Rabu, 15 Disember 2021 | 4:55pm
Shakilla anggap punca perpisahan disebabkan kesalahannya dan bekas suami yang mempunyai kekurangan diri. - Foto IG Fizi Ali
Shakilla anggap punca perpisahan disebabkan kesalahannya dan bekas suami yang mempunyai kekurangan diri. - Foto IG Fizi Ali

'Kering air mata tangisi perpisahan' - Shakilla

KUALA LUMPUR: Terlalu peribadi mendedahkan punca perpisahan, pelakon Shakilla Khoriri, 32, akur jodohnya dengan pengacara dan penyampai radio Suria FM, Fizi Ali, 32, berakhir dengan perpisahan.

Shakilla berkata, dia kini berada dalam keadaan baik, namun, percaya apa yang berlaku sudah ketentuan Tuhan.

"Ya, betul saya dan Fizi sudah berpisah. Mengenai hantaran dimuat naik Fizi menerusi Instagram (IG), itulah kenyataannya, kami memang sudah tiada apa-apa ikatan lagi.

"Saya tahu berita ini amat mengejutkan, bukan hanya orang luar yang tidak rapat dengan kami, malah, sanak saudara dan rakan-rakan juga terkejut.

"Jujurnya, saya dan Fizi sudah cuba untuk memperbetulkan hubungan, tetapi, akhirnya mungkin perpisahan boleh membuka fikiran dan hati masing-masing untuk memandang lebih jauh.

"Jika ditanya apa perasaan, saya memang sangat sedih hingga tahap sudah tiada air mata untuk ditangisi. Sayang memang terlalu sayang pada ikatan kami tiga beranak, tetapi saya lebih percaya pada ketentuan Allah," katanya kepada BH Online.

Diasak punca perpisahan, Shakilla menyifatkan ia terlalu peribadi untuk dikongsi, malah, cukup sekadar orang ramai tahu mereka sudah berpisah.

"Saya akui, kami mungkin mempunyai kesalahan dan kekurangan diri.

"Jadi, apa yang berlaku adalah pembelajaran yang sangat besar, baik untuk saya mahupun Fizi. Saya percaya ia boleh membuatkan kami lebih matang dalam membuat keputusan pada masa akan datang.

"Faktor dan puncanya, saya minta maaf. Biarlah ia menjadi rahsia yang terpendam, saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan. Saya anggap perkara sudah berlaku dan tidak perlulah memanjangkan cerita mengenai kenapa kami mengambil keputusan untuk berpisah," katanya.

Shakilla atau nama sebenarnya, Nurul Shakilla Mohd Khoriri berkata, dia dan Fizi berada dalam industri hiburan, jadi tidak mahu salah memberi kenyataan akan menjadi cerita lain.

"Walaupun ia berkaitan dengan orang lain, tetapi perkara ini sudah berlaku. Jadi, saya cukuplah dengan penjelasan ini," katanya.

Tambah pelakon drama Geng Tadarus itu, ia berikutan ramai sudah mula menuding jari.

"Ada yang mendoakan baik-baik untuk kami, ada juga sudah mula menuding jari, salah saya atau Fizi.

"Jadi, untuk tidak mengeruhkan keadaan dan tidak membuka aib sesiapa, saya, Fizi atau sesiapa sahaja ambil keputusan tidak bercerita mengenai punca perpisahan.

"Saya anggap ada sebab atau faktor yang membuatkan kami berpisah daripada kesalahan saya atau Fizi. Ia juga menjadi proses pembelajaran sebagai manusia agar belajar daripada pengalaman pada masa hadapan.

"Sebab saya tak tahu apa yang bakal dilalui pada masa depan. Jika antara saya dan Fizi bertemu dengan pasangan baharu, kami tidak akan mengulangi kesalahan sama," katanya.

Berkongsi mengenai anaknya, Ameena Sofia yang kini berusia dua tahun, Shakilla tidak menafikan, anaknya seolah-olah pelik mengapa ibu bapa tidak tinggal sebumbung.

Walaupun sudah berpisah, Shakilla dan Fizi sepakat membesarkan Ameena Sofia bersama. - Foto IG Fizi Ali
Walaupun sudah berpisah, Shakilla dan Fizi sepakat membesarkan Ameena Sofia bersama. - Foto IG Fizi Ali

Disebabkan itu, katanya, dia menunggu masa yang sesuai untuk menceritakan perkara sebenar kepada anaknya.

"Ameena sedang belajar bercakap dan sudah tentu pelik, kami tidak bersama lagi. Apabila Ameena dengan saya, bapanya tiada, begitu juga sebaliknya. Saya tahu perasan anak, tetapi Ameena tidak tahu bagaimana mahu bertanya.

"Jadi, saya mahupun Fizi akan memberi alasan salah seorang bekerja. Mungkin ada yang rasa tidak adil untuk Ameena, tetapi kami sudah berbincang dan sebulat suara untuk membesarkan anak bersama.

"Saya sibuk dengan penggambaran drama sehingga April tahun hadapan. Jadi, setiap kali saya bekerja Ameena akan diserahkan kepada jagaan bapanya.

"Jika saya ada, saya akan menjaganya. Jika kami sibuk, mak saya akan menjaga Ameena.

"Prosesnya sama sahaja seperti kami masih bersama, cuma kini, sudah tidak tinggal sebumbung," katanya.

Tambah Shakilla, dia akan berkongsi perkara sebenar dengan Ameena apabila anaknya sudah boleh memahami.

"Saya tidak mahu Ameena mendengarnya daripada mulut orang lain, jadi saya memang ada merancang untuk memberitahunya.

"Sekarang pun saya perlahan-lahan menjelaskan kepadanya walaupun Ameena tidak faham apa yang berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Shakilla berterima kasih kepada peminat mendoakan yang baik-baik buatnya sekeluarga.

"Doa baik-baik bukan doa kami kembali bersama, tetapi doakan masa depan yang baik untuk saya, Fizi dan Ameena.

"Jangan risau, Ameena tidak akan kurang kasih sayang apabila ibu bapanya sudah berpisah. Saya dan Fizi akan bersama menjaga Ameena, insya-Allah," katanya.

Terdahulu, Fizi mendedahkannya dan Shakilla sudah bercerai dan memilih untuk membawa haluan berbeza menerusi IG, hari ini.

Memaklumkan menerusi IG, Fizi atau nama sebenarnya, Muhd Hafizudin Alimudin menjelaskan biarpun sudah hidup berasingan, dia dan Shakilla sepakat membesarkan Ameena dengan penuh kasih sayang.

"Assalamualaikum semua. Maaf kepada mereka yang tertanya-tanya apa yang terjadi pada saya dalam beberapa minggu ini. 

"Dengan berat hati, saya ingin mengumumkan bahawa saya dan Shakilla tidak lagi bersama dan akan membawa haluan masing-masing. Walaupun hidup berasingan, kami bersepakat membesarkan Ameena dengan penuh kasih sayang. 

"Kami janji Ameena tetap akan merasa kasih sayang sepenuhnya dari daddy dan umi. Kami harap semua pihak dapat menghormati keputusan ini. Anggaplah jodoh kami sampai di sini," tulisnya.

Penyampai radio Suria FM itu turut berterima kasih atas doa yang diberikan terhadap keluarga kecilnya itu.

Terdahulu, Fizi dan Shakilla mendirikan rumah tangga pada 18 Februari 2018 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Ameena Sofia berusia dua tahun.

Berita Harian X