Selasa, 28 Disember 2021 | 6:28pm

Namewee terima royalti MACP 2021 tertinggi

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap dan komposer kontroversi, Namewee menewaskan Datuk M Nasir apabila dipilih sebagai penerima Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2021 yang diadakan di The Bee, Publika, petang ini.

Selain itu, Namewee atau nama sebenarnya, Huang Ming Zhi turut memenangi kategori Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi menerusi lagu berjudul Piao Xiang Bi Fang.

Dalam majlis yang berlangsung dalam suasana norma baharu itu, syarikat Luncai Emas terus mempertahankan kemenangan sebagai Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak.

Bagi kategori Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi dimenangi Universal Music Publishing Sdn Bhd.

Penyanyi dan komposer berbakat besar, Zynakal dipilih sebagai penerima kategori Komposer Muda Berpotensi.

Lagu yang pernah dijulang sebagai Juara Lagu, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, Sumpah dendangan Naim Daniel dan ciptaan Naim serta Omar K pula memenangi kategori Persembahan Lagu Melayu Terbanyak.

Dalam perkembangan sama, lagu ciptaan Edry Abd Halim berjudul I Am Me nyanyian Datuk Seri Vida memenangi kategori Persembahan Lagu Inggeris Terbanyak.

Sementara itu, lagu Drama Queen ciptaan Quasimofo dan lirik oleh Ka Xi memenangi Lagu Cina Dendangan Terbanyak.

Zynakal dipilih sebagai penerima kategori Komposer Muda Berpotensi pada Anugerah MACP 2021. - NSTP/Owee Ah Chun
Zynakal dipilih sebagai penerima kategori Komposer Muda Berpotensi pada Anugerah MACP 2021. - NSTP/Owee Ah Chun

Bagi kategori Lagu Tamil Dendangan Terbanyak dimenangi lagu Pogiren ciptaan Prashan dan lirik oleh Mugen Rao.

Bagi kategori Lagu Luar Negara Dendangan Terbanyak menjadi milik lagu Wei Da De Miao Xiao nyanyian dan ciptaan Lin Jun Jie dan lirik ditulis oleh Xiao Han.

Anugerah MACP adalah majlis penghargaan kepada penggiat seni yang menyumbang hasil karya untuk perkembangan industri muzik tempatan.

Bagaimanapun, acara itu tidak diadakan berikutan pandemik COVID-19, tahun lalu.

Ini adalah hasil royalti dikutip oleh MACP daripada persembahan muzik di stesen televisyen, radio, konsert, majlis makan malam dan lain-lain organisasi yang dilesenkan oleh badan berkenaan.

Pengerusi MACP, M Nasir bersama barisan pemenang yang memperoleh royalti terbanyak pada Anugerah MACP 2021. - NSTP/Owee Ah Chun
Pengerusi MACP, M Nasir bersama barisan pemenang yang memperoleh royalti terbanyak pada Anugerah MACP 2021. - NSTP/Owee Ah Chun
Berita Harian X