Jumaat, 3 Disember 2021 | 4:33pm
Durioo Originals memperkenalkan dua siri animasi iaitu Little Ammar yang dijangka menemui penonton, bulan depan dan Mina Mila.
Durioo Originals memperkenalkan dua siri animasi iaitu Little Ammar yang dijangka menemui penonton, bulan depan dan Mina Mila.

Misi besar Durioo

KUALA LUMPUR: Selepas mengumumkan pengunduran daripada Digital Durian (DD Animation Studio) yang melahirkan siri animasi Didi & Friends serta Omar & Hana, 'orang kuat' dunia animasi digital, Sinan Ismail memperkenalkan syarikat baharu yang dikenali sebagai Durioo.

Durioo yang diasaskan Sinan berpegang misi menghasilkan siri animasi kanak-kanak Islamik bagi pasaran dunia.

Selain animasi, Durioo menjadi pemula teknologi (technology startup) yang bakal menawarkan perkhidmatan penstriman yang boleh ditonton di telefon bimbit, tab, televisyen (TV) pintar, peti android dan sebagainya.

Sinan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Durioo berkata, syarikat memperkenalkan Durioo Games iaitu platform permainan video yang membawa pengajaran Islamik.

"Kami akan menghasilkan kandungan bercirikan Islamik berkualiti tinggi. Malah, permainan video kami memberi manfaat kepada kanak-kanak kerana menyuntik nilai murni Islam.

"Kami menyasarkan satu permainan video setiap bulan. Selain itu, kami menghasilkan animasi dan kandungan sendiri dengan jenama Durioo Originals," katanya kepada BH Online.

Sinan berkata, Durioo mahu menjadi platform penyiar Netflix dan The Disney tetapi khusus untuk kanak-kanak beragama Islam.

"Ada lebih 400 juta kanak-kanak Muslim di seluruh dunia tetapi tidak banyak animasi dan permainan video berciri Islam berkualiti tinggi ditawarkan.

"Kami mahu lihat kanak-kanak seronok menonton dan bermain. Pada masa sama, mereka belajar keindahan Islam," katanya.

Sinan berkata, inspirasi menghasilkan kandungan berciri Islam timbul daripada arwah bapa yang juga pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Ketika hayatnya, arwah berulang kali mengajak saya menghasilkan animasi Islamik.

"Namun, ketika itu belum sesuai untuk saya memenuhi permintaan bapa. Ketika itu, saya masih 'kais pagi makan pagi'.

"Arwah meninggal dunia pada 2014. Saya terkilan kerana dia tidak sempat melihat perkembangan Didi & Friends," katanya.

Sinan berkongsi, Durioo mahu menjadi platform penyiar Netflix dan The Disney tetapi khusus untuk kanak-kanak beragama Islam.
Sinan berkongsi, Durioo mahu menjadi platform penyiar Netflix dan The Disney tetapi khusus untuk kanak-kanak beragama Islam.

Berbekalkan harapan arwah bapa, Sinan meneruskan impian menghasilkan animasi yang bermanfaat untuk penonton.

Sinan berkata, bagi Durioo Originals, syarikat memperkenalkan dua siri animasi iaitu Little Ammar yang dijangka menemui penonton, bulan depan dan Mina Mila.

"Little Ammar mengisahkan si comel bergigi arnab bersama arnab yang dipanggil Rapbit.

"Little Ammar adalah animasi khusus untuk kanak-kanak berusia setahun hingga empat tahun. Anak-anak kecil pasti akan terhibur dapat menyanyi, menari, melompat dan belajar bersama Little Ammar.

"Selain dendangan lagu selama tiga minit, Little Ammar juga akan menghidangkan doa, surah pendek, zikir dan video pembelajaran," katanya.

Tambah Sinan, siri animasi Mina dan Mila pula menyasarkan kanak-kanak perempuan berusia lima hingga sembilan tahun.

"Mina dan Mila adalah kembar seiras tetapi memiliki personaliti berbeza. Mereka adalah kakak kepada Little Ammar," katanya.

Sinan berkata, Little Ammar dan Mina Mila dilancarkan serentak dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

"Kami juga sedang bekerjasama dengan rakan kongsi untuk membawa Little Ammar dan Mina Mila dalam bahasa Rusia, Uzbekistan, Tajikistan, Urdu, Mandarin dan Perancis.

"Kami juga sedang berhubung dengan stesen TV tempatan dan luar negara agar dua produk kami dapat menembusi pasaran TV.

"Setakat ini perbincangan adalah positif, Insya Allah kedua-dua siri animasi itu boleh ditonton, Ramadan depan," katanya.

Berita Harian X