Rabu, 15 Disember 2021 | 3:00pm
Kid bersama arwah isteri, Allahyarham Noraznin Yusof dan dua cahaya matanya.
Kid bersama arwah isteri, Allahyarham Noraznin Yusof dan dua cahaya matanya.

Kid perlu masa hadapi pemergian isteri

KUALA LUMPUR: Pemain gitar kumpulan Search, Noordin Mohd Taib atau Din menyifatkan adiknya, Kid yang kematian isteri, Noraznin Yusof akibat kanser darah, akhir bulan lalu, sebagai insan kuat semangat.

Din memberitahu, dia sering melawat dan menghubungi Kid untuk bertanya khabar dan memberi sokongan sejak kehilangan insan tersayang.

"Saya tengok Kid kuat. Saya selalu hubungi dan saya pergi ke rumahnya. Bagaimanapun, kami beri dia masa dan ruang dalam menghadapi kehilangan isteri.

"Saya sedang menyusun beberapa perancangan bersama Kid. Namun, disebabkan dia baru kehilangan isteri, saya beri dia ruang.

"Sebelum ini, Kid bergelut dengan kesihatan arwah isteri dan tidak boleh beri fokus 100 peratus. Jadi, biarlah dia pulih dahulu," katanya kepada BH Online.

Pada 29 November lalu, Kid atau nama sebenar, Hamzah Mohd Taib kehilangan Noraznin yang menghidap kanser darah myeloma tahap empat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Kuala Lumpur.

Sementara itu, berkongsi mengenai perkembangan terbaru, Din berkata, dia bersama Kid mengeluarkan barangan Rockology Search: Kid'Din Collection Series pada 17 November lalu.

Din dan Kid mengeluarkan barangan Rockology Search: Kid’Din Collection Series yang mengandungi 17 barangan istimewa.
Din dan Kid mengeluarkan barangan Rockology Search: Kid’Din Collection Series yang mengandungi 17 barangan istimewa.

Produk yang dilancarkan melalui Facebook Home Of Champions (HOC) itu mengandungi 17 barangan istimewa. Antaranya cakera padat kompilasi lagu berat dan balada terbaik Search yang dipilih Din dan Kid.

"Saya buat kerja berlandaskan undang-undang, bukan 'hentam keromo'. Orang pertama yang saya hubungi untuk projek ini adalah Datuk M Nasir kerana lagu-lagu di bawah penerbitan syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd.

"Saya beritahu kami mahu ambil lagu-lagu di bawah katalog Go Search Sdn Bhd. Dia suruh datang berjumpa kakitangannya, Jennifah Johari di pejabat Luncai Emas.

"Saya buat seperti disuruh. Koleksi atau 'box set' yang dihasilkan ini mengikut undang-undang. Semua yang terbabit akan mendapat hak selayaknya," katanya.

Tambah Din, banyak halangan ditempuhi untuk merealisasikan produk itu. Namun, Din gembira apabila sambutan yang diterima cukup menggalakkan.

"Ini bukan perkara senang. Apabila saya terbabit sendiri, barulah tahu ia sukar. Apatah lagi dengan isu semasa yang kami hadapi," katanya.

Din ditemui pada program pameran dan jualan barang muzik atau Group Lelong Barang Muzik (GLBM) 2021 di Evo Mall, Bangi, baru-baru ini.

Berita Harian X