Jumaat, 17 Disember 2021 | 3:00pm
Mirza (tengah) dan pemain gitar Search, Din (dua dari kiri) pada program pameran dan jualan barangan muzik di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini. - NSTP/Azhar Ramli
Mirza (tengah) dan pemain gitar Search, Din (dua dari kiri) pada program pameran dan jualan barangan muzik di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini. - NSTP/Azhar Ramli

GLBM 2021 bantu penggiat muzik terjejas

KUALA LUMPUR: Menyedari ramai penggiat muzik terputus mata pencarian sejak penularan COVID-19, pemuzik yang juga bekas anggota kumpulan Purple, Mirza tampil dengan inisiatif menganjurkan program pameran dan jualan barangan muzik (GLBM 2021) di sebuah pusat beli-belah di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Selepas setahun berusaha menjayakannya, akhirnya program GLBM 2021 berjaya dilaksanakan selama dua hari dengan menyaksikan jualan peralatan muzik baharu dan terpakai pada harga berpatutan.

Mirza berkata, GLBM 2021 diadakan bagi membantu pemuzik tempatan yang berdepan dengan situasi sukar apabila tiada pendapatan sejak dua tahun lalu.

"Saya lihat ramai pemuzik yang membuka kelas muzik, kebanyakan 'bungkus' ketika era pandemik. Tidak hanya itu, semua produksi penjual barangan muzik dan pembuat alatan ganti muzik juga terhenti.

"Sebagai pemuzik, saya turut hilang pendapatan kerana tiada persembahan dan konsert sepanjang dua tahun ini. Jadi, saya perlu keluar daripada zon selesa dan tidak boleh mengharapkan pendapatan daripada acara muzik.

"Ini antara cara saya membantu pemuzik tempatan yang terkesan," katanya kepada BH Online.

Mirza atau nama sebenarnya, Md Mirza Ameruddin berkata, pada awalnya aktiviti jualan barangan muzik hanya dijalankan di Facebook menerusi Group Lelong Barang Muzik Malaysia.

Namun, katanya, ia tidak mudah dijayakan, apatah lagi Malaysia kurang pendedahan terhadap acara seperti itu tidak seperti Amerika Syarikat yang mengadakan National Association of Music Merchants, setiap tahun.

"Jujurnya, saya hampir berputus asa sebab ramai mempersoalkan boleh buat atau sebaliknya. Pada awalnya, agak sukar apabila pemuzik tidak yakin.

"Saya mencuba mendapatkan dana, tetapi tidak berjaya. Jujurnya, saya mengambil masa hampir setahun untuk merealisasikan pameran untuk membantu penggiat muzik.

"Alhamdulillah, ia akhirnya berjaya direalisasi dengan modal yang sangat terhad. Saya bersyukur ramai rakan pemuzik membantu," katanya.

Ramai pemuzik berkongsi menerima jualan dan imbuhan yang bagus dan jualan tidak putus sehingga petang selepas menyertai GLBM 2021. - NSTP/Azhar Ramli
Ramai pemuzik berkongsi menerima jualan dan imbuhan yang bagus dan jualan tidak putus sehingga petang selepas menyertai GLBM 2021. - NSTP/Azhar Ramli

Tambah Mirza, pameran ini juga bakal menyaksikan penyertaan pemuzik sekitar Asia Tenggara, tahun depan.

Katanya, dia mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pameran dan jualan barang muzik.

"Insya-Allah, kami akan menjayakan pameran berskala lebih besar, tahun depan. Ramai masih tidak nampak misi dan usaha dilakukan dalam penganjuran kali pertama ini.

"Bagaimanapun, ramai pemuzik berkongsi menerima jualan dan imbuhan yang bagus selepas menyertai GLBM 2021. Ada antaranya berkongsi jualan mereka tidak putus sehingga petang.

"Alhamdulillah, saya berpuas hati melihat maklum balas pemuzik terbabit. Saya akan cuba merealisasikan pameran lebih besar agar lebih ramai dapat menerima manfaat," katanya.

Mirza berharap, lebih ramai pihak tampil memberikan sokongan dalam bentuk penajaan agar hasrat untuk menjayakan pameran dan jualan barang muzik berskala besar berjaya.

Bagi pemain gitar kumpulan Search, Noordin Mohd Taib atau Din berkata, acara seperti GLBM 2021 sepatutnya mendapat sokongan ramai. Ia bukan sahaja membantu pemuzik dan peniaga yang kesempitan ketika pandemik COVID-19, malah mendedahkan orang ramai kepada barangan muzik tempatan.

"Acara seumpama ini kali pertama di Malaysia dan saya merasakan GLBM 2021 boleh dibesarkan lagi. Contohnya, diadakan di lokasi yang berskala lebih besar. Ataupun mungkin boleh diadakan siri jelajah.

"Sebab menerusi acara ini baru kita boleh nampak barangan muzik yang ada di Malaysia. Sebelum ini, kita kurang tahu tiada pendedahan.

"Sebelum ini, saya juga hanya menonton program seperti ini di luar negara menerusi Facebook. Menerusi GLBM 2021 bukan sahaja dapat lihat instrumen muzik lama dan baharu, malah, menyokong pemuzik tempatan yang turut serta," katanya ditemui ketika melayani peminat di gerai Home Of Champions.

Berita Harian X