Selasa, 14 Disember 2021 | 6:39pm
Saida memilih Mohd Nooraizal yang bertugas sebagai pengurus kanan bahagian operasi di sebuah syarikat kewangan yang berusia sebaya dengannya.
Saida memilih Mohd Nooraizal yang bertugas sebagai pengurus kanan bahagian operasi di sebuah syarikat kewangan yang berusia sebaya dengannya.

Saida bertemu jodoh selepas 9 bulan bercerai

KUALA LUMPUR: Bekas peserta program realiti, Akademi Fantasia (AF) musim keenam, Siti Saida Tarudin, 45, memilih teman lama, Mohd Nooraizal Rasip, 45, sebagai pasangan hidupnya selepas menjalinkan hubungan cinta selama lima bulan.

Saida dan Mohd Nooraizal selamat diijabkabulkan di Cheras pada 12 Disember lalu. Ini adalah perkahwinan ketiga buat kakak kepada penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu.

Bagaimanapun, perkongsian Siti Nurhaliza yang memuat naik gambar dan video pada majlis perkahwinan Saida menerusi di laman Instagram mengejutkan ramai. Ini berikutan Saida merahsiakan perpisahan dengan suami keduanya.

Saida memaklumkan, dia berpisah dengan bekas suami, Hafiizh Che Mat sejak Mac lalu. Perkahwinan kedua yang dibina pada 2016 itu hanya bertahan selama empat tahun.

"Saya sudah berpisah dengan bekas suami, cuma, memilih tidak menggembar-gemburkan berita perpisahan. Saya anggap jodoh tidak panjang antara kami.

"Dalam tempoh kembali solo, saya tidak menduga insan yang sudah lama kenal atas dasar kawan sudi memperisterikan saya.

"Saya percaya jodoh ini juga ketentuan Tuhan dan sudah tertulis. Pada saat pintu hati hampir tertutup, saya membukanya semula tanpa diduga," katanya kepada BH Online.

Siti Nurhaliza turut menghiburkan pasangan pengantin yang juga kakaknya, Saida dan suami pada majlis resepsi.
Siti Nurhaliza turut menghiburkan pasangan pengantin yang juga kakaknya, Saida dan suami pada majlis resepsi.

Saida berkata, suaminya bertugas sebagai pengurus kanan bahagian operasi di sebuah syarikat kewangan berusia sebaya dengannya.

"Dia masih bujang dan kehadirannya memberi cahaya dalam hidup saya. Dia menerima saya dan anak-anak seadanya.

"Saya tertarik dengan kematangan, kejujuran dan keikhlasan hatinya. Usianya sendiri sudah cukup matang untuk berumah tangga.

"Sebelum ini, suami dengan rela hati membantu memikul tanggungjawab menjaga lima adik perempuannya. Itu juga yang buat saya yakin suami boleh menjaga saya dan anak-anak dengan baik.

"Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan. Paling penting, hubungan mendapat restu keluarga.

"Majlis akad nikah dan resepsi diadakan pada hari yang sama. Insya-Allah, berkemungkinan ada lagi satu majlis untuk sanak saudara sebelah suami," kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Saida berkata, anak bongsu, Siti Nurul Mashitah kini tinggal bersamanya. Bagaimanapun, tiga lagi cahaya mata tinggal bersama bekas suami.

Terdahulu, Saida pernah mendirikan rumah tangga dengan suami pertama, Mohd Ghazali Yahya Zikri pada 14 Disember 1996, namun berpisah pada 7 Oktober 2011.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Siti Nurunnyssa, Anas, Khalid dan Siti Nurul Mashitah.

Kemudiannya, Saida berkahwin untuk kali kedua pada 2016 bersama ahli perniagaan, Hafiizh Che Mat. Bagaimanapun, tidak dikurniakan cahaya mata.

Berita Harian X