Jumaat, 24 September 2021 | 10:58pm
Syamel mengumumkan berita kehamilan isterinya, Ernie menerusi hantaran dalam IG, malam ini. - Foto IG Syamel
Syamel mengumumkan berita kehamilan isterinya, Ernie menerusi hantaran dalam IG, malam ini. - Foto IG Syamel

Ernie alahan, hamil empat bulan

KUALA LUMPUR: Spekulasi kehamilan penyanyi Ernie Zakri, 29, akhirnya terjawab apabila berita gembira itu disahkan suaminya, Syamel menerusi hantaran dalam Instagram (IG), malam ini.

Mengulasnya, Syamel atau nama sebenar, Syameel Aqmal Mohd Fodzl, 28, memaklumkan usia kandungan isterinya kini memasuki empat bulan.

"Alhamdulillah, usia kandungan Ernie sudah empat bulan. Setakat ini, Ernie tidak pula mengidam benda pelik-pelik dan sepanjang trimester pertama, kesihatannya memuaskan.

"Cuma, apabila nak masuk trimester kedua, Ernie mula mengalami alahan terutama pada waktu pagi. Doktor maklumkan ini petanda yang bagus kerana bermakna ada tindak balas antara ibu dan bayi dalam kandungan.

"Saya bersyukur segala-galanya berjalan lancar dan saya harap orang ramai dapat mendoakan isteri dan zuriat kami sihat," katanya kepada BH Online.

Mengenai jantina anak, calon awal bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu berkata, mereka bersikap terbuka dan terima apa sahaja kurniaan Tuhan.

"Lelaki atau perempuan, ia bukan satu masalah kerana kami memang sukakan kanak-kanak.

"Apa yang pasti, kami memang tidak sabar menanti orang baharu dalam hidup kami," luah penyanyi Hidup Dalam Mati ini.

Syamel dan Ernie bersikap terbuka dan terima apa sahaja kurniaan Tuhan sama ada anak lelaki mahupun perempuan. - Foto IG Ernie Zakri
Syamel dan Ernie bersikap terbuka dan terima apa sahaja kurniaan Tuhan sama ada anak lelaki mahupun perempuan. - Foto IG Ernie Zakri

Sementara itu, penyanyi bervokal mantap ini turut meluahkan rasa syukur kerana sempat menyampaikan berita itu kepada arwah ibunya, Wan Faaizah Karim yang menghembuskan nafas terakhir, bulan lalu.

"Selama ini, saya akan berkongsi cerita dengan arwah bagi mendapatkan bantuan dan bimbingannya.

"Sebelum arwah ibu ditidurkan, kami sempat berkongsi berita ini kepadanya menerusi panggilan video. Arwah kelihatan gembira dan pada masa sama, bersedih," ujarnya.

Terdahulu, pasangan yang pernah meraih trofi Artis Kolaborasi/Duo/Kumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu diijabkabulkan pada Mac lalu dalam majlis tertutup di Masjid Puncak Alam, Selangor.

Mereka bertunang, Ogos tahun lalu selepas berkenalan ketika menyertai sebuah program realiti empat tahun lalu.

Berita Harian X