Jumaat, 24 Disember 2021 | 1:00pm
Aqish menjelaskan aksi dan gayanya dalam perkongsian di Instagram (IG) sekadar mewakili perasaan pengikut. Foto IG Puteri Balqis
Aqish menjelaskan aksi dan gayanya dalam perkongsian di Instagram (IG) sekadar mewakili perasaan pengikut. Foto IG Puteri Balqis

Aqish simpan kisah silam

KUALA LUMPUR: Enggan menoleh ke belakang dan mengenang perkara yang sudah berlaku, lebih-lebih lagi pandangan serong segelintir pihak terhadap ibunya, Norashikin Mohd Aziz, mendorong bintang remaja, Puteri Balqis Azizi bersikap 'low profile'.

Tidak pernah lupa kontroversi melingkari ibu, remaja berusia 14 tahun yang mesra membahasakan dirinya sebagai Aqish lebih senang menyimpan kemas apa yang terjadi dahulu.

Aqish berlakon dalam drama Halimun bersama Nabila dan Beto.
Aqish berlakon dalam drama Halimun bersama Nabila dan Beto.

"Secara jujur, saya tidak pernah lupa apa orang buat kepada kami. Tetapi biarlah kami sahaja tahu apa yang berlaku. Saya tidak mahu hati Mummy terluka lagi," katanya kepada BH Online.

Lantaran jarang memuat naik perkembangan terkini di laman sosial, gadis yang pernah menjadi pemenang termuda Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Skrin (ASK) 2014 pada usia tujuh tahun, disangka cuba mengelak daripada gemerlapan dunia seni.

Namun, perkongsian beberapa pelakon seperti Nabila Huda dan Que Haidar yang memuat naik foto bersama Aqish seakan memberi isyarat pelakon telefilem Balqis ini sudah bersedia menyemarakkan kembali dunia seni.

"Sebenarnya, tiada istilah membuat 'comeback' kerana saya masih aktif berlakon. Tawaran untuk berlakon sentiasa ada.

"Saya sepatutnya ke Pahang untuk menjalani penggambaran telefilem Astro dan RTM. Namun, disebabkan banjir, penggambaran terpaksa ditangguhkan.

"Sebelum ini, saya baru selesai menjalani penggambaran telefilem Lebai Sampan bersama Que Haidar dan Beto Kusyairi.

"Saya juga terbabit untuk satu babak dalam drama Halimun bersama Beto Kusyairi dan Nabila Huda," katanya.

Biarpun dilihat seolah-olah hilang dari radar seni, Aqish bersyukur ramai yang masih mengingati dan mengambil berat dirinya.

Malah, Aqish mengaku tidak pernah rasa terpinggir biarpun dengan kehadiran ramai wajah baharu dalam industri.

"Tidak, saya tidak pernah rasa terpinggir. Saya sangat terkejut kerana banyak syarikat produksi menyatakan rindu untuk bekerja dengan saya. Mereka sangat menghargai saya dan sering bertanyakan khabar.

"Antaranya seperti produksi Gumbo TV yang sering bertanya khabar dan meniupkan semangat buat saya.

"Begitu juga dengan penerbit Halimun iaitu Azura Pictures, mereka sangat baik melayan saya dan sentiasa berfikiran positif.

"Keprihatinan yang ditunjukkan mereka membuatkan saya terharu. Biarpun lebih gemar bersikap 'low profile' tapi tidak sangka ada pihak yang sudi mengambil berat keadaan saya," katanya.

Ditanya mengenai sikapnya yang terlalu berahsia dan tidak seperti remaja seusia yang menjadikan Instagram (IG) tidak ubah seperti 'diari' mereka, Aqish berkata, dia lebih selesa bersikap sebaliknya.

Tambahnya, dia lebih suka teman-teman menjalin perhubungan tanpa mengetahui latar belakang dirinya.

Mengulas mengenai perkongsian di IG dengan penampilan diri yang seolah-olah misteri, 'dark' dan memperlihatkan bagai kehidupan penuh liku dan berduri, Aqish menafikannya.

Sebaliknya, Aqish mengaku melalui hidup yang gembira dan ceria seperti remaja seusia.

"Sebenarnya, apa yang ditulis dan dipaparkan untuk IG semata-mata. Kadang-kala, apa yang saya kongsi di IG mewakili perasaan pengikut saya.

"Saya hanya ingin mereka tahu bahawa saya sentiasa bersama mereka. Saya amat menghargai sokongan mereka.

"Di luar, saya menjalani hidup sama seperti remaja lain. Saya gembira hidup bersama Mummy dan kawan-kawan.

"Mungkin tidak gemar mengikut 'trend' dan tidak suka memuat naik foto 'nakal' persis gadis lain, orang melabelkan hidup saya gelap," katanya.

Dalam berdepan persepsi itu, Aqish sebaliknya membangkitkan persoalan apakah tindakan berkongsi kepayahan hidup yang diterjemah melalui puisi menandakan dirinya bermasalah.

"Apakah kerana saya tidak gemar bergelek di TikTok, saya dilabel tidak normal?" katanya.

Ditanya mengenai kesihatan dirinya, Aqish yang sering muntah darah sejak 2018, berkata dia masih perlu berulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan.

"Penyakit saya belum pulih. Saya masih alami pendarahan. Saya perlu menjalani rawatan susulan tiga bulan sekali," katanya yang masih aktif menulis buku bersama ibunya.

Berita Harian X