Rabu, 8 Disember 2021 | 8:30am
Filem Polis Evo 3 yang turut dibintangi Syafiq Kyle masih tertunda tayangan berikutan situasi pandemik COVID-19 tidak menentu.
Filem Polis Evo 3 yang turut dibintangi Syafiq Kyle masih tertunda tayangan berikutan situasi pandemik COVID-19 tidak menentu.

COVID-19 halang penonton ke panggung

KUALA LUMPUR: Barangkali masih gusar dengan penularan pandemik COVID-19, sejak pawagam beroperasi semula kira-kira dua bulan lalu, sambutan penonton agak kurang memberangsangkan.

Biarpun jaminan diberi pengendali pawagam terutama dalam soal kebersihan dan keselamatan, namun, ia belum cukup meyakinkan penonton untuk beramai-ramai menyaksikan filem kegemaran mereka di layar gergasi.

Dengan jumlah kes jangkitan COVID-19 masih tinggi, situasi ini menghindar penonton daripada menjejakkan kaki ke pawagam lantas memberi sambutan dingin terhadap filem ditayangkan.

Apatah lagi kerajaan belum membenarkan kanak-kanak dibawa ibu bapa menonton filem di pawagam, tambah menjadikan premis hiburan itu lengang, lebih-lebih lagi ketika tibanya cuti persekolahan, tidak lama lagi.

Berikutan itu, timbul rasa gusar dalam kalangan penerbit dan pengarah untuk menayangkan filem di pawagam berikutan enggan mengambil risiko.

Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam yang memiliki dua filem mega 'terperam' menjadi antara 'taukeh filem' yang sanggup menunda tayangan akibat ketidaktentuan ini.

Menurut pemilik empayar Skop Production Sdn Bhd ini, tayangan dua filem hasil usaha sama dengan Astro Shaw iaitu Polis Evo 3 dan Abang Long Fadil 3 terpaksa ditangguhkan selepas menimbang pelbagai faktor.

"Dua filem itu sepatutnya ditayangkan tahun lalu, namun, sampai sekarang tidak dipertontonkan.

"Kami masih mengkaji soal itu. Dalam senario sekarang, kami tidak boleh pakai 'terjun' sahaja buat tayangan kerana ada filem yang diputarkan di pawagam tidak mencatat kutipan baik.

"Apatah lagi filem Polis Evo 3 dan Abang Long Fadil 3 menelan belanja besar. Kalau belanja filem kami kurang RM2 juta, kami masih berani mempertaruhkan nasib.

"Namun, belanja kami besar di mana kedua-dua filem menelan belanja lebih RM10 juta," katanya kepada BH Online.

Yusof percaya menanggung kerugian jika filem Polis Evo 3 dan Abang Long Fadil 3 ditayangkan pada saat penonton belum cukup yakin menyaksikan filem di layar gergasi.
Yusof percaya menanggung kerugian jika filem Polis Evo 3 dan Abang Long Fadil 3 ditayangkan pada saat penonton belum cukup yakin menyaksikan filem di layar gergasi.

Yusof percaya menanggung kerugian jika Polis Evo 3 dan Abang Long Fadil 3 ditayangkan.

"Jadi, kami akan mencari masa sesuai berikutan sekarang ada varian Omicron. Ini membuatkan kami bertambah gusar," katanya.

Sehubungan itu, bagi meneruskan kelangsungan, Yusof berkata, pihaknya menghasilkan karya untuk tayangan pawagam di rumah.

"Baru-baru ini, kami tayang filem Penunggang Agama 1 dan 2 di Astro First.

"Belanja kedua-dua filem itu tidak besar, dalam lingkungan RM1 juta. Alhamdulillah, dua filem ini mendapat sambutan baik dan berbaloi dengan belanja kami. Kami dapatlah sedikit keuntungan, bolehlah digunakan untuk survival," katanya.

Yusof berkata, ada pengusaha pawagam meragu agar filem ditayangkan di premis mereka.

"Kalau filem masuk pawagam dalam suasana sekarang, kami tidak bersemangat. Iyalah, mereka tidak mengeluarkan modal.

"Kami bersimpati dengan pengusaha pawagam. Namun, disebabkan belanja kami besar, kita ambil pendekatan untuk tunggu dan lihat.

"Kami tidak akan menolak pawagam, tapi kami tunggu masa sesuai. Syarikat saya sudah 37 tahun bertahan, kami sudah melalui banyak zaman gawat, jatuh, bangun dan sebagainya.

"Kami bersyukur masih lagi berdiri sehingga kini," katanya.

Mawi bersama barisan pelakon filem Tiada Tajuk, memilih platform OTT untuk menayangkan naskhah kedua arahannya, Hantu Kuat Ketawa, akhir bulan ini.
Mawi bersama barisan pelakon filem Tiada Tajuk, memilih platform OTT untuk menayangkan naskhah kedua arahannya, Hantu Kuat Ketawa, akhir bulan ini.

Filem Polis Evo 3 dan Abang Long Fadil 3 sepatutnya menemui penonton, tahun lalu. Selain itu, filem arahan Syamsul Yusof, Mat Kilau yang sudah hampir siap pembikinannya, juga terpaksa ditangguhkan tayangan.

Penerbit dan pengarah, Mawi yang mengusahakan Mawi World Entertainment, lebih selesa memilih platform Over The Top (OTT) untuk menayangkan naskhah terbaru, Hantu Kuat Ketawa, akhir bulan ini.

"Apabila kita memilih untuk menghasilkan filem untuk ditayangkan di platform digital seperti Astro First, kos yang dikeluarkan tidaklah seperti filem pawagam.

"Bajet maksimum adalah kira-kira RM500,000. Kita hanya keluar belanja untuk pembikinan filem sahaja. Aspek pemasaran dan publisiti, semuanya diuruskan platform penstriman," katanya.

Mawi percaya ramai penerbit berpandangan sama terutama pihak yang memperuntukkan kos jutaan ringgit untuk menghasilkan filem.

"Itu tidak termasuk soal agihan panggung wayang dan duti hiburan yang menjadi masalah kepada penerbit filem.

"Sudah tentu mereka mengharapkan pulangan yang lebih tinggi kerana kos dikeluarkan sangat besar. Jadi, daripada mereka tanggung rugi, jalan selamat adalah dengan menunda tayangan filem atau menghasilkan karya untuk platform digital," jelasnya.

Berita Harian X