Sabtu, 15 Januari 2022 | 5:00pm
Scha agak berat hati berjauhan dengan dua permata hatinya, Lara Alana dan Lyla Amina apabila penggambaran filem Telaga Suriram turut dilakukan di luar Kuala Lumpur. - NSTP/Aziah Azmee
Scha agak berat hati berjauhan dengan dua permata hatinya, Lara Alana dan Lyla Amina apabila penggambaran filem Telaga Suriram turut dilakukan di luar Kuala Lumpur. - NSTP/Aziah Azmee

Scha berkorban demi kerjaya lakonan

KUALA LUMPUR: Azam pelakon dan pengacara popular, Scha Alyahya mahu kembali aktif dalam bidang lakonan yang pernah ditinggalkan seketika sejurus jendela 2022 menyingkap tirai.

Sebelum ini, Scha banyak memberi tumpuan kepada dunia peragaan, selain berehat panjang selepas melahirkan cahaya mata kedua, tahun lalu.

Percaturan Tuhan nyata cukup cantik apabila tawaran demi tawaran diterima termasuk lamaran pengarah idamannya, Osman Ali yang melahirkan hasrat bekerjasama menerusi filem terbaharu berjudul Telaga Suriram.

Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, Scha atau nama sebenarnya, Sharifah Norazean Syed Mahadzir Alyahya mengakui, dia tidak mengambil masa lama untuk menerima tawaran terbabit.

"Azam saya mahu kembali aktif dalam bidang lakonan pada 2022. Justeru, apabila tawaran datang, saya memang tidak berfikir dua kali dan terus menerimanya.

"Bagi penggiat seni mereka tahu bagaimana karya Osman. Sudah tentu menjadi impian saya berlakon di bawah arahannya. Lagipun Osman pernah mengundang saya, cuma, masa tidak mengizinkan.

"Tak mahu sekali lagi terlepas peluang, saya sudah kosongkan jadual agar impian menjadi kenyataan" katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Telaga Suriram, baru-baru ini.

Sebagai persiapan, isteri kepada pelakon dan pengacara Awal Ashaari ini memaklumkan, dia mengambil inisiatif dengan menyertai kelas lakonan sebagai mempersiapkan diri memegang watak pegawai penyiasat bernama Karmila.

"Sebelum ini, saya banyak ditawarkan watak ringan, sedangkan, karya Osman berat dan memerlukan tuntutan jiwa. Keadaan ini menyebabkan saya takut. Untuk mencabar diri, saya terima tawaran ini.

"Meskipun produksi Osman menyediakan guru lakonan iaitu Ellie Suriaty, tetapi, saya ambil inisiatif tambahan untuk mengikuti kelas lakonan bersama Norzizi Zulkifli.

"Saya mengambil kelas berasingan kerana tidak mahu Ellie kelam-kabut. Dia juga perlu memberikan perhatian kepada pelakon lain, jadi, agak sukar memberi fokus kepada saya seorang.

"Kalau boleh, saya mahu kelas lakonan dibuat setiap hari. Tetapi, saya dimaklumkan Zizi hanya mempunyai waktu terluang pada waktu malam sahaja. Buat masa ini, saya masih menunggu Zizi menyusun jadual," katanya.

Scha mengambil inisiatif dengan menyertai kelas lakonan sebagai persiapan memegang watak pegawai penyiasat bernama Karmila dalam filem Telaga Suriram. - NSTP/Aziah Azmee
Scha mengambil inisiatif dengan menyertai kelas lakonan sebagai persiapan memegang watak pegawai penyiasat bernama Karmila dalam filem Telaga Suriram. - NSTP/Aziah Azmee

Dalam keterujaan kembali ke lokasi penggambaran, bekas juara pencarian Dewi Remaja 2005/2006 ini mengakui, agak berat berjauhan dengan dua permata hatinya, Lara Alana dan Lyla Amina.

"Jujurnya, saya sedih terpaksa meninggalkan Lara dan Lyla ketika penggambaran filem yang diadakan di luar Kuala Lumpur. Ada masanya saya perlu ke luar daerah selama dua minggu.

"Ini kali pertama saya berjauhan lama dengan mereka. Kami tak pernah berenggang sepanjang tahun lalu. Jadi, saya sudah meminta Awal menguruskan hal berkaitan pembelajaran Lara seperti kerja sekolah dan sebagainya.

"Saya tiada masalah dengan Lyla kerana ada pembantu rumah menguruskannya. Cuma, apabila kembali bekerja, timbul rasa risau dengan pandemik COVID-19.

"Selain mengelak tidak ke mana-mana jika tidak terbabit dalam penggambaran, saya sudah menyediakan satu kotak besar alat ujian kendiri COVID-19.

"Mungkin tiga atau empat hari sekali saya akan melakukan ujian sebagai langkah keselamatan," ujarnya.

Memilih Perak, Kedah dan Perlis sebagai lokasi penggambaran, filem Telaga Suriram adalah karya sulung syarikat Odissi Creative Sdn Bhd dengan kerjasama produksi milik Osman, Nuansa Films.

Selain Scha, filem bergenre seram itu turut dibintangi Maya Karin, Nabila Huda dan Farid Kamil.

Berita Harian X