Rabu, 26 Januari 2022 | 6:36pm
Lagu Hingga Akhir Waktu ibarat projek keluarga apabila Uyaina memegang watak ibunya, manakala abangnya, Azameer Uzreem berlakon menjadi arwah bapa. - Foto Uyaina Arshad
Lagu Hingga Akhir Waktu ibarat projek keluarga apabila Uyaina memegang watak ibunya, manakala abangnya, Azameer Uzreem berlakon menjadi arwah bapa. - Foto Uyaina Arshad

Uyaina imbau tragedi ragut nyawa arwah bapa

KUALA LUMPUR: Tragedi yang berlaku kepada bapa Uyaina Arshad iaitu Allahyarham Leftenan Komander Arshad Ibrahim yang terkorban ketika menjalani latihan menyelam di Auckland, New Zealand kira-kira 25 tahun lalu diabadikan dalam lagu berjudul Hingga Akhir Waktu.

Lagu Hingga Akhir Waktu cetusan ilham Uyaina bersama suami, malah, Raja Syahiran memikul tugas sebagai penyanyi.

Uyaina berkata, dia turut membuat penampilan istimewa membaca puisi dalam lagu berkenaan, selain melakonkan watak ibunya sendiri ketika muda dalam video muzik.

"Ini lagu pertama yang saya tulis bersama suami. Perasaan saya bercampur baur ketika melunaskan kerja menyiapkan lagu yang sangat bermakna ini.

"Ketika tragedi meragut nyawa arwah bapa, saya baru berusia lima tahun. Dan lagu Hingga Akhir Waktu didedikasi buat ibu, Siti Noor Farah Jaafar dan mereka yang pernah merasai kehilangan.

"Semua proses termasuk rakaman bahagian berpuisi dilakukan sebelum saya mendirikan rumah tangga pada Mac tahun lalu. Saya memang gementar berkolaborasi dengan suami.

"Lagu Hingga Akhir Waktu juga ibarat projek keluarga. Abang saya, Kapten Azameer Uzreem Arshad berlakon jadi arwah bapa. Tak ketinggalan, anak saudara membawa watak saya dan adik-beradik lain semasa kecil," katanya kepada BH Online.

Foto kenangan Uyaina bersama arwah bapa, ibu dan adik beradiknya. - Foto Uyaina Arshad
Foto kenangan Uyaina bersama arwah bapa, ibu dan adik beradiknya. - Foto Uyaina Arshad

Bagi pengacara Wanita Hari Ini di TV3 itu, maksud dan terjemahan lagu itu tidak hanya untuk mereka yang hidup berpasangan. Tetapi, ia juga boleh dirasai perasaan cinta seorang anak kepada ibu bapa.

"Sepanjang 25 tahun, ibu tidak terfikir mahu berkahwin lain. Jadi, lagu ini umpama antologi cinta ibu dan arwah bapa hingga ke akhir hayat.

"Ibu juga kuat ketika membesarkan kami empat beradik sebagai ibu tunggal," katanya.

Ditanya keputusannya hanya sekadar berpuisi, Uyaina berkata, dia realistik kerana akur tidak pandai menyanyi.

"Jika ikutkan suami mahu saya berduet dengannya. Tetapi, cukuplah sekadar berpuisi. Kalau nyanyi, nanti jadi lain pula," selorohnya.

Berita Harian X