Khamis, 25 November 2021 | 5:34pm
ABPBH 34 mengangkat artis sensasi, Janna Nick sebagai Bintang Paling Popular dengan undian sebanyak 86,374,777. - Foto NSTP
ABPBH 34 mengangkat artis sensasi, Janna Nick sebagai Bintang Paling Popular dengan undian sebanyak 86,374,777. - Foto NSTP

ABPBH 34 rekod 4.4 juta penonton

KUALA LUMPUR: Malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 yang menerapkan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) dalam penganjuran era pandemik COVID-19 merekodkan 4.4 juta penonton.

Mengikut data Nielsen Malaysia, ABPBH 34 merekodkan 34% syer penonton dalam malam kemuncak disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), antara jam 9 hingga 11.50 malam pada 13 November lalu.

Anugerah hiburan pilihan peminat terunggul anjuran BH ini berjaya meraih tontonan lebih 460,000 menerusi penstriman acara Karpet Merah dan malam kemuncak ABPBH 34 di platform YouTube TV9, TV3, Tonton dan BH sepanjang siaran langsung.

Sehingga 22 November lalu, ABPBH 34 menerima tontonan hampir 800,000 di semua platform.

ABPBH 34 yang turut disiarkan di platform TikTok mendapat tontonan serentak tertinggi hampir 10,000 penonton dengan jumlah tontonan mencecah 350,000 tontonan.

Mengikut sumber SproutSocial, Tonton, TikTok & YouTube, tanda pagar #ABPBH34 turut menduduki carta topik tular di platform Twitter apabila meraih lebih 35,000 ciapan sepanjang siaran langsung.

Persembahan penyanyi Hazama, Datuk Zainal Abidin dan Haqiem Rusli menutup pentas ABPBH 34 di WTC KL pada 13 November lalu. - Foto NSTP
Persembahan penyanyi Hazama, Datuk Zainal Abidin dan Haqiem Rusli menutup pentas ABPBH 34 di WTC KL pada 13 November lalu. - Foto NSTP

Terdahulu, malam kemuncak ABPBH 34 mengangkat artis sensasi, Janna Nick sebagai Bintang Paling Popular dengan undian sebanyak 86,374,777.

Selain itu, artis serba boleh yang kini bergelar pengarah dan penerbit itu turut membolot trofi Pelakon Filem Wanita Popular dan Pengacara TV Popular.

Selain trofi, Janna menerima sebuah kereta dan telefon pintar Xiaomi 11T Pro (8GB + 256GB) bernilai RM2,099 sumbangan penaja utama ABPBH 34, Xiaomi.

Undian ABPBH 34 dilakukan sama ada secara percuma, pakej langganan BH digital dan cetak serta undian bersama penaja utama, Xiaomi menerusi laman web ABPBH 34 di www.abpbh.com.my.

ABPBH 34 bersiaran secara langsung melalui saluran TV3 dan tontonan menerusi YouTube BH dan TV3, TikTok dan laman web ABPBH www.abpbh.com.my.

Berita Harian X