Rabu, 15 September 2021 | 10:00am
Peletakan jawatan Ahmad Idham sebagai CEO FINAS mengejutkan ramai, malah dikhuatiri menjejaskan perancangan FINAS meneruskan pelan ‘reset’ industri perfileman yang terjejas teruk akibat COVID-19.
Peletakan jawatan Ahmad Idham sebagai CEO FINAS mengejutkan ramai, malah dikhuatiri menjejaskan perancangan FINAS meneruskan pelan ‘reset’ industri perfileman yang terjejas teruk akibat COVID-19.

'15 bulan terlalu singkat'

KUALA LUMPUR: Dikejutkan berita peletakan jawatan Ketua Pegawai Operasi (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri seperti disahkan Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, Ahad lalu, penggiat seni pengganti dipilih boleh memberi sumbangan bermanfaat kepada industri kreatif.

Semalam, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khir Mohd Noor menyarankan pengganti dipilih dalam kalangan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), bukannya kakitangan kontrak.

Bagi penggiat seni termasuk pemimpin persatuan mewakili penggerak industri kreatif, tempoh 15 bulan dipegang Ahmad Idham sebagai CEO terlalu singkat dan peletakan jawatannya, dikhuatiri menjejaskan perancangan FINAS bagi meneruskan pelan 'reset' industri perfileman yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Apatah lagi, kerajaan baru-baru ini melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membolehkan pekerja seni yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19, kembali ke lapangan masing-masing.

Pengarah Urusan Kuasatek Pictures Sdn Bhd, Mohd Noor Kadir menyifatkan kejayaan Ahmad Idham mendepani cabaran mengurus tadbir FINAS ketika pandemik COVID-19 meletakkan standard yang tinggi kepada calon pengganti.

"Rekod cemerlang sepanjang menerajui FINAS memberi tekanan kepada sesiapa sahaja yang menggantikan tempatnya jika individu terbabit mahu mencapai apa yang dilakukan Ahmad Idham itu.

"Kalau kita lihat kembali sejarah penubuhan FINAS, belum pernah perbadanan itu menjadi semeriah hari ini apabila pelbagai insentif diberikan dan juga pelaksanaan dasar yang boleh melonjakkan lagi aktiviti seni.

"Rasanya tak perlu untuk kita bentangkan apa yang dilakukan Ahmad Idham kerana ramai yang sudah tahu.

"Saya yakin, selepas ketiadaan Ahmad Idham dan jawatannya diganti dengan orang baharu, mereka yang selama ini asyik buat bising, meluahkan rasa tak puas hati akan berasakan perbezaannya nanti," katanya.

Mohd Noor menyifatkan kejayaan Ahmad Idham mendepani cabaran mengurus tadbir FINAS ketika pandemik COVID-19 meletakkan standard yang tinggi kepada calon pengganti.
Mohd Noor menyifatkan kejayaan Ahmad Idham mendepani cabaran mengurus tadbir FINAS ketika pandemik COVID-19 meletakkan standard yang tinggi kepada calon pengganti.

Tambah produser yang menerbitkan drama rantaian popular seperti Mr Cinderella dan Salam Taj Mahal ini, penubuhan program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) adalah antara sumbangan paling bermanfaat Ahmad Idham kepada industri.

"Pada saya, beliau berjaya mengubah ekosistem dalam industri dengan menubuhkan MyCap menggantikan Padu Citra yang semakin statik fungsinya sejak ditubuhkan.

"Apabila memperkenalkan MYCap dan menjadikan 10 persatuan seni sebagai anggotanya secara tidak langsung menjadikan sistem lebih proaktif dan impian untuk melihat industri seni kreatif semakin membangun bakal menjadi kenyataan," katanya.

Ahad lalu, Zakaria mengesahkan Ahli Lembaga FINAS bersetuju melepaskan Ahmad Idham dan menyokong penuh perjalanan kerjaya seterusnya.

Zakaria dilaporkan berkata, Ahli Perbadanan FINAS gembira Ahmad Idham beralih ke kementerian yang membuka ruang untuk industri kreatif melakukan anjakan lebih besar.

Kolum Desas Desus dalam sisipan B*POP, BH Ahad lalu, melaporkan desas-desus bertiup kencang menyatakan Ahmad Idham bakal menyandang jawatan penting di sebuah kementerian bertaraf diplomat.

Difahamkan, tugasan baharu Ahmad Idham masih berkaitan dunia seni, kreatif dan budaya. Namun, tugasan lebih mencabar apabila membawa budaya, muzik dan filem ke mata dunia.

Berkongsi pandangan sama dengan Mohd Noor, pelakon senior, Jasmin Hamid bersetuju penubuhan MyCap sebagai antara idea bernas yang pernah dicetuskan Ahmad Idham.

"Sepanjang mentadbir urus FINAS, saya nampak banyak pembaharuan yang dilakukannya. Cuma kekangan yang dihadapi menyebabkan banyak usahanya tergendala.

"Pelbagai bentuk dana dan insentif diberikan kepada penggiat seni. Malah, penubuhan MYCap dianggap usaha terbaik darinya kerana program itu membantu menyelesaikan isu bayaran rendah yang sering dihadapi artis veteran dan pelakon senior seperti kami," katanya.

Jasmin dan Raja Mukhriz melihat banyak pembaharuan dilakukan Ahmad Idham, malah benih disemai sepanjang menerajui FINAS menunggu masa membuahkan hasil.
Jasmin dan Raja Mukhriz melihat banyak pembaharuan dilakukan Ahmad Idham, malah benih disemai sepanjang menerajui FINAS menunggu masa membuahkan hasil.

Ditanya calon bagaimanakah yang sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ahmad Idham itu, pelakon drama bersiri Cukup Derita Itu mengharapkan individu terbabit mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang sama dengan pelakon dan pengarah itu.

"Kalau boleh biarlah calon itu peka dengan apa yang berlaku kepada industri dan orang di sekelilingnya. Kita semua tahu sebelum menjadi CEO FINAS, Ahmad Idham adalah seorang pelakon, pengarah dan penerbit.

"Dia bukanlah jenis pemimpin yang hanya menerima laporan semata-mata. Sebaliknya turut turun padang untuk mengetahui masalah sebenar yang berlaku kepada industri," katanya.

Sementara itu, biarpun sedih dengan pengunduran Ahmad Idham itu, pengarah, Raja Mukriz Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin tetap bangga kerana kredibiliti Ahmad Idham ketika menerajui FINAS mendapat pengiktirafan tertinggi kerajaan.

"Apabila dapat tahu mengenai berita itu, memanglah saya rasa sedih kerana bagi saya, khidmat Ahmad Idham di FINAS masih lagi diperlukan.

"Banyak benih yang sudah disemai sepanjang menerajui FINAS dan menunggu masa membuahkan hasil. Sayang rasanya jika tidak bersama-sama untuk menuai hasil tanamannya itu.

"Bagaimanapun, saya tetap bangga kerana dia menjadi wakil penggiat seni yang hasil kerja kerasnya selama ini mendapat pengiktirafan hingga ditawarkan jawatan penting di sebuah kementerian," katanya.

Berita Harian X