Khamis, 30 Disember 2021 | 5:38pm
Neelofa akhirnya buka mulut kongsi soal kehamilan berikutan tidak lagi boleh menutup perutnya yang semakin membesar. - Foto IG Neelofa
Neelofa akhirnya buka mulut kongsi soal kehamilan berikutan tidak lagi boleh menutup perutnya yang semakin membesar. - Foto IG Neelofa

Neelofa dah nak bersalin...

KUALA LUMPUR: Selebriti popular, Neelofa, 32, akhirnya membuka mulut berkongsi fasa terakhir kehamilan.

Bagaimanapun, isteri kepada pendakwah bebas, PU Riz itu enggan mendedahkan usia kandungan, hanya memaklumkan kini dalam persediaan menyambut kelahiran bayi sulungnya.

"Ya, saya sudah sampai ke fasa akhir. Saya pun tidak tahu bila akan melahirkan anak pertama, mungkin awal atau terlewat.

"Jadi, apa yang boleh dikongsi saya berada pada fasa akhir. Saya mengharap doa orang ramai agar memudahkan urusan saya bersalin," katanya kepada BH Online.

Enggan mendedahkan jantina bayinya, Neelofa berkata, dia kini lebih selesa dan terbuka berkongsi memandangkan perutnya tidak boleh disorok lagi.

"Saya mahu lari daripada kebiasaan. Ini disebabkan ramai suka mengumumkan kehamilan. Sebenarnya tak perlu buat sedemikian, sebab digalakkan menghebahkan kelahiran berbanding kehamilan.

"Namun, sebagai 'public figure', perut sudah nampak, jadi saya tidak boleh berselindung lagi. Rata-ratanya sudah tahu, saya tak boleh buat apa-apa, sudah masanya saya lebih terbuka.

"Jujurnya, banyak perkara yang mahu dikongsi. Apa persediaan saya sebagai bakal ibu yang bakal melahirkan anak pertama, tetapi saya akan berkongsi lebih terperinci pada masa sesuai," katanya.

PU Riz mengagihkan barang keperluan dan makanan untuk mangsa banjir. - Foto IG PU Riz
PU Riz mengagihkan barang keperluan dan makanan untuk mangsa banjir. - Foto IG PU Riz

Berkongsi lanjut, Neelofa berkata, dia masih bekerja, namun, perlu diseimbangkan penjagaan diri dan kandungan.

"Ada hari saya bekerja, ada masanya perlu menghadiri rawatan, fisioterapi, urutan dan sebagainya. Semuanya seimbang, tidaklah terlalu sibuk dan relaks.

"Kalau penat, saya rehat. Saya mendengar apa yang badan saya katakan," katanya.

Sementara itu, Neelofa antara selebriti yang tidak putus menghulurkan bantuan buat mangsa banjir terjejas, baru-baru ini.

Kata Neelofa, sehingga hari ini, usaha bantuan masih giat dijalankan oleh Pertubuhan Kasih Neelofa.

"Jika tengok hari ini, kami masih menjalankan misi bantuan banjir. Namun, apabila melihat ramai membantu dari segi keperluan asas dan makanan, kami pula fokus kepada kerja pembersihan.

"Kalau nak bagi barang tak guna juga jika rumah masih kotor. Jadi, kami menggunakan duit sumbangan orang ramai membersihkan sampah menutupi jalan.

"Pihak berkuasa gembira apabila Pertubuhan Kasih Neelofa bantu membersihkan sampah. Ini kerana kos pembersihan juga memerlukan belanja tinggi. Jadi badan bukan kerajaan (NGO) perlu banyak membantu.

"Ekoran itu, kami dapat membuat aktiviti pembersihan atas sumbangan orang ramai," katanya.

PU Riz melakukan kerja pembersihan di kawasan terjejas teruk akibat banjir di Hulu Langat. - Foto IG PU Riz
PU Riz melakukan kerja pembersihan di kawasan terjejas teruk akibat banjir di Hulu Langat. - Foto IG PU Riz

Tambah Neelofa, selepas menjalankan aktiviti pembersihan di Padang Jawa, Selangor, Pertubuhan Kasih Neelofa membawa 28 lori membersihkan kawasan sekitar Hulu Langat.

Sebagai pengerusi Pertubuhan Kasih Neelofa, katanya, dia amat bersyukur dapat membantu mengurangkan beban meskipun tidak berkesempatan turun ke lokasi banjir.

"Saya tak turun padang sebab tidak mahu menanggung risiko. Saya pula tidak tahu keadaannya.

"Jadi, hanya suami giat membantu mangsa banjir dan sempat dua kali berkunjung ke kawasan Hulu Langat. Alhamdulillah, dapat juga membantu apa yang patut," katanya.

Berita Harian X