Selasa, 4 Januari 2022 | 11:00am
Naim berjanji memberikan persembahan terbaik bukan sahaja kepada Lara tetapi lagu Purnama yang turut berjaya bolos ke pentas akhir. - Foto Ihsan TV3
Naim berjanji memberikan persembahan terbaik bukan sahaja kepada Lara tetapi lagu Purnama yang turut berjaya bolos ke pentas akhir. - Foto Ihsan TV3

Suara 'pinggan bergesel' tak disengajakan

KUALA LUMPUR: Terkucil ketika beraksi di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 36 (SFMM36) ketika mendendangkan lagu Lara bersama Hael Husaini dan Haqiem Rusli tidak melunturkan semangat penyanyi dan komposer muda, Naim Daniel.

Malah, suara seperti pinggan bergesel disifatkan satu bentuk kesilapan tidak disengajakan sebagai seorang manusia biasa.

Naim berkata, kesilapan dilakukan menjadikannya bertambah bersemangat memberikan persembahan terbaik pada malam kemuncak, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 yang belum diumumkan tarikh.

Mengakui kurang latihan menyebabkan sukar mengawal vokal, Naim sudah memohon maaf secara langsung kepada dua rakan duet sebaik usai persembahan.

Namun, katanya, dia bertuah Hael dan Haqiem tidak menyalahkannya, sebaliknya turut memohon maaf kerana masing-masing tidak sempurna.

"Ini kali pertama berdepan situasi terkucil pada acara siaran langsung. Saya terkejut, malah jika dilihat semula video yang tular, dapat lihat reaksi wajah saya terkejut.

"Sebagai penyanyi, saya sudah lama bersedia dan menjangka situasi seperti ini pasti akan berlaku kepada seseorang penyanyi. Bagaimanapun, ia tidak melemahkan saya, malah, saya tidak mampu mengawal perkara seperti ini terjadi. Bukan setiap masa dapat memberikan persembahan sempurna," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur bergandingan dengan rakan duet yang sangat memahami dan walaupun melakukan kesilapan, tetapi mereka turut bersama bertanggungjawab.

"Selepas lagu Lara diumumkan mara ke pentas AJL36, kami berjanji memberikan persembahan terbaik dan memperbanyakkan latihan," katanya.

Naim minta maaf kepada dua rakan duet, Hael dan Haqiem atas kesilapan tidak dapat membuat persembahan sempurna pada malam SFMM36. - Foto Ihsan TV3
Naim minta maaf kepada dua rakan duet, Hael dan Haqiem atas kesilapan tidak dapat membuat persembahan sempurna pada malam SFMM36. - Foto Ihsan TV3

Tidak menafikan, kurang latihan menjadi penyumbang kepada kesilapannya, malah mereka hanya pernah menyampaikannya secara live sebanyak tiga kali termasuk SFMM36 sejak lagu Lara diperkenalkan.

"Kesilapan mungkin dapat dielakkan sekiranya banyak berlatih. Kami sudah membincangkan konsep bakal dibawakan ke pentas AJL36.

"Saya berjanji memberikan persembahan terbaik bukan sahaja kepada Lara tetapi lagu Purnama yang turut berjaya bolos ke pentas akhir.

"Ini bagaikan peluang membalas dendam atas kegagalan saya mara ke AJL, tahun lalu. Saya seronok melihat calon AJL36 tahun ini menyaksikan persaingan ramai wajah baharu dan popular.

"Bagi saya, ini peluang generasi untuk mengekspresikan diri dengan menampilkan idea lebih segar. Selain itu, ia juga bakal memberi nafas baharu kepada ekosistem industri muzik," katanya yang baru sahaja menerima pengiktirafan Persembahan Lagu Melayu Terbanyak pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2021 menerusi lagu Sumpah.

Mengulas kemenangan lagu Sumpah ciptaannya bersama Omar K pada Anugerah MACP 2021, Naim berkata, dia bersyukur dan akan bekerja dengan lebih efisien lagi.

Katanya, kemenangan itu juga meniupkan semangat untuk menghasilkan lebih banyak karya berkualiti.

"Saya terharu kemenangan ini membuatkan saya ingin bekerja dengan lebih keras lagi. Saya tidak sangka lagu Sumpah muncul kategori Persembahan Lagu Melayu Terbanyak.

"Saya seronok wajah baharu semakin diterima dan diberi peluang menyemarakkan industri muzik," katanya.

Berita Harian X