Ahad, 16 Januari 2022 | 3:00pm
Nikki gagahkan diri meminjam pen daripada jururawat dan terbalikkan kertas resit lama menulis lirik lagu persembahan untuk GV8, malam ini. - Foto Nikki Palikat
Nikki gagahkan diri meminjam pen daripada jururawat dan terbalikkan kertas resit lama menulis lirik lagu persembahan untuk GV8, malam ini. - Foto Nikki Palikat

Nikki hafal lirik atas katil hospital

KUALA LUMPUR: Penyanyi Nikki Palikat terus gagahkan diri meneruskan persembahan dalam program realiti, Gegar Vaganza musim kelapan walaupun baru sahaja keluar hospital akibat kepenatan, minggu lalu.

Bagaimanapun, Nikki berkata, dia sudah keluar hospital dan kembali fokus meneruskan perjuangan dalam peringkat separuh akhir program GV8, malam ini.

"Adat pertandingan, saya juga tidak terlepas daripada ujian dan tekanan. Tambah pula, malam ini fasa penentuan sama ada saya mampu mara ke peringkat atau sebaliknya.

"Saya akui, persediaan berubah secara drastik apabila saya dimasukkan ke hospital. Ia tak menjadi seperti dibayangkan. Namun, saya akan berusaha melakukan sehabis baik walaupun bergelut dengan masalah kesihatan," katanya kepada BH Online.

Nikki berkata, dia tetap membuat latihan walaupun berada atas katil hospital.

"Saya gagahkan diri meminjam pen jururawat dan terbalikkan kertas resit lama menulis lirik lagu persembahan.

"Sambil terlantar atas katil hospital, saya cuba hafal lirik, tetapi ia bukan perkara mudah. Selalunya, saya hafal lirik sambil makan buah longan atau basuh pinggan di rumah," katanya sambil ketawa.

Nikki akui, caranya menguatkan diri untuk cepat sembuh menjadi salah satu tekanan yang perlu dihadapi. - Foto IG Nikki Palikat
Nikki akui, caranya menguatkan diri untuk cepat sembuh menjadi salah satu tekanan yang perlu dihadapi. - Foto IG Nikki Palikat

Penyanyi lagu Caramu itu tak menafikan, caranya menguatkan diri untuk cepat sembuh menjadi salah satu tekanan yang perlu dihadapi.

"Kali ini, saya cuba berehat sebanyak mungkin tanpa cuba 'memaksa' diri untuk cepat sembuh.

"Ia menyebabkan tekanan sebenarnya, tetapi, itu sahaja yang termampu dilakukan ketika ini," katanya yang bakal mendendangkan lagu Puncak Kasih nyanyian asal Ziana Zain.

Katanya, lirik lagu Puncak Kasih sangat puitis dan banyak metafora.

"Saya menghafal sambil membayangkan percikan embun, istana tiada seri dengan kelukaan mendalam seperti dalam video muzik lagu ini," katanya.

Berita Harian X