Khamis, 19 Ogos 2021 | 3:00pm
FDAM lancar program imunisasi COVID-19 berkelompok sasar ahli berdaftar, tanpa mengambil kira aktif atau sebaliknya termasuk artis, pelakon tambahan, penerbit dan kru, melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.
FDAM lancar program imunisasi COVID-19 berkelompok sasar ahli berdaftar, tanpa mengambil kira aktif atau sebaliknya termasuk artis, pelakon tambahan, penerbit dan kru, melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Hampir 100% ahli dua dos

KUALA LUMPUR: Mengambil inisiatif sendiri, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) melancarkan program imunisasi COVID-19 berkelompok dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebagai persediaan pembukaan sepenuhnya industri kreatif.

Enggan berpeluk tubuh dan menanti ahli mendapat suntikan melalui prosedur biasa ketika majoriti penggiat seni mengeluh poket kian menepis, FDAM yang melancarkan program itu bulan lalu, berjaya merekodkan 98 peratus ahli sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Biro Kesejahteraan Sosial FDAM, Ahmad Hashim, berkata, 1,037 individu dan 267 anggota keluarga ahli sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

"Individu yang sudah mendapat dua dos suntikan vaksin COVID-19 merangkumi artis, pelakon tambahan, penerbit dan kru.

Dua peratus lagi ahli yang belum melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 adalah mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan memerlukan nasihat doktor.

"FDAM ada ramai ahli yang berusia lebih 70 tahun. Jadi, mereka perlu mendapatkan pengesahan doktor sebelum disuntik vaksin COVID-19.

"Ahli lain ada yang sudah menerima suntikan vaksin sebelum program imunisasi COVID-19 berkelompok ini dilancarkan. Jika mahu diikutkan, hampir 100 peratus ahli FDAM sudah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19, iaitu kurang sebulan dari tarikh pelancaran program ini," katanya kepada BH Online.

Bulan lalu, FDAM melancarkan program imunisasi COVID-19 berkelompok untuk ahli di PPV sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Program itu menyasarkan semua ahli berdaftar, tanpa mengambil kira mereka aktif atau sebaliknya termasuk artis, pelakon tambahan, penerbit dan kru, melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Malah, suami atau isteri ahli termasuk anak berusia lebih 18 tahun yang menetap dan berdaftar di Lembah Klang, dibenarkan menyertai program imunisasi COVID-19 berkelompok itu.

Ahmad berkata, pada mulanya, program imunisasi COVID-19 berkelompok itu mahu dianjurkan bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Namun, ketika cadangan diusul, FINAS sedang berusaha menganjurkan projek PPV FINAS.

"Disebabkan kami terdesak mencapai imunisasi berkelompok agar boleh kembali bekerja, kami tidak boleh berdiam diri dan menunggu FINAS.

"Kami khuatir projek PPV FINAS mungkin mengambil masa. Jadi, kami hubungi pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Putrajaya untuk mendapatkan bantuan.

"Bagaimanapun, tidak ramai ahli yang dipanggil untuk menerima vaksin COVID-19 melalui inisiatif itu," katanya.

Ketua Biro Kesejahteraan Sosial FDAM, Ahmad Hashim.
Ketua Biro Kesejahteraan Sosial FDAM, Ahmad Hashim.

Ahmad berkata, FDAM kemudian mengutus surat kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan mendapat maklum balas.

"Selepas berbincang, jabatan bersetuju memberikan vaksin COVID-19 kepada ahli FDAM," katanya.

Ahmad berkata, bantuan doktor dari Klinik Kesihatan Cheras membolehkan pasangan ahli termasuk anak mendapat suntikan vaksin COVID-19 di premis berkenaan.

Atas semangat kekitaan dan mahu industri kreatif dibuka sepenuhnya, Ahmad berkata, program imunisasi COVID-19 berkelompok itu ditawarkan kepada ahli Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan penggiat seni lain.

Ahmad berkata, keputusan membuka program imunisasi COVID-19 berkelompok kepada badan lain selaras keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan kerja penggambaran diteruskan di bawah Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

"Apabila kami sudah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19, dapatlah buat kerja. Sejak pandemik, FINAS tidak lagi mengeluarkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

"Kami sangat lega dan bersyukur apabila inisiatif ini dapat direalisasikan. Terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Selangor, Klinik Kesihatan Cheras dan PPV yang membantu kami," katanya.

Antara PPV yang terbabit dalam program imunisasi COVID-19 berkelompok FDAM adalah Hospital Serdang; Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam; Axiata Arena Bukit Jalil; Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Ahli FDAM dan persatuan lain yang diundang turut mendapat suntikan vaksin COVID-19 di Universiti Teknologi MARA (UITM) Puncak Alam; Klinik Kesihatan Cheras dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Berita Harian X