerja bagi memastikan keperluan anak-anak dipenuhi setiap masa. Foto IG Elly Mazlein

"Biarlah, saya tetap dengan keputusan begitu. Bagi saya, setiap ibu bapa ada hak mereka dalam membesarkan anak. Ini adalah cara saya," katanya.

Bergelar ibu kepada dua cahaya mata diakui memberi cabaran kepada pelakon drama Kampung People ini.

Elly berkata, berikutan anak yang masih kecil, dia agak selektif dalam menerima tawaran kerja. Namun, Elly bersyukur Allah memberi rezeki melimpah ruah buatnya.

"Sebenarnya, saya sangat teruja dapat kembali bekerja seperti dahulu. Tetapi dengan keadaan anak yang masih kecil, saya agak selektif, namun tidak terlalu memilih.

"Saya akan terima tawaran ikut kesesuaian jadual dan anak. Saya juga ada pembantu untuk mengasuh anak apabila keluar bekerja.

"Abah juga tinggal bersama. Saya juga beruntung kerana suami bertugas sebagai guru, jadi jika saya sibuk, suami ada di rumah untuk jaga anak.

"Jadi, saya tidaklah terlalu risau untuk keluar bekerja kerana ada ahli keluarga memantau anak," katanya.

Sementara itu, kehadiran Haider ke dalam keluarga cukup dinantikan Sefhia.

"Sefhia sangat seronok sejak ada adik. Dia sibuk selimut dan cium adiknya. Apabila saya balik daripada kerja pada waktu malam, bukan main lagi saya tengok Sefhia peluk adiknya.

"Untung Haider kerana dapat kakak yang penyayang," katanya.

Elly mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Azlan Che Nuh, 32, pada 18 Januari 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini.

Mereka dikurniakan Haider pada 23 Oktober tahun lalu.

Elly pernah berkahwin dengan pengarah drama Azmi Hatta pada November 2014 sebelum bercerai pada Oktober 2015.

Berita Harian X