Ahad, 16 Januari 2022 | 6:04pm
Aniq berharap dapat bertemu Johan yang terputus hubungan sejak 2012 dan mahu meraikan sambutan Tahun Bahari Cina bersama. - Foto IG Aniq Suhair
Aniq berharap dapat bertemu Johan yang terputus hubungan sejak 2012 dan mahu meraikan sambutan Tahun Bahari Cina bersama. - Foto IG Aniq Suhair

Aniq minta netizen bantu jejaki teman baik

KUALA LUMPUR: Selepas sedekad tidak bersua, pelakon Aniq Suhair, 22, sedang berusaha mencari teman baik, Johan Chong ketika di Sekolah Kebangsaan St John 2, Kuala Lumpur.

Aniq berkata, dia mahu mencari rakan sekelasnya yang berbangsa Cina itu disebabkan mahu membalas jasa baiknya yang sering membantu dalam subjek Sains.

"Saya ada memuat naik video bagi mencari Johan dalam laman Instagram. Saya ada menerima beberapa mesej pengikut IG yang berkongsi khabar berita mengenai.

"Saya dan Johan tidak lagi bertemu sejak 2012. Sebenarnya, susah juga nak menjejaki rakan lama yang terputus hubungan.

"Hingga sampai, saya dan rakan lain masih mencari Johan. Saya memang nak sangat jumpa dengannya.

"Ketika sekolah Johan banyak mengajar saya dalam subjek Sains dan bantu saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan," katanya kepada BH Online.

Aniq atau nama sebenarnya, Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh berkata, besar harapannya bertemu Johan dan meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama.

Aniq kini bergelar hos program Mbuzz di TV3. - Foto IG Aniq Suhair
Aniq kini bergelar hos program Mbuzz di TV3. - Foto IG Aniq Suhair

Malah, pelakon drama Lelaki Lingkungan Cinta dan Tahyul itu mohon kerjasama pengikut yang mengetahui maklumat berkenaan Johan.

"Saya harap sangat dapat jumpa Johan secepat mungkin, lagi pula, perayaan Tahun Baharu Cina semakin dekat.

"Kalau jumpa bolehlah kami meraikannya bersama untuk kembali merapatkan silaturahim.

"Saya harap Johan tahu saya sedang mencarinya. Jika ada rakan lain kenal Johan tolong beritahu saya," kata pengacara program Mbuzz di TV3 itu.

Kini, Aniq menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan di sebuah kolej di Petaling Jaya.

"Hari ini (semalam) hari pertama saya masuk kelas. Jujurnya, saya sangat teruja.

"Saya memilih menyambung pengajian disebabkan saya fikir pada usia awal 20-an adalah masa untuk menghabiskan pengajian.

Lagipun, dalam hidup kita tidak boleh berhenti belajar.

"Dengan usia yang masih muda, eloklah saya menyambung pengajian. Apabila usia sudah meningkat mungkin saya sibuk dengan perkara lain.

"Walaupun saya sibuk dengan dunia lakonan, tetapi, ini juga masa terbaik untuk saya sambung belajar. Lagipun, saya sambung belajar secara sambilan, kelas pula hanya pada hujung minggu," katanya.

Berita Harian X