Ahad, 19 September 2021 | 5:21pm
Zizi terpikat dengan sikap lemah lembut Yusuf, manakala suaminya itu terpesona dengan suara. - Foto Zizi Kirana
Zizi terpikat dengan sikap lemah lembut Yusuf, manakala suaminya itu terpesona dengan suara. - Foto Zizi Kirana

'Zizi, Yusuf enggan bercinta lama-lama'

KUALA LUMPUR: Tiada istilah kahwin secara tergesa-gesa atau cuba menyembunyikan perkara baik membabitkan pasangan selebriti, Zizi Kirana, 36, dan Yusuf Bahrin, 29, apabila memilih bersatu sebagai suami isteri, pagi ini.

Meskipun ramai masih terkejut dengan tindakan Zizi dan Yusuf yang dilihat cuba menyembunyikan perkahwinan, namun pasangan itu mempunyai alasan berbuat sedemikian.

"Kami minta maaf tidak berkongsi berita gembira ini lebih awal. Jujurnya, segala-galanya berlaku cukup pantas dan tarikh nikah diperoleh pada Jumaat lalu, sekitar jam 4.30 petang.

"Bayangkan, kami perlu membuat pelbagai persiapan dalam tempoh dua hari. Walaupun tempoh singkat, kami bersyukur semuanya berjalan lancar.

"Kami juga berkenalan dalam tempoh singkat selama dua bulan, tetapi menemui keserasian, jadi tidak perlu bercinta lama-lama.

"Lagipun, saya dan Zizi enggan membuang masa dan mahu mengelak perkara bukan-bukan apabila terlalu lama bercinta," kata Yusuf kepada BH Online.

Yusuf dan Zizi ditemui dalam sidang media secara virtual selepas majlis akad nikah, tengah hari ini.

Terdahulu, dengan sekali lafaz, Yusuf sah bergelar suami kepada Zizi atau nama sebenar, Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil pada majlis yang berlangsung di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju.

Pasangan itu dinikahkan Ketua Imam Masjid Usamah Bin Zaid, Ustaz Mursyidi Abdul Hamid, jam 10.40 pagi ini, berwalikan bapa pengantin perempuan, Mad Tahil.

Pada majlis itu, Yusuf menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300, sebentuk cincin, sirih junjung dan senaskhah al-Quran, manakala jumlah wang hantaran tidak didedahkan.

Sebagai balasan, Zizi yang membolosi pencalonan awal kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Faizal Tahir dan Elly Mazlein menerusi lagu Empat Dara 2020 menghadiahkan gelang tangan buat suaminya itu.

Majlis akad nikah diadakan secara tertutup mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dan hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan baik.

Zizi dan Yusuf akan mengadakan majlis resepsi di Sabah dan Melaka. - Foto Zizi Kirana
Zizi dan Yusuf akan mengadakan majlis resepsi di Sabah dan Melaka. - Foto Zizi Kirana

Yusuf turut meluahkan rasa syukur apabila hasrat memperisterikan Zizi yang hanya dikenali selama dua bulan dipermudahkan.

"Apabila menyuarakan hasrat melamar Zizi, emak merestui keputusan saya tanpa banyak soal walaupun tidak pernah bertemu Zizi.

"Selepas itu barulah mereka berjumpa, itupun secara virtual. Apabila orang tua bersetuju, ini petanda baik dan harus disegerakan walaupun bercadang menamatkan zaman bujang pada usia 35 tahun," cerita pelakon yang mula meledak menerusi drama rantaian, Sweet Dreams ini.

Mengulas perwatakan Zizi yang membuatkan hati tertawan, sekali gus mahu memperisterikannya, aktor tinggi lampai itu mengakui, sikap bersahaja Zizi berjaya memikat hati.

"Zizi memiliki perwatakan selamba. Ada kala saya pelik apabila Zizi tiba-tiba berubah menjadi lembut, sedangkan sikapnya tidak begitu apabila bersama teman lain.

"Selain tertarik dengan perwatakannya, Zizi juga seorang menghormati orang tua. Paling saya suka adalah suaranya ketika mengalunkan selawat. Sangat menyentuh hati," ujarnya.

Mengenai perancangan cahaya mata, pasangan ini bersikap terbuka dan menyerahkan kepada rezeki.

"Kami tidak merancang. Orang kata, kalau sangkut, sangkutlah," ujar Yusuf.

Bagi meraikan anggota keluarga dan sahabat handai, pasangan itu merancang mengadakan dua majlis resepsi secara berasingan.

"Insya-Allah, majlis resepsi akan diadakan di keluarga sebelah Zizi di Sabah pada Disember depan, disusuli majlis rumah keluarga saya di Melaka. Jemputan akan menyusul kemudian," kata Yusuf.

Mengulas jurang usia antara mereka, Zizi tidak menganggap perkara itu sebagai satu halangan besar.

Bagi penyanyi kelahiran Semporna, Sabah itu, walaupun Yusuf lebih muda tujuh tahun, namun keperibadian dimilikinya lebih matang daripada usia sebenar.

"Walaupun lebih muda daripada saya, perwatakan Yusuf jauh lebih matang. Apabila bersamanya, saya tidak rasa seperti lebih tua.

"Lagipun, saya suka cara percakapan Yusuf yang lemah lembut. Namun, jika mula membebel, nampak seperti ciri-ciri seorang bapa. Mungkin sebab cita rasa saya lebih kepada lelaki muda, jadi perkara ini bukanlah satu masalah," ujarnya sambil tertawa.

Zizi dan Yusuf berkenalan ketika menjalani sesi rakaman program All Together Now Malaysia, dua bulan lalu.

Kemesraan pasangan berkenaan mencuri perhatian ketika tampil dalam IG Live, baru-baru ini apabila Yusuf secara berseloroh memanggil Zizi dengan gelaran sayang hingga tular dalam aplikasi TikTok.

Begitu juga Zizi meninggalkan komen bertulis Habibi bermaksud 'kesayanganku' dalam bahasa Arab, selain menulis CHK dipercayai bermaksud 'cinta hatiku'.

Berita Harian X