Ahad, 22 Ogos 2021 | 10:53pm
Syamel masih belum berpeluang melawat ibunya berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan hospital. - Foto Syamel
Syamel masih belum berpeluang melawat ibunya berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan hospital. - Foto Syamel

Syamel berdebar bunyi deringan telefon

KUALA LUMPUR: Hati penyanyi lagu Hidup Dalam Mati, Syamel sentiasa diburu kebimbangan setiap kali telefonnya berdering, terlalu takut menerima berita mengenai ibunya.

Ibunya, Wan Faaizah Karim, 55, masih koma selepas terpaksa ditidurkan berikutan masalah kekurangan oksigen dalam badan di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara sejak hampir sebulan lalu.

Syamel berkata, ibunya masih dalam pengawasan doktor berikutan keadaan kesihatan masih belum stabil.

"Hingga kini, umi belum sedarkan diri sejak dimasukkan ke hospital pada pertengahan bulan lalu. Doktor memaklumkan, keadaan umi belum stabil dan perlu pengawasan rapi.

"Kali terakhir saya dimaklumkan sistem pernafasan umi ada peningkatan. Cuma, doktor perlu memantau dari segi ubatan dan melihat tindak balas ubat ke atas umi," katanya kepada BH Online.

Berikutan keadaan ibunya, Syamel berkata, hatinya sentiasa tidak tenang memikirkan keadaan ibunya.

"Saya amat risau dengan keadaan umi. Setiap hari, sebelum atau selepas bangun tidur, saya mesti rasa gerun terutama apabila terima panggilan telefon bapa atau hospital.

"Perasaan berdebar menghantui diri sepanjang masa, takut apa-apa berlaku pada umi.

"Nasib baik bapa tinggal dengan adik-adik, jadi saya terlalu risau keadaannya apabila umi dirawat di hospital. Dalam situasi sukar ini, saya akan selalu menghubunginya supaya tidak berasa sunyi," kata Syamel.

Perasaan berdebar menghantui diri Syamel sepanjang masa, lebih lagi, jika menerima panggilan telefon bapa atau hospital. - Foto IG Syamel
Perasaan berdebar menghantui diri Syamel sepanjang masa, lebih lagi, jika menerima panggilan telefon bapa atau hospital. - Foto IG Syamel

Dalam pada itu, Syamel berkata, dia reda masih belum berpeluang melawat ibunya berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan hospital.

"Kami hanya membuat panggilan video sebelum umi ditidurkan. Nak ziarah tidak dibenarkan, SOP hospital tidak membenarkan pelawat masuk.

"Saya mohon peminat mendoakan kesihatan ibu supaya cepat sembuh dan pulang segera ke pangkuan keluarga," katanya.

Terdahulu, BH melaporkan Syamel menafikan ibunya dijangkiti COVID-19 dan tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius, malah tidak pernah dimasukkan ke hospital sepanjang hidupnya.

Berita Harian X