Sabtu, 11 September 2021 | 8:37am
Scha berpendapat tema #KITABERSAMA sangat sesuai diangkat ketika rakyat ‘berperang’ melawan pandemik COVID-19 dan mencapai imuniti berkelompok.
Scha berpendapat tema #KITABERSAMA sangat sesuai diangkat ketika rakyat ‘berperang’ melawan pandemik COVID-19 dan mencapai imuniti berkelompok.

Calon 'freshie' ABPBH 34

KUALA LUMPUR: Setiap kali Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) dianjurkan, dalam belasan kategori dipertaruhkan, tumpuan pasti terarah kepada pesaing diwakili bakat baharu atau layak digelar 'freshie' dalam dunia hiburan.

Tidak hairanlah, saban tahun, wajah calon awal kategori Artis Baharu Wanita Popular dan Artis Baharu Lelaki Popular antara yang dinanti-nantikan peminat terutama generasi muda atau kumpulan sebaya yang selama ini 'mengekori' mereka di platform digital.

Kembali dengan tema #KITABERSAMA, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 yang dilancarkan BH, semalam, berkongsi aspirasi dengan calon awal dua kategori terbabit yang rata-rata baru bertatih dalam dunia seni dan cuba mengenal erti kemasyhuran serta tanggungjawab yang datang bersama status selebriti.

Dalam berdebar menanti undian peminat, calon awal Artis Baharu Wanita Popular dan Artis Baharu Lelaki Popular teruja menjayakan kempen promosi ABPBH 34 dan menganggap pengisian tema mengajak rakyat Malaysia merapatkan hubungan dan semangat kekitaan dalam melawan COVID-19 kena pada masanya.

Pelakon drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek, Scha Elinnea, berkata tema #KITABERSAMA sangat sesuai diangkat ketika rakyat 'berperang' melawan pandemik COVID-19 dan mencapai imuniti berkelompok.

"Tema dipilih penganjur sangat sesuai dengan perjalanan kita yang sama-sama berusaha memutuskan rantaian COVID-19.

"Bagi saya, kita kena belajar hidup dengan virus ini. Apa yang kita boleh lakukan adalah sentiasa berdoa kepada Tuhan, amalkan prosedur operasi standard (SOP) dan pastikan kita mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

"Ini akan membantu negara mencapai imuniti berkelompok," katanya kepada BH Online.

Meerqeen bersyukur kepada Allah atas rezeki pencalonan awal, menandakan kehadirannya dalam industri seni tanah air dipandang.
Meerqeen bersyukur kepada Allah atas rezeki pencalonan awal, menandakan kehadirannya dalam industri seni tanah air dipandang.

Scha atau nama sebenar, Natasha Mohamed Mubeen, 22, berterima kasih kepada ABPBH 34 yang mencalonkan dirinya dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular.

"Tersenarai dalam pencalonan awal sudah menggembirakan Scha. Ini bermakna orang di luar nampak bakat dan usaha saya.

"Semoga pencalonan ini menjadi titik tolak untuk saya pergi lebih jauh," katanya.

Sementara itu, pelakon drama Angkara Cinta, Meerqeen berkata, selepas hampir dua tahun rakyat berdepan penularan COVID-19, semua orang sepatutnya sudah mempelajari banyak perkara termasuk mengekalkan keharmonian masyarakat.

"Seperti tema ABPBH 34, sudah sepatutnya kita bersatu hati dan memegang kata kunci 'unity' dalam kehidupan seharian.

"Perpaduan kita amat diperlukan dalam melawan virus ini. Kita kena belajar hidup dengan COVID-19. Usah lalai dengan SOP dan jangan ambil mudah," katanya.

Baru ‘setahun jagung’ bertapak dalam dunia seni, Aniq tidak menyangka menembusi senarai 20 calon awal kategori Artis Baharu Lelaki Popular.
Baru ‘setahun jagung’ bertapak dalam dunia seni, Aniq tidak menyangka menembusi senarai 20 calon awal kategori Artis Baharu Lelaki Popular.

