Khamis, 29 Julai 2021 | 5:20pm
Nazri (berdiri) membuat kejutan kepada AG dan Fad apabila memperkenalkan Fara sebagai rakan gandingan GPH di konti Hot FM, hari ini. - Foto IG Hot FM
Nazri (berdiri) membuat kejutan kepada AG dan Fad apabila memperkenalkan Fara sebagai rakan gandingan GPH di konti Hot FM, hari ini. - Foto IG Hot FM

Fara kembali ke Hot FM

KUALA LUMPUR: Stesen radio popular, Hot FM mengejutkan pendengar apabila mengumumkan Fara Fauzana sebagai gandingan Geng Pagi Hot (GPH) bersama AG Azmeer dan Fad Bocey, hari ini.

Perkara itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Radio Media Prima, Nazri Noran kepada AG dan Fad melalui entri Instagram (IG) Hot FM bahawa mereka digandingkan dengan Fara untuk segmen GPH.

Nazri berkata, gandingan Fara, AG dan dan Fad bertepatan dengan hala tuju dan pengisian baharu Hot FM.

"Perubahan ini bagi mendorong pertumbuhan positif dan meningkatkan tahap relevan jenama agar terus berdaya saing dalam pasaran.

"Kami memberi cabaran kepada AG dan Fad sejak minggu lalu untuk melihat keserasian dan mempersiapkan diri dalam memberi pengisian terbaik buat pendengar.

"Kami menerima banyak reaksi positif pendengar selepas beberapa hari mereka ke udara. Kami percaya dua personaliti ini boleh membawa Hot FM ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan.

Kembalinya Fara sebagai penyampai Hot FM seiring pengumuman pengurusan rangkaian radio Media Prima Berhad (MPB), RIPPLE berhubung transformasi perniagaan yang membabitkan perubahan operasi, isi kandungan dan barisan penyampai radio.

Sebelum ini, AG dan Fad diberi peluang mengendalikan segmen GPH, sejak seminggu lalu. Sehubungan itu, trio AG, Fad dan Fara menjadi sebahagian pengisian terbaharu Hot FM, mulai Isnin ini.

Fara, AG dan Fad akan menghangatkan segmen GPH setiap Isnin hingga Jumaat, antara jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Nazri berkata, pemilihan Fara melengkapkan segmen GPH.

"Bakat dan aura Fara tidak boleh dipertikaikan. Ini dapat dilihat menerusi komen positif diterima pendengar, hari ini," katanya.

Nazri bersama trio GPH, Fara, AG dan Fad. - Foto IG Hot FM
Nazri bersama trio GPH, Fara, AG dan Fad. - Foto IG Hot FM

Katanya, pihaknya teruja memberikan lebih banyak kandungan menarik kepada pendengar setia radio di Malaysia.

"Jangan lupa mendengarkan stesen radio Hot FM dan semua rangkaian radio MPB bermula 2 Ogos depan.

"Kami mengatur pengisian terbaik bagi memastikan pendengar teruja dan terhibur untuk mendengarkan radio setiap hari," katanya.

Sementara itu, Fara mengaku perasaan bercampur baur ketika kembali ke konti stesen radio itu.

"Kemasukan semula saya dalam jentera hadapan Hot FM sejajar dengan selera pendengar secara meluas.

"Saya diberitahu, Hot FM kini tampil dengan wajah baharu dan membawa hala tuju lebih segar.

"Sebelum ini, mungkin sasaran pendengar dalam kalangan generasi muda. Tetapi dengan adanya hala tuju baharu, stesen radio ini menyasarkan kelompok pendengar dengan lebih meluas.

"Ini termasuk kepelbagaian barisan penyampai radio," katanya kepada BH Online.

Ditanya mengapa kembali ke konti radio, Fara mengaku minatnya terhadap dunia radio tidak pernah pudar.

"Minat dan cinta dalam dunia radio tidak pernah hilang. Sebelum ini, saya dipanggil menyertai stesen radio lain dan terima kerana ingin bersama dengan pencinta radio.

"Saya rasa lebih rapat dengan pendengar apabila ke udara. Saya sangat teruja namun gementar kembali ke konti radio.

"Namun, Alhamdulillah, saya terima banyak komen positif dan sokongan semua pihak termasuk pengurusan, keluarga, rakan media dan pendengar Hot FM," katanya.

Fara, AG dan Fad menghangatkan segmen GPH bermula Isnin ini. - Foto IG Hot FM
Fara, AG dan Fad menghangatkan segmen GPH bermula Isnin ini. - Foto IG Hot FM

Tambah Fara, dia bersama AG dan Fad menjanjikan sesuatu yang lebih segar dan baharu selepas membuat kajian intensif.

"Saya mahu memastikan penyampaian dan isi kandungan yang diberikan relevan dengan kehendak pendengar masa kini.

"Saya akui pasti banyak perkara baharu yang perlu dipelajari kerana kehendak pendengar sentiasa berubah.

"Saya bersama dengan pengurusan giat mengatur strategi bagi memastikan pengisian terbaik buat pendengar setia Hot FM dari dahulu hingga sekarang," katanya.

Mengenai rakan penyampai yang sudah tidak bersama Hot FM, Fara berkata, ia adalah strategi pihak pengurusan.

"Saya percaya semua penyampai radio menghormati apa sahaja keputusan pihak pengurusan kerana ia adalah sebahagian strategi bisnes yang perlu dilakukan.

"Sebagai penyampai radio, saya masih belajar daripada rakan penyampai radio lain di Malaysia mahupun luar negara. Bagi penyampai radio yang sudah tidak bersama Hot FM, mereka adalah rakan saya, jadi proses belajar antara satu sama lain tidak pernah terhenti.

"Apa saja yang dilakukan dalam kerjaya memberi inspirasi kepada saya. Saya mahu ucapkan selamat maju berjaya kepada mereka," katanya.

Terdahulu, Fara atau nama sebenarnya, Farah Fauzana Mohd Fadzil pernah berkhidmat dengan stesen radio Hot FM selama 10 tahun dan membuat keputusan mengundurkan diri pada 2016.

Berita Harian X