Rabu, 19 Januari 2022 | 11:00am
Faizal akan mengurus dan membiayai sendiri pusat tahfiz untuk warga emas yang akan dibukanya di Kuala Selangor. Foto Ihsan Faizal Ismail
Faizal akan mengurus dan membiayai sendiri pusat tahfiz untuk warga emas yang akan dibukanya di Kuala Selangor. Foto Ihsan Faizal Ismail

Faizal Ismail buka pusat tahfiz

KUALA LUMPUR: Memilih jalan yang mendekatkan dirinya kepada agama menuntut pengorbanan yang bukan sedikit buat bekas penyampai radio dan pengacara terkenal, Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI.

Demi kekal istiqamah dan menjaga keimanan diri, Faizal mengakui pernah menolak tawaran mengendalikan sebuah program hiburan, biarpun ketika itu dia tidak pasti apakah ada peluang atau 'job' lain untuk dijadikan mata pencarian.

Namun, Faizal percaya kepada qada dan qadar serta menyerahkan soal rezeki kepada Allah.

Ternyata, pengorbanan berbaloi apabila Tuhan menggantikan dengan rezeki yang lebih besar, lantas melunaskan hajat yang tersimpan dalam hati selama ini.

Berkongsi lanjut berita gembira itu, bekas penyampai radio Hot FM ini memberitahu, dia bakal membuka sebuah pusat pengajian agama untuk warga emas.

"Saya dan isteri pernah memasang impian untuk membuka sebuah pusat tahfiz. Disebabkan pusat tahfiz untuk kanak-kanak sudah terlalu banyak, kemudahan yang bakal kami usahakan ini memberi fokus kepada warga emas.

"Kebetulan, ketika menghantar ibu mentua saya mendalami ilmu agama di sebuah pondok pengajian, saya bertemu pemiliknya yang juga seorang ustaz.

"Sebaik mendengar hajat saya itu, dia menawarkan sebidang tanah miliknya di Kuala Selangor untuk dijadikan pondok pengajian seperti yang saya impikan.

"Walaupun namanya pondok, namun binaannya seperti sebuah hostel dengan kelengkapan moden. Saya bersyukur diberi rezeki lebih awal.

"Kalau kita tinggalkan sesuatu kerana Allah, saya yakin Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih kepada kita," katanya kepada BH Online.

Faizal atau nama penuhnya, Mohd Faizal Ismail, 45, memberitahu, pondok pengajian itu akan diurus dan dibiayai secara peribadi olehnya.

"Pada awalnya, ustaz berkenaan mahu menguruskan sendiri pusat tahfiz itu. Namun, hatinya masih berbelah bahagi. Bagaimanapun, selepas mendengar impian saya, dia meminta saya menguruskannya.

"Pendaftaran pondok pengajian ini akan dibuat atas nama saya. Selain pembiayaan secara peribadi, kami akan meminta sumbangan orang ramai bagi menampung kos pengurusannya," kata pengacara yang berasal dari Pulau Pinang ini.

Tambah Faizal, bukan sekadar dapat merealisasikan impian beramal, malah rezekinya dalam bidang pengacaraan datang mencurah-curah.

"Tawaran mengendalikan program Hijrahkan Laguku terbitan TV Alhijrah datang tepat pada waktunya. Lebih menggembirakan apabila saya dilamar sebuah agensi umrah untuk bekerjasama dengan mereka," katanya.

Mengulas kehidupannya selepas berhijrah, Faizal gembira kerana perubahan itu turut memberi impak kepada insan tersayang.

"Bukan sahaja isteri dan anak-anak, malah mempengaruhi ibu dan bapa mentua saya. Mereka berminat mengikut jemaah tabligh bersama saya dan isteri.

"Anak-anak pula sudah mampu menghafal al-Quran. Dalam kita sibuk mengajar anak-anak ilmu dunia, bekalan untuk akhirat jangan sesekali dilupakan. Apa yang saya harapkan adalah untuk terus kekal istiqamah.

"Saya tidak mahu rezeki yang diterima ini membuatkan saya lalai dari mengingati-Nya. Kesenangan dan nikmat yang diberikan adalah ujian Allah untuk hamba-Nya," katanya.

Berita Harian X