Sabtu, 1 Januari 2022 | 12:00pm
Nad menasihati pelakon baharu agar menghargai peluang lakonan diberikan agar tidak membuatkan pelakon senior berbunyi dan marah. - Foto IG Nad Zainal
Nad menasihati pelakon baharu agar menghargai peluang lakonan diberikan agar tidak membuatkan pelakon senior berbunyi dan marah. - Foto IG Nad Zainal

Nad enggan menangis, marah 24 jam?

KUALA LUMPUR: Kredibiliti Nad Zainal sebagai aktres berkaliber memang tidak boleh disangkal lagi. Jika tidak masakan pernah menggenggam trofi terbaik dan popular sepanjang 13 tahun bergelar anak seni.

Tidak pernah mengecewakan penonton dalam setiap naskhah dibawakan, keberkesanan lakonan sebagai Juita menerusi drama Takdir Yang Tertulis melayakkan pelakon berusia 31 tahun itu untuk dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Drama Sangat 2021.

Biarpun pernah menggenggam trofi Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-28 (ABPBH 28) dan Pelakon Wanita Terbaik (Drama), Anugerah Skrin 2018, Nad mengakui sering membawakan watak wanita teraniaya, namun,

sebolehnya mengelakkan menerima watak stereotaip.

"Saya banyak menerima naskhah skrip yang memerlukan saya menangis dan marah selama 24 jam. Bagaimanapun, tidak semua watak ditawarkan akan diterima. Saya cuba bersikap selektif dengan mengelakkan daripada membawakan watak stereotaip.

"Saya cuba menolak naskhah ringan berkaitan cinta. Jujurnya, saya agak takut dengan karya ringan kerana bimbang tidak mampu memberikan persembahan baik.

"Alhamdulillah, kebanyakan kisah cinta yang dibawakan di kalangan cinta matang," katanya yang mula dikenali dalam dunia lakonan menerusi drama Impian dan Bukan Bidadari.

Bekas graduan Diploma Teater Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu sempat menasihati pelakon baharu agar menghargai peluang lakonan diberikan.

Nad semakin seronok dengan kewujudan saluran TV dan OTT menyebabkan produser berlumba-lumba menghasilkan karya yang bagus. - Foto IG Nad Zainal
Nad semakin seronok dengan kewujudan saluran TV dan OTT menyebabkan produser berlumba-lumba menghasilkan karya yang bagus. - Foto IG Nad Zainal

Katanya, pendatang baharu harus menggunakan ruang diberikan dengan sebaiknya bagi mengelakkan daripada menimbulkan rasa tidak puas di kalangan pelakon senior.

"Jika diberikan tugas, buatlah sehabis baik kerana tidak semua mendapat ruang seperti yang diterima. Ia agar tidak timbul rasa tidak puas hati di kalangan pelakon senior yang hanya mempunyai ratusan ribu pengikut sahaja.

"Ada sebahagiannya bersusah payah berlatih di pusat latihan teater, tetapi tidak dipanggil. Jadi, ambillah tanggungjawab diberikan dengan sehabis baik dan janganlah tawar menawar harga seolah-olah sudah berada dalam industri selama 20 tahun dan menggenggam banyak anugerah.

"Itu menjadi punca kenapa sesetengah pelakon senior 'berbunyi', jadi apabila sudah dapat peluang, buatlah dengan sehabis baik supaya orang tidak mengata," katanya.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin itu berkata, dia semakin seronok dengan kepelbagaian karya dalam industri seni tanah air.

Diperkenalkan menerusi drama Impian pada 2008, seterusnya menyerlah menerusi drama bersiri remaja, Memberku Hawa, Nad berkata, kewujudan pelbagai saluran televisyen (TV) dan Over The Top (OTT) menyebabkan produser berlumba-lumba menghasilkan karya yang bagus.

"Kewujudan banyak saluran TV digital dan penstriman menyebabkan penyiar semakin berdaya saing kerana penonton semakin bijak dan muak disajikan dengan tema cerita sama.

"Sama juga lakonan, penonton akan muak jika pelakon asyik menampilkan lakonan sama," katanya.

Dijolok dengan gelaran Ratu Watak Berat, Nad pernah kena 'reject' dan menjadi pilihan terakhir dalam membintangi drama.

Nad mendirikan rumah tangga dengan Faliq Muhammad Faliq Amirudin pada 2015. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Fahad Ibrahim, 5, dan Budi Kalsom berusia lapan bulan.

Berita Harian X