KUALA LUMPUR: Biarpun irama nasyid dikatakan semakin 'suram', kumpulan dianggotai generasi baharu, Zayne optimis dengan perjuangan mereka.
Ditubuhkan pada 2019, kumpulan dianggotai empat anak muda iaitu Furqan, Naufal, Mateen dan Basit beruntung kerana menjadi anak didik kepada kumpulan nasyid senior, InTeam.
Tegar memperjuangkan irama nasyid, namun, kumpulan Zayne cenderung menampilkan imej berbeza melalui gaya yang lebih fleksibel agar lebih diterima generasi muda.
Mateen atau nama penuh, Matin Muzzamil Mohd Ya'acob, berkata mereka mahu membawa imej sendiri pada era di mana artis tampil dalam pelbagai gaya.
"Konsep pakaian kami agak fleksibel dan jika diikutkan, tiada bentuk pemakaian yang tetap. Ada kalanya, kami memakai jubah, jaket, kopiah, topi dan sebagainya... Semuanya ikut keadaan dan permintaan penganjur," katanya kepada BH Online.
Tambah Mateen, mereka kagum dengan penampilan kumpulan nasyid lagenda.
"Seperti gaya kumpulan InTeam, Hijjaz, Rabbani, Raihan dan lain-lain lagi. Gaya mereka jadi fenomena. Mereka tampil sopan dan berakhlak baik.
"Kami pula pilih pakaian yang sederhana ikut kesesuaian," katanya.
Bercerita mengenai karier masing-masing, Mateen berkata, mereka ada pekerjaan tetap.
"Saya dan Naufal jadi imam. Furqan guru tahfiz dan Basit pula pengurus di sebuah organisasi.
"Namun, menyanyi adalah minat kami. Kami seronok isi masa dengan menyanyi dan buat persembahan," katanya.
Bercerita mengenai produk baharu, Zayne yang bermaksud perhiasan indah dalam bahasa Arab kini tampil dengan single kedua berjudul Kaulah Cinta.
"Alhamdulillah, selepas hampir setahun tidak tampil dengan single akibat wabak COVID- 19, akhirnya, kami berjaya lancarkan lagu kedua ini.
"Kami sangat bertuah diberi peluang bekerjasama dengan syarikat rakaman, World Peace Entertainment yang menaungi artis terkenal seperti Naim Daniel dan Ismail Izzani.
"Lagu Kaulah Cinta dicipta Shaqiel Naufal, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga," katanya sambil menambah lagu itu berkisar cinta agung kepada Allah SWT.