Ditanya mengenai dirinya yang bolos calon awal Artis Baharu Lelaki Popular, Meerqeen atau nama sebenar, Muhammad Syameer Shauqeen Shaiful Izam, 20, bersyukur atas pencalonan itu ketika dirinya baru bertapak dalam dunia seni.

"Saya bersyukur kepada Allah dengan rezeki atas pencalonan awal ini. Ini menandakan kehadiran saya dalam industri seni tanah air dipandang.

"Tiada perkara paling menggembirakan selain kehadiran orang baharu seperti saya, dihargai. Ini menandakan industri kreatif masih bergerak biarpun pelbagai dugaan dihadapi sejak akhir-akhir ini," katanya.

Baru 'setahun jagung' bertapak dalam dunia seni, Aniq Suhair tidak menyangka dirinya menembusi senarai 20 calon awal kategori Artis Baharu Lelaki Popular.

Jejaka berusia 21 tahun yang mencipta nama menerusi drama Lelaki Lingkungan Cinta ini mengaku tidak pernah meletakkan harapan untuk dirinya dikenali sebegitu pantas, namun, bersyukur cubaannya bergelar pelakon, dihargai.

"Saya terkejut dan tidak sangka. Saya baru setahun dalam industri seni dan sudah dicalonkan pada ABPBH.

"Saya bersyukur atas rezeki ini dan berharap tersenarai hingga peringkat Top 5 serta menang," katanya.

Syafi mengaku namanya belum cukup besar dan kualiti lakonan tidak setanding calon lain.
Syafi mengaku namanya belum cukup besar dan kualiti lakonan tidak setanding calon lain.

Cukup menghargai pencalonan acara anugerah berprestij ini, Aniq atau nama sebenar, Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh berjanji melakukan yang terbaik demi membanggakan industri kreatif tempatan.

"Insya-Allah, saya akan berusaha lebih keras untuk menyemarak industri seni. Saya mahu menjadi artis yang baik di mata semua orang," katanya yang menyokong tema #KITABERSAMA.

Selain membintangi drama seperti Budak Intern, Tak Sempurna Mencintaimu, Hanya Ada Kita, Aniq turut diberi kepercayaan membintangi dua filem iaitu Banglo Seksyen 12 dan Chomel.

Sementara itu, anak pendakwah bebas dan ahli akademik, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, iaitu Syafi Tee, 28, merendah diri apabila tersenarai dalam calon awal edisi ke-34 ABPBH ini.

Syafi mengaku namanya belum cukup besar dan kualiti lakonan tidak setanding calon lain, apatah lagi, dirinya berdepan masalah keresahan atau 'anxiety'.

"Alhamdulillah, saya disenaraikan. Saya tidak percaya diri dicalonkan. Sejak mula berlakon, saya berdepan banyak dugaan termasuk masalah keresahan.

"Saya bergelut untuk berlakon atau beraksi depan kamera. Apabila berlakon di hadapan orang, saya mengalami keresahan teruk hingga menggigil dan berpeluh.

"Apabila dimarahi, saya sukar menghafal skrip. Tetapi saya tidak boleh menyalahkan orang lain kerana masalah ini memang dalam diri saya," katanya yang belajar menenangkan diri apabila dilanda keresahan.

Dengan kekurangan dimiliki, pelakon Hadiah Dari Tuhan ini menyifatkan pencalonan dalam ABPBH sebagai rezeki dan berkat doa keluarga.

Syafi yang digilap bakat menerusi Drama Festival Kuala lumpur (DFKL) 2019 mula berlakon menerusi drama Tuan Danial. Dia juga muncul dalam drama Ironi Kasih, Dear Cinta, So Kampung, Tragedi Balik Kampung dan Hadiah Dari Tuhan.

Undian calon awal kategori utama dan online ABPBH 34 bermula semalam sehingga 3 Oktober depan.

Layari www.abpbh.com.my untuk mengundi artis kegemaran anda. Penaja utama ABPBH 34 adalah Xiaomi.

Berita Harian X