Khamis, 20 Januari 2022 | 4:14pm
Zarina terpaksa menolak banyak tawaran lakonan disebabkan kesibukannya sebagai pempengaruh media sosial. - NSTP/Aziah Azmee
Zarina terpaksa menolak banyak tawaran lakonan disebabkan kesibukannya sebagai pempengaruh media sosial. - NSTP/Aziah Azmee

Kejar duit dahulu, glamor kemudian...

KUALA LUMPUR: Pelakon kontroversi, Zarina Anjoulie selesa memilih kerjaya sebagai pempengaruh media sosial yang disifatkan memberi pendapatan lumayan.

Baginya, bekerja dalam dunia lakonan memenatkan apabila terpaksa menunggu lama sehingga awal pagi di lokasi penggambaran, namun, nilai diperoleh tidak semewah pempengaruh media sosial.

Namun, pelakon yang kini tampil menerusi filem terbaharu, Hantu Kuat Ketawa arahan Mawi itu tetap merindui dunia lakonan, malah, banyak tawaran terpaksa dilepaskan kerana kesibukan sebagai pempengaruh media sosial.

"Dahulu, keutamaan saya adalah lakonan. Namun, sekarang sudah berbeza, apatah lagi, usia bukan makin muda.

"Lagipun, kerja sebagai pempengaruh media sosial lebih memberi pendapatan lumayan.

"Malah, saya baru sahaja membeli rumah dengan jumlah bayaran tinggi dengan hasil pendapatan rebiu di laman sosial," katanya kepada BH Online.

Pernah mencipta populariti menerusi drama Anak Pontianak, Zarina turut meluahkan perasaan menerusi laman Instagram (IG) dengan menyifatkan usianya yang kini mencecah 35 tahun tidak ada keperluan menunggu lama di lokasi penggambaran.

"Jika gaji pempengaruh media sosial jauh lebih berganda dan santai, kenapa saya nak ikut penggambaran yang menawarkan gaji sikit dan penat bekerja?

"Gaji penggambaran seminggu saya boleh buat dalam masa dua hari dengan melakukan rebiu di rumah. Jadi, buat apa saya nak susah payah pergi ke lokasi hingga pagi buta meninggalkan anak hanya untuk itu?

"Di mana logiknya? Umur saya sudah 35 tahun. Jadi sudah tentulah saya kejar duit dahulu, glamor kemudian.

"Adakah merindui dunia lakonan, jawapan saya memang iya. Tetapi, saya tidak sanggup nak pergi ke lokasi penggambaran seperti zaman dahulu," katanya.

Zarina merindui dunia lakonan, tetapi tidak lagi sanggup menunggu di lokasi penggambaran seperti zaman dahulu. - NSTP/Aziah Azmee
Zarina merindui dunia lakonan, tetapi tidak lagi sanggup menunggu di lokasi penggambaran seperti zaman dahulu. - NSTP/Aziah Azmee

Mengulas mengenai filem Hantu Kuat Ketawa, ibu kepada Awangku Gabriel Martin Ezra itu berkata, dia terima lamaran pengarah dan penerbit, Mawi disebabkan meminatinya.

"Saya minat Mawi sejak zaman Akademi Fantasia ketiga, jadi, apa salahnya saya bekerjasama dengan Mawi," katanya.

Terdahulu, Zarina menghadiri sidang media filem Hantu Kuat Ketawa yang ditayangkan di Astro First pada 27 Januari ini, semalam. Turut hadir, Mawi dan barisan pelakon lain iaitu Saiful Apek, Syanie, Anas Tahir dan Along Cham.

Zarina berkata, keputusannya tidak menerima tawaran lakonan dengan mudah kerana faham sangat mengenai soal bayaran 'standard' buat pelakon.

"Tahulah industri Malaysia sedih apabila soal bayaran, ada juga yang tidak dapat bayaran langsung.

"Jadi, buat apalah saya nak buat kerja susah apabila ada kerja senang dan lebih seronok sebagai pempengaruh media sosial," katanya.

Berita Harian X