Khamis, 27 Januari 2022 | 11:00am
Kunjungan hormat PTVM ke pejabat CEO FINAS selama satu setengah jam capai persepakatan berhubung lapan usul yang dikemukakan. - Foto Ihsan PTVM
Kunjungan hormat PTVM ke pejabat CEO FINAS selama satu setengah jam capai persepakatan berhubung lapan usul yang dikemukakan. - Foto Ihsan PTVM

8 usul untuk pertimbangan FINAS

KUALA LUMPUR: Kunjungan hormat Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) ke pejabat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, selama sejam setengah membuahkan hasil yang positif, baru-baru ini.

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata PVTM membentangkan lapan usul kepada Md Nasir dalam pertemuan berkenaan.

Ia membabitkan sistem pitching dan dasar kerajaan dalam membantu industri kandungan kreatif berkaitan ekosistem insentif dan dana FINAS.

Antara cadangan lain dibentangkan berkaitan pengantarabangsaan kandungan kreatif; industri dan persatuan, lesen, laman sesawang dan studio luar.

Jurey berkata, kunjungan hormat itu bertujuan membincangkan isu industri kreatif yang memerlukan tindakan FINAS membabitkan pemberian Dana Kandungan Digital (DKD).

Katanya, pemberian dana mencukupi harus diberikan kepada penerbit agar dapat menghasilkan lebih banyak kandungan berkualiti, sekali gus mampu menembusi pasaran antarabangsa.

"Dana diberikan kerajaan melalui FINAS memberi peluang kepada penerbit menghasilkan kandungan berbeza di kaca televisyen (TV).

"Saya percaya dengan bantuan dana dari FINAS boleh mengangkat kandungan tempatan ke peringkat lebih tinggi, termasuk menjalinkan kerjasama dengan produksi global seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan sebagainya.

"Jika dana diberikan hanya ditayangkan di stesen TV tempatan sahaja, ia hanya memberi keuntungan kepada penyiar. Sedangkan, penerbit diminta menghasilkan kandungan mengikut kehendak penyiar, namun, pulangan dapat kepada pihak stesen TV," katanya kepada BH Online.

Beliau berkata, berbeza jika mengadakan jalinan usaha sama bersama produksi antarabangsa.

"Penerbit akan berada dalam keadaan menang-menang, di mana separuh kos produksi dikeluarkan dengan menggunakan dana FINAS, manakala, separuh modal lagi dikeluarkan syarikat bekerjasama. Selain itu, penerbit juga mendapat peluang menayangkan karya tempatan ke luar negara," katanya.

Pada sesi berkenaan, Jurey berkata, PTVM turut menyentuh soal pitching.

Katanya, FINAS perlu bersikap lebih telus dengan memberikan penjelasan kepada syarikat gagal pada sesi pitching.

"Ini perlu agar syarikat penerbitan tahu kekurangan dan punca gagal pada sesi berkenaan. Pada masa sama, penerbit boleh menjadikan kesilapan dilakukan sebagai panduan memperbaiki karya pada masa hadapan.

"Saya akui, PTVM menerima banyak rungutan daripada penerbit tidak berpuas hati dengan cara FINAS mengendalikan sistem pitching.

"FINAS perlu telus dengan memaklumkan kekurangan pada skrip supaya penerbit boleh memperbaiki kesilapan dan melakukan perancangan lebih teliti," katanya.

Katanya, apabila FINAS tidak memaklumkan kenapa gagal, ada penerbit marah dan melontarkan pelbagai tuduhan kepada FINAS.

"Apa yang menimbulkan kemarahan penerbit kerana mereka mengeluarkan duit membayar upah membuat kertas kerja dan penulis skrip. Jadi, tentunya mereka kecewa apabila FINAS hanya mendiamkan diri.

"Bagaimanapun, pada pertemuan tempoh hari, Md Nasir bersetuju dengan cadangan dan akan melaksanakan sistem lebih cekap dan telus pada sesi pitching akan datang.

"FINAS juga menambah panel berpengalaman untuk mengendalikan sesi berkenaan," kata Jurey.

