Jumaat, 28 Januari 2022 | 1:00pm
Program Yoohoo 2022 menampilkan ramai selebriti bakal dikendalikan oleh empat hos, Gary Yap, Royce Tan, Angeline dan Pauline Tan.
Program Yoohoo 2022 menampilkan ramai selebriti bakal dikendalikan oleh empat hos, Gary Yap, Royce Tan, Angeline dan Pauline Tan.

Semarak Tahun Harimau

KUALA LUMPUR: Sempena Tahun Baharu Cina yang bakal diraikan Selasa ini, rangkaian televisyen Media Prima Berhad (MPB) menyajikan program menarik buat penonton setia TV3, TV9 dan 8TV.

Menyambut kedatangan Tahun Harimau yang melambangkan keberanian dan kekuatan, sekali gus menepati situasi di mana negara masih berjuang melawan pandemik COVID-19, MPB menganjurkan kempen #Yoohoo2022 melalui 8TV.

Biarpun kempen digerakkan 8TV, kemeriahan masih terasa melalui pelbagai kandungan yang menanti penonton TV3 dan TV9 sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina.

Cukup istimewa, peminat K-pop pasti teruja menonton Festival Muzik MBC 2021 yang bakal disiarkan melalui empat slot di TV3 iaitu pada 29 Januari, 5 Februari, 12 Februari dan 19 Februari, mulai jam 11 malam.

Festival Muzik MBC yang berlangsung pada 31 Disember lalu, adalah acara tahunan berprestij yang ditunggu-tunggu peminat K-pop terkenal.

Acara itu dikendalikan anggota Girls' Generation, Lim Yoon A untuk tahun ketujuh berturut-turut dengan ditemani bintang terkenal, Jang Sung Kyu dan Jun Ho dari 2PM.

Barisan bintang yang membuat persembahan adalah MAMAMOO, Red Velvet, Oh My Girl, Brave Girls, ASTRO, NCT 127 dan banyak lagi.

Melalui saluran sama, filem pecah panggung, Police Story 2 akan disiarkan Ahad ini, pada jam 9 malam.

Filem sekuel blokbuster Police Story berkisar kehidupan Inspektor Chan Ka-kui yang diturunkan pangkat kepada polis rondaan akibat gagal mengendalikan kes membabitkan ketua penjenayah, Chu Tao.

Teman wanita Ka-kui gembira kerana tugas baharunya itu dianggap tidak mengancam nyawa kekasihnya.

Pada hari pertama Tahun Baharu Cina, Selasa ini, program bual bicara, Malaysia Hari Ini (MHI) tampil dengan edisi istimewa dengan menemu ramah penyanyi veteran, Datuk Andre Goh, pada jam 9.30 pagi.

Antara topik menarik yang bakal dikupas adalah simbolik sambutan Tahun Harimau, sifu di sebalik penghasilan kepala singa yang digunakan dalam tarian singa dan persembahan tarian kebudayaan Cina.

Selepas MHI, program Wanita Hari Ini (WHI) menyusul pada jam 12 tengah hari dengan berkongsi kemeriahan Tahun Baharu Cina melalui paparan hidangan istimewa, adat resam dan artis jemputan.

Mengekalkan tema sama, telefilem garapan Sabri Yunus, Kebaya Mek Hwa akan disiarkan pada jam 2 petang.

Telefilem yang dihasilkan pada 2018 ini menampilkan Pauline Tan, Syazwan Zulkifli, Issey Fazlisham, Wan Hanafi Su dan Mat Over.

Cerita berkisar Mei yang berusia 24 tahun, berusaha menjejaki seorang wanita Cina Peranakan yang hanya dikenali sebagai Mek Hwa.

Berpandukan sekeping foto dalam sepucuk surat tinggalan bapanya, Goh, Mei berusaha mencari wanita itu.

Sebuah lagi telefilem akan ditayangkan pada hari kedua sambutan Tahun Baharu Cina iaitu Kasih Tau Foo Fah arahan Raja Mukhriz.

Star Award 2021 antara program menarik yang bakal disiarkan sempena Tahun Baharu Cina.
Star Award 2021 antara program menarik yang bakal disiarkan sempena Tahun Baharu Cina.

Dibintangi pelakon berpengalaman seperti Michael Ang, Sharifah Sakinah, Pekin dan Mior Darwish, telefilem pasti membuatkan ramai yang tersentuh hati dengan kisah dipaparkan.

Kasih Tau Foo Fah mengisahkan Anis yang sering menjadi mangsa sejak berkahwin dengan lelaki kaki judi, Ramlan. Anis terpaksa membawa anaknya, Fitri lari dari rumah kerana dikejar samseng yang menuntut hutang suaminya.

Penonton TV9 pula bakal membangkitkan nostalgia penonton melalui tayangan beberapa filem pecah panggung mulai Selasa ini hingga 6 Februari depan, pada jam 9.30 malam.

Filem yang bakal menemui penonton adalah Ip Man yang bakal disiarkan Selasa ini, Adnan Sempit 3 (2 Februari), Cinta Kolestrol (3 Februari), Bila Biniku Gongxi (4 Februari), Sumpah Semerah Padi (5 Februari) dan Main-Main Hantu (6 Februari).

Penonton 8TV pula bakal disajikan dengan program istimewa, Ho Chak! CNY Special 2022, Ahad ini, mulai jam 6.30 petang.

Program Ho Chak! membawa penonton melihat sendiri kemeriahan 'makan besar' di beberapa restoran Cina dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Hos program, Orange Tan akan menunjukkan bakat menyediakan menu Tahun Baharu Cina istimewa cara Malaysia, yang disajikan untuk suaminya, Nash, berasal dari Hong Kong.

Isnin ini, filem lakonan Jackie Chan iaitu The Canton Godfather, bakal disiarkan pada jam 10.30 pagi. Kisah memaparkan seorang pemuda lakonan Jackie, mencuba nasib di Hong Kong, namun, wangnya 'disapu' hingga membawanya menjadi ketua gangster di kota kosmopolitan itu.

8TV juga bakal menyiarkan filem Butterfly Sword lakonan aktres kelahiran Malaysia, Datuk Michelle Yeoh yang membawa watak Ko Ji Ping, iaitu pendekar kungfu yang mengendalikan Happy Forest bersama Meng Sing Wan dan Yip Cheung.

Paling dinantikan, tentunya program Yoohoo 2022 yang akan disiarkan Selasa ini, pada jam 9 malam.

Program ini menampilkan lebih 25 selebriti popular tanah air yang mempersembahkan nyanyian, tarian dan sketsa.

Saksikan antara Hu Zhu dan Hu Ai, siapa lebih hebat dalam memenangi cabaran permainan yang menawarkan ang pau besar.

Program ini dikendalikan Gary Yap, Royce Tan, Angeline dan Pauline Tan.

Antara selebriti yang mengambil bahagian adalah Orange Tan, Rickman Chia, Wilson Lee, Sherlyn, Emily Chan, Jordan Sen, Houson, Thomas, finalis Love At First Song dan ramai lagi.

Turut disajikan, JSBC Spring Festival Gala 2022 yang menampilkan barisan selebriti popular dengan persembahan menarik. Program ini menemui penonton, Rabu depan, mulai jam 5 petang.

Tidak ketinggalan, 8TV bakal menyajikan JSBC Countdown Concert dalam dua bahagian iaitu pada Rabu dan Khamis ini, mulai jam 11 malam.

Konsert sempena menyambut tahun baharu 2022 ini menampilkan barisan artis popular China dan Hong Kong.

Berita Harian X