Khamis, 13 Januari 2022 | 6:00pm
Watak antagonis mainan jiwa Syazwan sejak 10 tahun bergelar pelakon. - Foto IG Syazwan Zulkifly
Watak antagonis mainan jiwa Syazwan sejak 10 tahun bergelar pelakon. - Foto IG Syazwan Zulkifly

Syazwan sukar kikis dakwaan 'panas baran'

KUALA LUMPUR: Pernah digam stesen televisyen (TV) gara-gara kontroversi mencederakan bekas kekasih yang juga seorang pengacara, aktor yang dikenali dengan watak antagonis, Syazwan Zulkifly bersyukur, mampu bertahan selama sedekad dalam industri seni.

Mula melakar nama menerusi lakonan mantap sebagai Apek dalam drama popular, Juvana, hampir lapan tahun lalu, Syazwan, 34, terus rancak mengorak langkah dalam arena lakonan.

Malah, lakonan dalam kebanyakan drama di kaca TV jarang mengecewakan. Namun, untuk bertahan bukanlah sesuatu yang mudah, ditambah pula, rekodnya yang didakwa 'panas baran'.

Syazwan bersyukur, khidmatnya nyata masih diperlukan terutama dalam menjayakan watak antagonis.

"Banyak benda yang dilalui sepanjang 10 tahun berada dalam industri lakonan. Saya pernah digam stesen TV gara-gara gosip. Akibat gosip, sehingga sekarang, saya masih dilabel panas baran.

"Sedangkan, dakwaan ini tidak betul. Saya pun tidak tahu bagaimana hendak membuktikan saya bukan seperti yang disangka. Apa yang mampu dilakukan dengan membuktikannya melalui lakonan.

"Alhamdulillah, biarpun mungkin saya tidak bekerja dengan banyak produksi, tetapi, mereka yang pernah bekerja dengan saya akan menjalinkan kerjasama berterusan dengan saya.

"Siapa yang pernah bekerja tahu bagaimana perangai saya," katanya kepada BH Online.

Syazwan ditemui pada sidang media drama yang mengisi slot Samarinda, Saat Kau Takluk Cinta Ini siaran slot Samarinda di kaca TV3, baru-baru ini.

Syazwan membawa watak antagonis bergandingan dengan Idris dan Intan dalam drama terbaharu, Saat Kau Takluk Cinta Ini. - Foto IG Syazwan Zulkifly
Syazwan membawa watak antagonis bergandingan dengan Idris dan Intan dalam drama terbaharu, Saat Kau Takluk Cinta Ini. - Foto IG Syazwan Zulkifly

Syazwan yang membawakan watak antagonis sebagai Fakhril bersyukur, rezekinya tidak putus walaupun ketika berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Malah, katanya, dia tidak kisah walaupun sering mendapat kepercayaan membawakan watak antagonis.

"Selepas PKP dan PPN, memang jadual agak bercelaru kerana saya terpaksa mengejar beberapa jadual penggambaran yang tertangguh sebelum itu.

"Alhamdulillah, saya berjaya mengejar semula jadual penggambaran yang terganggu.

"Selain itu, saya kini sedang mengusahakan sesuatu bersama rakan. Kami menubuhkan syarikat produksi, insya Allah akan muncul dengan buah tangan pertama, tahun ini.

"Sementara menunggu perancangan ini, saya fokus kepada kerjaya lakonan. Sepanjang sedekad dalam industri, tak dinafikan sering diberikan watak antagonis.

"Memang watak antagonis kena dengan jiwa, tetapi, saya cuba sedaya upaya memberi kelainan setiap kali muncul di kaca TV.

"Saya tonjolkan kelainan menerusi pakaian dan karakter. Namun, jika karakter ditawarkan hampir sama dengan watak yang pernah dibawakan, saya akan tolak," katanya.

Saat Kau Takluk Cinta Ini adalah karya Sara Hezra terbitan Kembara Sufi Sdn Bhd. Drama sebanyak 15 episod itu diarahkan oleh Zamri Zakaria, manakala, skrip ditulis oleh Eja Lorena.

Selain Syazwan, drama itu turut dibintangi Idris Khan, Intan Najuwa, Shakilla Khoriri, Wafariena Roslan, Wan Maimunah, Zarynn Min, Edika Yusof, Jasmin Hamid, Raja Azmi, Raja Noor Baizura dan Aleza Shadan.

Berita Harian X