Jumaat, 26 November 2021 | 1:00pm
Program realiti, Shila Amzah Masterclass menemui penonton setiap Sabtu, jam 9 malam di 8TV. - Foto Ihsan 8TV
Program realiti, Shila Amzah Masterclass menemui penonton setiap Sabtu, jam 9 malam di 8TV. - Foto Ihsan 8TV

Shila pengetua program realiti bahasa Mandarin

KUALA LUMPUR: Kebolehan penyanyi bervokal lantang, Shila Amzah fasih bertutur dalam bahasa Mandarin menjadi kelebihannya hingga dilamar sebagai pengetua program realiti muzik, Shila Amzah Masterclass.

Shila Amzah Masterclass akan menemui penonton bermula esok, setiap Sabtu jam 9 malam menerusi saluran televisyen berbahasa Cina nombor satu negara, 8TV.

Program realiti muzik terbitan Infinitus Media Sdn Bhd dan YAYGO Entertainment Sdn Bhd itu diketuai Shila bersama barisan tenaga pengajar berpengalaman, Nicholas Teoh, Jaclyn Victor, Priscilla Abby, Kaka Azraff, Naim Daniel, Nikki Palikat dan Elvira Arul.

Hanya memilih lima protege daripada 300 peserta yang menjalani uji bakat bagi meneruskan perjuangan ke pentas Shila Amzah Masterclass.

Peserta perlu melalui latihan masterclass Boot Camp secara intensif selama 10 hari, di mana kemahiran teknikal diasah dan ketahanan psikologi diuji.

Lima protege terpilih iaitu Lydia Lim Pei San; Winnie Leong Wan Yi; June Wong Yoke Yee; Uriah See Khai dan Daniel Sher Aaton Bahadur perlu meneruskan usaha dengan lebih bersemangat untuk berdepan pelbagai cabaran yang bakal diharungi.

Bimbingan dan tunjuk ajar tenaga pengajar berpengalaman pastinya membuatkan peserta berjaya mengubah diri dalam masa singkat.

Menerusi program realiti, Shila Amzah Masterclass, Shila selaku pengetua akan sentiasa berinteraksi bersama lima protege termasuk menegur dan membimbing mereka.

Dari situ, penonton dapat menyaksikan kisah benar dan realiti yang berlaku sepanjang program realiti dijalankan. Namun, semangat protege dan perubahan ditonjolkan bakal mencapai impian mereka.

Lima protege bakal berdepan pelbagai cabaran dalam program realiti, Shila Amzah Masterclass. - Foto Ihsan 8TV
Lima protege bakal berdepan pelbagai cabaran dalam program realiti, Shila Amzah Masterclass. - Foto Ihsan 8TV

Persembahan ditonjolkan pastinya dapat mencuit hati penonton kerana peserta akan memberikan persembahan terbaik mengikut kepakaran masing-masing.

Bukan sekadar nyanyian, malah, persembahan juga akan menyentuh gaya muzik dan budaya berbeza.

Lebih lagi, pelbagai peringkat umur, personaliti dan identiti protege, program realiti ini dapat mempersembahkan gabungan muzik dan budaya unik lebih segar kepada penonton Malaysia.

Secara tidak langsung, program realiti, Shila Amzah Masterclass berjaya memupuk nilai murni iaitu kerjasama, hormat dan harmoni.

Sebaik selesai episod pertama hingga kelapan, protege akan membuat persembahan graduasi dalam episod akhir di hadapan Shila. Di penghujung persembahan, Shila akan mengumumkan pemenang pilihan, sekali gus berpeluang merakam lagu duet bersamanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Duopharma Biotech Berhad, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, sinonim kesinambungan kesihatan adalah kecantikan.

"Jadi, kami terus memperluas dan mempertingkatkan kualiti rangkaian penjagaan kesihatan dengan penambahan elemen kecantikan bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi.

"Dengan kejayaan Flavettes Effervescent Glow, Duopharma Biotech berjaya melangkah ke hadapan untuk membina rangkaian produk kecantikan, Flavettes Nutriskincare," katanya.

Berita Harian X