Isnin, 13 Disember 2021 | 8:30am
Oktober lalu, Nam Ron berkongsi dua foto memaparkan dirinya tidak berbaju di IG sebagai aksi sinikal kepada penerbit yang mahukan pelakon mempunyai sejuta pengikut laman sosial. Foto NSTP Intan Nur Elliana Zakaria
Oktober lalu, Nam Ron berkongsi dua foto memaparkan dirinya tidak berbaju di IG sebagai aksi sinikal kepada penerbit yang mahukan pelakon mempunyai sejuta pengikut laman sosial. Foto NSTP Intan Nur Elliana Zakaria

'Tiada diskriminasi pilih pelakon'

KUALA LUMPUR: Polemik penyiar memilih pelakon yang mempunyai jumlah pengikut ramai dalam media sosial sebagai prasyarat 'kelulusan' slot drama, masih hangat diperkatakan.

Malah, entri dimuat naik pelakon seperti Amerul Affendi dan Zahiril Adzim dalam media sosial yang berseloroh dan sinikal berkaitan isu itu, pantas menarik perhatian netizen.

Menjelaskan pendirian syarikat, stesen televisyen (TV), Awesome TV mempertahankan prinsip asas organisasi yang mengutamakan bakat dan penampilan sebagai kriteria utama memilih pelakon.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Awesome TV, Datuk Adam Ilyas, berkata pihaknya tidak mengamalkan diskriminasi dalam aspek pemilihan pelakon.

"Secara khusus, kami lebih fokus kepada bakat dan kandungan program. Kami percaya kepada usaha mencungkil bakat baharu yang sesuai dijadikan pelapis industri kreatif.

Adam menjelaskan Awesome TV tidak mengamalkan diskriminasi dalam aspek pemilihan pelakon. Foto Ihsan Awesome TV
Adam menjelaskan Awesome TV tidak mengamalkan diskriminasi dalam aspek pemilihan pelakon. Foto Ihsan Awesome TV

"Personaliti media sosial seperti Instagram (IG), TikTok, Facebook (FB) dan sebagainya tidak semesti ada kebolehan yang sesuai untuk kandungan TV," katanya kepada BH Online.

Adam berkata, sesebuah karya perlu ada keseimbangan untuk menjadikan ia hebat dan diterima ramai.

"Bakat, jalan cerita, pengarahan dan strategi pemasaran yang baik adalah formula tepat untuk berjaya menarik tontonan masyarakat," katanya.

Adam merujuk kepada telefilem Pang Pokok Ketapang yang meletakkan Amerul sebagai teraju utama tetapi berjaya meraih lebih sejutan tontonan.

"Telefilem itu menerima ciapan tertinggi melalui platform Twitter. Rata-rata penonton memuji lakonan Amerul yang dilihat cukup menjiwai karakter," katanya.

Oktober lalu, pengarah dan pelakon berkaliber, Nam Ron berkongsi dua foto memaparkan dirinya tidak berbaju di IG.

Melalui hantaran itu, Nam Ron atau nama sebenar, Shahili Abdan menulis keterangan secara sinikal mengenai tindakannya itu sebagai menyahut cabaran stesen TV yang mahukan pelakon mempunyai sejuta pengikut dalam media sosial.

Tidak hanya itu, pengarah filem One Two Jaga itu menulis keterangan dalam nada gurauan, foto berbogel akan dimuat naik jika sasaran mencapai sejuta pengikut tercapai sebelum 2022.

Mengulas perkara itu, Nam Ron, 52, sebelum ini menafikan tindakan berkongsi foto berbaju di IG sebagai terdesak.

Jelasnya, gambar tidak berbaju dimuat naik sekadar sinikal kepada penerbit yang mahukan pelakon yang mempunyai sejuta pengikut laman sosial.

"Ramai salah faham mengenai gambar berkenaan, ia hanyalah kata-kata sinikal. Ada orang fikir saya tiada 'job', tetapi sebenarnya tidak.

"Saya muat naik gambar ini sebagai tanda protes terhadap kenyataan yang mengatakan pelakon perlu mempunyai sejuta pengikut dalam laman sosial. Disebabkan isu tidak berkesudahan, saya mahu memberi maklum balas.

"Jika benar mengejar pengikut, mungkin bukan pelakon atau orang yang tiada bakat dalam lakonan, tetapi mahu bergelar selebriti akan buat apa sahaja untuk mendapatkan sejuta pengikut," katanya.

Berita Harian X