Khamis, 29 Julai 2021 | 3:00pm
Rosmin berpendapat penubuhan PIMM membolehkan penggerak muzik bekerjasama dengan kerajaan meningkatkan pencapaian sektor itu di persada antarabangsa. Foto Ihsan RIM
Rosmin berpendapat penubuhan PIMM membolehkan penggerak muzik bekerjasama dengan kerajaan meningkatkan pencapaian sektor itu di persada antarabangsa. Foto Ihsan RIM

Misi genggam trofi Grammy

KUALA LUMPUR: Pencapaian penyanyi Malaysia di pentas muzik serantau dan antarabangsa seperti dipelopori Datuk Sheila Majid yang mencipta kejayaan besar di Indonesia dan Jepun pada era 1980-an, disusuli kemasyhuran dicipta Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Yuna yang melebarkan sayap di Amerika Syarikat (AS), menjadi petanda industri muzik tempatan boleh dipertingkatkan melalui strategi dan sokongan kerajaan.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim, berkata penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) membolehkan penggiat muzik bekerjasama dengan kerajaan untuk membawa muzik tempatan ke tahap lebih tinggi termasuk bersaing di pentas Anugerah Grammy.

"Sebelum ini, industri muzik tempatan sudah mempopularkan artis seperti kumpulan Search, Slam, Exists dan lain-lain ke negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.

"Malah, melalui usaha syarikat rakaman sendiri, Red Room Records, Yuna berjaya menempa nama di pasaran antarabangsa.

"Artis Cina tempatan A-Niu, Fish Leong, Gary Cao, Penny Lai dan Michael & Victor juga mencapai kejayaan besar di pasaran Pan-China.

"Penyanyi India tempatan, Mugen Rao pula memenangi pertandingan nyanyian popular, Big Boss 3 di India dan makin gah di negara itu," katanya dalam kenyataan.

Rosmin berkata, dengan asas kukuh yang sudah terbina dan tertubuhnya PIMM, pemuzik tempatan boleh dibantu untuk mencapai kejayaan lebih besar di persada antarabangsa.

"Bayangkan apa yang dapat kita capai bersama dengan sokongan dan pembiayaan berfokus dari PIMM.

Penubuhan PIMM membolehkan usaha membawa karya muzik Malaysia ke pasaran antarabangsa termasuk bersaing di pentas Anugerah Grammy mampu digerakkan. Foto IG Rasmi Recording Academy/Grammy
Penubuhan PIMM membolehkan usaha membawa karya muzik Malaysia ke pasaran antarabangsa termasuk bersaing di pentas Anugerah Grammy mampu digerakkan. Foto IG Rasmi Recording Academy/Grammy

"Lagu dari Malaysia yang memenangi Anugerah Grammy di Amerika Syarikat (AS) boleh menjadi kenyataan," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan penubuhan PIMM yang meletakkan ekosistem industri muzik kepada tiga bahagian utama iaitu penghasilan, persembahan dan pendidikan.

Enam objektif utama penubuhan PIMM digariskan antaranya menjadi badan khusus merangka dan memastikan pembangunan industri muzik yang diselaraskan secara holistik dengan sinergi pelbagai pihak.

Rosmin berkata, laporan kajian impak ekonomi industri muzik dikeluarkan Price Waterhouse Coopers (PWC) pada 2016 menyebut industri muzik tempatan menjana keluaran ekonomi berganda bernilai RM13.4 bilion setiap tahun kepada ekonomi Malaysia.

Tambahnya, industri muzik menawarkan pekerjaan kepada 83,113 rakyat Malaysia setahun dan sumbangan cukai sebanyak RM247 juta setahun.

"Harta intelek dari kandungan seperti filem, animasi, permainan dan muzik mampu menjadi antara tiang utama pertumbuhan ekonomi Malaysia kini.

"Watak animasi, Upin & Ipin yang dicipta syarikat produksi tempatan, Les' Copaque bukan saja popular di Malaysia, malah sangat popular di Indonesia mempunyai nilai jenama yang sangat tinggi.

"HYBE iaitu sebuah syarikat hiburan di Korea mampu mencapai nilai kira-kira RM38 bilion (USD9 bilion) ketika disenarai awam di negara itu, baru-baru ini.

"Ini menunjukkan potensi cukup besar yang dimiliki syarikat rakaman di Malaysia," katanya.

Rosmin berkata, biarpun Malaysia mempunyai jumlah penduduk yang dianggap kecil iaitu kira-kira 32 juta orang, namun, sumber bakat muzik tempatan cukup ramai.

"Lagu slow rock yang dihasilkan penulis lagu dan artis Malaysia seperti Search, Wings, Exists, Slam, Iklim dan Hattan diminati ramai di Indonesia.

"Lagu nasyid yang dihasilkan kumpulan nasyid tempatan yang popular seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz dan In-Team mampu menembusi pasaran muslim dunia yang cukup besar," katanya.

Sehubungan itu, Rosmin berkata, RIM berharap dapat memainkan peranan aktif sebagai anggota jawatankuasa penaja PIMM untuk merangka dasar dan inisiatif yang dapat memastikan kelangsungan pertumbuhan, kejayaan dan kelestarian ekosistem muzik tempatan.

Ditubuhkan pada 1978, RIM terbabit dalam pembangunan industri muzik Malaysia selama lebih 40 tahun. RIM mewakili 366 ahli merangkumi syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa.

Berita Harian X