Richard Ung (kiri), Jurey dan Md Nasir membincangkan dasar kerajaan dalam membantu industri kandungan kreatif berkaitan ekosistem insentif dan dana FINAS. - Foto Ihsan PTVM
Richard Ung (kiri), Jurey dan Md Nasir membincangkan dasar kerajaan dalam membantu industri kandungan kreatif berkaitan ekosistem insentif dan dana FINAS. - Foto Ihsan PTVM

Mengenai ATV Pitch 2022 pula, Jurey berkata, ia harus segera dianjurkan dalam usaha menjadikan negara kita sebagai hab kandungan televisyen.

Katanya, PTVM memilih November depan sebagai waktu yang tepat memandangkan Singapura menganjurkan pasaran kandungan setiap Disember.

"Cadangan PTVM untuk menganjurkan ATV Pitch pada November disambut baik Md Nasir dan bersetuju dengan tarikh berkenaan.

"PTVM memilih November kerana Singapura menganjurkan pasaran kandungan pada Disember, jadi, kita mahu stesen TV dari luar negara singgah dan boleh membeli produk Malaysia terlebih dahulu sebelum ke negara jiran berkenaan.

"Setakat ini, Md Nasir memohon PTVM membentangkan kertas kerja kerana melihat satu usaha yang baik untuk industri kreatif. Ia juga dapat memberi pelajaran kaedah dan proses pitching kepada penggiat seni yang berminat," katanya.

Jurey berkata, usaha itu perlu bergerak segera, jika tidak sampai bila-bila produk tempatan tidak mampu melebarkan sayap ke luar negara, sebaliknya, hanya berada pada kepompong sama.

Selain itu, katanya, ia juga akan membabitkan keseluruhan ekosistem disegerakan dengan mengadakan ATV Pitch 2022 yang bertaraf antarabangsa dan membabitkan semua pemegang amanah keseluruhan ekosistem.

"Kita harus merangka program ini menjadi satu program bermanfaat, berhasil dengan kaedah serta aplikasi yang betul seperti kerjasama perniagaan, perjanjian, latihan pitching, perancangan kewangan dan sebagainya agar usaha untuk ke peringkat antarabangsa akan tercapai," katanya.

Katanya, perkara lain yang turut mohon perhatian FINAS termasuklah isu persatuan.

Jurey berkata, kerajaan sepatutnya menggalakkan pemain industri berpersatuan kerana kaedah itu paling sesuai untuk mengawal selia industri kreatif.

Ini kerana, katanya, persatuan dalam industri seakan tidak dihormati berikutan belum ada tindakan atau arahan jelas untuk berpersatuan, sedangkan nelayan, peladang dan persatuan sektor sukan begitu berpengaruh serta memainkan peranan yang penting dalam industri mereka.

Jadi, katanya, sudah tiba masa persatuan industri kreatif diberikan peranan dan tanggungjawab demi memastikan penggiat industri lebih baik.

"Hal ini berlaku seluruh dunia, cuma, belum begitu mantap di Malaysia hinggakan dalam 800 lebih syarikat yang menyertai pitching RTM, hanya 200 sahaja yang menjadi ahli PTVM.

"Syarikat aktif dan terbabit dengan aktiviti dan membayar yuran pula hanya dalam 50 syarikat. Ini kerana ada penerbit tidak merasakan satu keperluan untuk berpersatuan dan tidak nampak kerja dilakukan persatuan

"Lebih malang, kebanyakan yang berjaya dapat sesi pitching fasa satu adalah penerbit baharu dan bukan ahli persatuan. Kegagalan pemimpin persatuan mendapatkan 'job' menyebabkan mereka dipandang sinis pemain industri kerana ramai bertanya apa mereka dapat jika masuk persatuan.

"Ada juga mempertikaikan adakah persatuan mampu memberi mereka projek kerja," katanya yang berharap program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) boleh diperkasakan dengan memasukkan elemen persatuan dalam permohonan dana dan sesi pitching Radio Televisyen Malaysia.

Katanya, FINAS juga harus mengenakan syarat ketat dengan mewajibkan penerbit yang memohon dana perlu menjadi ahli yang aktif dalam mana-mana persatuan di bawah MyCAP.

Berita Harian X