Selasa, 30 November 2021 | 7:03pm
Yung Raja bijak bermain dengan kata-kata, selain kebolehannya menggabungkan bahasa Inggeris dan Tamil menjadikan EP Mike cukup istimewa serta berbeza. - Foto IG Yung Raja
Yung Raja bijak bermain dengan kata-kata, selain kebolehannya menggabungkan bahasa Inggeris dan Tamil menjadikan EP Mike cukup istimewa serta berbeza. - Foto IG Yung Raja

Ekspresi bebas Yung Raja

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap kelahiran Singapura, Yung Raja muncul dengan Extended Play (EP) pertama berjudul Mike selepas menduduki carta Spotify Viral 50 Singapura dan Malaysia menerusi single Spice Boy dalam tempoh masa sehari dilancarkan pada Julai lalu.

Kemunculan EP Mike adalah kejutan penyanyi rap berusia 26 tahun buat peminatnya.

Mendapat sentuhan penerbit Flightsch & RIIDEM, ia menyerikan lagi portfolio seni Yung Raja yang baru sahaja dinobatkan salah seorang daripada 100 selebriti yang sedang meningkat naik oleh Anugerah NME yang dianjurkan di United Kingdom secara tahunan.

Selain itu, single nyanyiannya, Mami pernah menjadi sebutan Jimmy Fallon menerusi siaran langsung dalam program televisyen di Amerika Syarikat.

EP Mike mengandungi tiga lagu dan menampilkan sisi inovatif dan fleksible penyanyi rap berbakat besar itu.

Yung Raja bijak bermain dengan kata-kata, selain kebolehannya menggabungkan bahasa Inggeris dan Tamil menjadikan EP itu cukup istimewa dan berbeza.

"Projek ini lahir dari jiwa saya yang belum pernah diterjemahkan atas kertas. EP Mike menjadi titik penting dalam kerjaya dan diharap dapat menjadi pemangkin untuk saya memajukan diri sebagai penyanyi hip hop dwibahasa yang berjaya di Asia Tenggara," katanya kepada BH Online.

Yung Raja yang baru sahaja dinobatkan salah seorang 100 selebriti yang sedang meningkat naik oleh Anugerah NME di United Kingdom. - Foto IG Yung Raja
Yung Raja yang baru sahaja dinobatkan salah seorang 100 selebriti yang sedang meningkat naik oleh Anugerah NME di United Kingdom. - Foto IG Yung Raja

EP Mike mengandung ciri-ciri khas karya Yung Raja yang merujuk kepada budaya hip hop barat.

Dengan jalinan bunyi dan lirik yang berakar umbi pada identitinya berbangsa Tamil dari Asia Selatan, Yung Raja memiliki bakat luar biasa dalam seni.

Masih mengekalkan subjek sama, Yung Raja bakal menawan hati peminat dengan hala tuju muzik baharu yang menampilkan produksi muzik eksentrik dengan garapan rentak 'trap' berpaksikan muzik India Selatan.

"Tiga lagu yang dimuatkan dalam EP Mike adalah perjalanan hidup saya dalam berusaha memajukan diri. Saya cuba menyelitkan bahagian menarik dalam kehidupan menerusi karya.

"Ia cetusan karya penuh keberanian dan keterujaan mencari keseronokan, tetapi bersikap kental. Saya mempelajari banyak perkara dalam proses rakaman projek ini.

"Jujurnya, saya tidak pernah merasakan sebebas ini dalam berkarya. Bukan sahaja pembebasan pemikiran, malah membabitkan ekspresi. Bagi saya, begitu penting menyuntik keseronokan dalam muzik," katanya.

Berita Harian X