Jumaat, 15 Oktober 2021 | 8:05pm
Bella mengaku detik menjadi ibu nikmat yang cukup indah. Foto IG Bella Nazari
Bella mengaku detik menjadi ibu nikmat yang cukup indah. Foto IG Bella Nazari

Bella Nazari dapat anak perempuan

KUALA LUMPUR: Teringin merasai proses kelahiran bayi sulung secara normal, namun, akhirnya, Bella Nazari akur menyambut puteri tersayang melalui pembedahan.

Bella yang popular dengan lagu Oh Cintaku memilih melahirkan anak sulungnya secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di sini, Selasa lalu.

Bayi perempuan diberi nama Raissa Arianna Iqbal dilahirkan pada jam 11.33 malam.

"Pada mulanya, saya berdegil hendak melahirkan anak sulung ini secara normal. Tiga kali saya lakukan 'induce' atau proses bersalin secara paksaan.

Bella dan suami menyambut kelahiran puteri sulung mereka, Selasa lalu. Foto IG Bella Nazari
Bella dan suami menyambut kelahiran puteri sulung mereka, Selasa lalu. Foto IG Bella Nazari

"Semua itu dibuat dengan harapan berlakunya kontraksi rahim sebelum kelahiran semula jadi berlaku. Namun, akhirnya, saya bersalin secara pembedahan," katanya kepada BH Online.

Bayi perempuan seberat 2.75 kilogram (kg) itu melengkapi kebahagiaan yang dibina Bella atau nama sebenar, Mas Nabiela Nazari dengan Iqbal Kamarudin sejak 7 Mac tahun lalu.

Bella mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang mendoakan dirinya dan anak dengan penuh rasa cinta.

"Tidak lupa kepada keluarga, sanak-saudara dan teman-teman yang tidak lokek berkongsi tip melahirkan anak selain meniup semangat.

"Buat suami yang sentiasa setia di sisi sejak berkahwin, melalui proses berbadan dua sampai saya jadi ibu, terima kasih untuk kasih sayang dan cinta disalurkan.

"Selepas ini, bermula fasa berpantang, melangsingkan badan 'qada' tidur yang tidak pernah cukup," katanya.

Sahabat baik penyanyi, Andi Bernadee ini mengaku detik menjadi ibu nikmat cukup indah.

"Selama ini, hanya melihat pengalaman orang jadi ibu. Sebelum ini, saya jadi ibu 'segera' kepada anak tunggal suami melalui perkahwinannya yang terdahulu," katanya.

Berita Harian X