Jumaat, 31 Disember 2021 | 5:40pm
Denden mencuri tumpuan dunia apabila aksinya dalam program The Voice Bulgaria membuatkan juri terpukau.
Denden mencuri tumpuan dunia apabila aksinya dalam program The Voice Bulgaria membuatkan juri terpukau.

Vokal nada tinggi kelebihan Denden ganti Amy

KUALA LUMPUR: Penyanyi dari Indonesia, Denden Gonjales, 38, dipilih sebagai vokalis baharu kumpulan ikonik legenda, Search dalam projek kolaborasi antara dua negara.

Pengumuman dibuat dua gitaris Search, Din dan Kid dalam majlis sidang media di The Grand Campbell Hotel, di sini, petang ini.

Mengulas pemilihan Denden, Din berkata, vokal Denden bernada tinggi memberi kelebihan menyampaikan lagu popular Search menyebabkan mereka tertarik melamarnya.

"Kami menyedari bakat dimiliki Denden melalui laman YouTube. Denden sudah biasa menyanyikan lagu Search seperti Isabella, selain mempunyai ramai peminat.

"Search melihat kolaborasi ini sebagai satu peluang baik untuk kembali mengembangkan kerjaya muzik di Indonesia bagi menarik peminat generasi baharu.

"Kami akan merakamkan semula lagu-lagu Search yang pernah popular, namun, turut mempunyai perancangan merakamkan lagu baharu," katanya kepada BH Online.

Selain Din dan Kid di posisi gitar dan Denden selaku vokalis, Search juga mengumumkan pemuzik berpengalaman iaitu Yan sebagai pemain bass.

Yan atau nama sebenarnya, Amran Marsiman juga bukan asing bagi peminat Search kerana pernah menganggotai Search ketika album pertama, Cinta Buatan Malaysia pada 1985.

Selain itu, Yan bersama Search menerusi album Rampage, Double Trouble (bersama Wings) dan Search 10 Tahun.

Din berkata, Yan bersetuju menyertai Search kerana keserasian bersama kumpulan ikonik itu.

"Yan serasi dengan Search. Dia sudah bermain dalam banyak konsert Search termasuk ketika mengadakan persembahan di New Music Seminar di New York, Amerika Syarikat pada 1991," katanya.

Din, Kid, Yan dan Pae akan terus memperjuangkan legasi Search termasuk kolaborasi dua negara, Malaysia dan Indonesia.
Din, Kid, Yan dan Pae akan terus memperjuangkan legasi Search termasuk kolaborasi dua negara, Malaysia dan Indonesia.

Selain itu, Search mengekalkan khidmat Pae sebagai pemain dram.

Sebelum ini, Pae adalah pemain dram undangan bagi menggantikan Allahyarham Yazit Ahmad ketika mengalami masalah kesihatan, beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Kid berkata, usia Denden yang masih muda antara faktor pemilihannya.

"Dengan usia masih muda, kami yakin Denden boleh membawakan lagu-lagu Search dengan baik.

"Bagi Search, usia mencecah 38 tahun amat sesuai untuk kemuncak prestasi," katanya.

Mengenai hasrat Search merakamkan semula lagu popular yang boleh menimbulkan pertikaian bekas vokalis, Amy, Din berkata, ia tidak akan menjadi isu.

"Tiada isu memandangkan komposer, Datuk M Nasir yang banyak mencipta lagu berhantu Search menganggapnya bukan satu masalah.

"Apapun, kami kena teliti semula lagu-lagu sebelum merakamkan semula," katanya.

Denden bukan asing lagi bagi kelompok peminat di negara seberang kerana pernah bekerjasama dengan penyanyi popular, Inka Christie dan Judika.

Malah, Denden pernah mencuri tumpuan dunia apabila aksinya dalam program The Voice Bulgaria, membuat juri terpukau ketika menyanyikan lagu She's Gone nyanyian asal Steelheart.

Berita Harian X