Sabtu, 25 Disember 2021 | 5:30pm
Eisya yang pernah popular dengan lagu Nurani pada 1997 kini berpurdah. Foto Ihsan Eisya
Eisya yang pernah popular dengan lagu Nurani pada 1997 kini berpurdah. Foto Ihsan Eisya

Banjir bagai tsunami, Eisya tinggal sehelai sepinggang

KUALA LUMPUR: Banjir besar yang tidak ubah seperti tsunami, Sabtu lalu, menenggelamkan kediaman penyanyi yang popular dengan lagu Nurani pada 1997, Eisya.

Air yang naik pantas menyebabkan kediaman setingkat didiami Eisya, suami, anak dan ibu di Kampung Sri Aman, Puchong, ditenggelami air.

Banjir turut memusnahkan studio milik adik Eisya yang terletak di belakang rumah, tiga kenderaan dan empat motosikal milik keluarga penyanyi itu.

"Tiada apa yang sempat diselamatkan melainkan dokumen penting. Rumah saya tidak ubah seperti filem Tiga Abdul, lapang berikutan banyak perabot rosak akibat tiga hari berendam dalam air.

Barangan dalam kediaman Eisya yang rosak akibat banjir. Foto Ihsan Eisya
Barangan dalam kediaman Eisya yang rosak akibat banjir. Foto Ihsan Eisya

"Kali terakhir kampung kami dilanda banjir pada 2010. Tetapi, ketika itu, tidaklah teruk. Sebelum ini, air hanya naik paras pinggang. Kali ini, seluruh rumah tenggelam," katanya kepada BH Online.

Menceritakan detik cemas itu, Eisya berkata, sejurus melihat air naik, mereka mahu mengalihkan kenderaan.

"Namun, apabila air naik dengan cepat dan deras, kami tunggu sebentar, kalau-kalau air surut. Tidak sangka pula air makin naik.

"Lalu kami meredah banjir menuju ke jalan besar bagi menyelamatkan diri," katanya.

Kediaman dan kenderaan Eisya yang bertanda ditenggelami air dalam kejadian, Sabtu lalu. Foto Ihsan Eisya
Kediaman dan kenderaan Eisya yang bertanda ditenggelami air dalam kejadian, Sabtu lalu. Foto Ihsan Eisya

Eisya berkata, mereka terpaksa berjalan sejauh 1.5 kilometer berkaki air dan melawan arus demi menyelamatkan diri ke jalan besar.

"Kami terpaksa menumpang di rumah adik ipar kepada adik saya. Selepas air surut, Selasa lalu, saya dan suami membuat keputusan pulang ke rumah.

"Walaupun keadaan tidak sempurna apabila terpaksa tidur beralaskan tikar, kami reda. Kami lebih selesa berada di rumah sendiri kerana tidak mahu menyusahkan orang lain," katanya.

Namun, Eisya terkilan kerana dakwanya, tiada mana-mana pihak memasuki kawasan perkampungan itu untuk membantu.

"Mujur ada bantuan daripada perseorangan dan bekas suami, jika tidak, mungkin keadaan menjadi lebih sukar. Bantuan disediakan di Pusat Penempatan Sementara (PPS). Namun, bagaimana kami hendak ke sana dengan tiada kenderaan?

"Kami perlu berjalan sejauh tiga kilometer ke PPS untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Eisya berkata, keadaan mangsa yang bersesak-sesak di PPS juga menyebabkan dia memilih tinggal di rumah sendiri kerana bimbang penularan COVID-19.

Apatah lagi, Eisya yang kini berpurdah, lebih selesa berada di rumah.

Eisya mengaku buntu apabila teman-teman bertanya bentuk bantuan diperlukan.

"Memang jika diikutkan, tiada apa-apa yang tinggal. Ada yang bertanya bantuan apa yang diperlukan. Saya tidak tahu hendak cakap apa kerana semua barang dalam rumah musnah.

"Dalam keadaan diuji sebegini, kami amat berbesar hati jika ada pihak sudi menghulurkan sebarang bantuan. Kami reda dengan apa yang berlaku.

"Apa yang penting nyawa ibu dan anak-anak selamat," katanya yang baru mendirikan rumah tangga dengan seorang guru tahfiz, tahun lalu.

Eisya pernah mendirikan rumah tangga pada 2002. Namun, berpisah pada 2015. Sejak itu, Eisya kembali menetap bersama ibunya di Puchong.

Hasil perkahwinan pertamanya, Eisya dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Kasih Muhammad Haikal, 18, Kasih Muhammad Faris, 14, dan Kasih Ayesha Yasmin, 9.

Berita Harian X