Jumaat, 17 September 2021 | 7:00pm
Farah bersama tiga anak perempuannya. Foto Ihsan Farah Ahmad
Farah bersama tiga anak perempuannya. Foto Ihsan Farah Ahmad

Farah tak sangka jadi calon awal ABPBH 34

KUALA LUMPUR: Sepanjang 23 tahun menceburi dunia lakonan dan kerja belakang tabir, Farah Ahmad tidak pernah terlintas berada dalam kelompok artis popular.

Tidak hairanlah, menantu pelakon dan aktivis teater terkenal, Fauziah Nawi ini terkejut dirinya bolos calon awal dua kategori pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

Bertanding atas tiket filem terbitan Kuman Pictures Sdn Bhd berjudul Roh yang ditayangkan tahun lalu, ibu tunggal tiga anak ini berentap dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular bersama Namron.

"Bagi saya cukup kalau berlakon ini, hasil kerja dan bakat seni kita dapat dikongsi tidak kira melalui medium filem atau cabang seni lain.

"Tapi kali ini, sekalipun dalam pencalonan awal, saya tetap berterima kasih kepada pihak yang memerhatikan bakat saya ini.

"Kalau dulu, arwah suami, Pitt Hanif selalu cakap akan tiba masanya bakat saya diperhatikan. Tetapi, kali ini, pencalonan ABPBH 34 jadi bukti bakat dan kerja keras saya semakin diberi perhatian.

"Kepada yang sudi mengundi dan terus menyokong saya, tak terbalas jasa semua.

Bertanding atas tiket filem Roh yang ditayangkan tahun lalu, Farah berentap dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular bersama Namron pada ABPBH 34. Foto Ihsan Farah Ahmad.
Bertanding atas tiket filem Roh yang ditayangkan tahun lalu, Farah berentap dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular bersama Namron pada ABPBH 34. Foto Ihsan Farah Ahmad.

"Saya tidak pernah fikir soal dicalonkan pada anugerah berpaksikan popular macam ABPBH 34. Apa yang saya tahu selama ini, dapat skrip, buat kajian, seterusnya, panjangkan rasa itu kepada penonton," katanya kepada BH Online.

Ibu kepada Thia Farhana, Dhia Farhana dan Mhia Farhana ini mengakui canggung apabila namanya berada dalam pencalonan ABPBH 34.

"Saya masih Farah Ahmad yang sama. Saya akan terus menyokong bakat muda dan rakan industri yang terus mahu mencari seni dalam diri.

"Saya masih 'sempoi', pergi ke mana mana berselipar dan tanpa secalit mekap. Saya suka berkebun, itu tidak boleh tinggal. Saya juga suka meluahkan isi hati dan memberi ketenangan kepada kenalan menerusi kerja seni.

"Apa-apapun, terima kasih penganjur ABPBH 34 atas dua pencalonan ini," katanya yang aktif berteater.

Bagi Farah yang pernah membintangi filem Tombiruo, Suatu Ketika dan Jibam ini, seni baginya mengajar manusia menjadi orang, bukan 'orang-orang'.

"Belajar seni lakon ini, banyak tip kita boleh sesuaikan dalam kehidupan realiti. Contohnya, sedar diri, ruang dan rakan lakon. Pendek kata, banyak ilmu boleh 'memanusiakan' kita. Ini termasuk seni lakon yang mengajar kita jadi orang.

"Macam kalau kita pergi ke tempat orang, kita kena hormat dan tertib. Jangan sembarangan ikut kepala sendiri.

"Istilah 'orang-orang' itu merujuk kepada sesuatu benda yang mirip seperti manusia yang digunakan untuk menakutkan burung, contohnya, di sawah.

"Dalam konteks itu, kita tidak mahu jadi seperti 'orang-orang' yang ibarat rela disangkut atau diperlakukan apa sahaja ke atasnya," katanya.

Terbaharu, Farah membintangi drama The Hotel arahan Helmi Yusof.

Selain Farah, drama yang disiarkan menerusi slot Megadrama Astro Ria sejak Rabu lalu, dibintangi anggota kumpulan K-Clique, MK, Mira Filzah, Sean Lee, Natasha Elyzza dan Yasmin Hani.

Berita Harian X