Khamis, 29 Julai 2021 | 1:00pm
Cucu P Ramlee, Najua menghiburkan pelayar persembahan FB Live Malam Puisi Getaran Jiwa Tan Sri P Ramlee, baru-baru ini. Foto FB FDAM
Cucu P Ramlee, Najua menghiburkan pelayar persembahan FB Live Malam Puisi Getaran Jiwa Tan Sri P Ramlee, baru-baru ini. Foto FB FDAM

P Ramlee diangkat Pemuisi Legenda

KUALA LUMPUR: Ketokohan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam berkarya terutama kebijaksanaannya dalam menjadikan gelagat manusia dan alam sebagai ilham menghasilkan khazanah seni penuh tersirat, melayakkan beliau diangkat sebagai Pemuisi Legenda.

Aprisiasi terhadap reputasi gah P Ramlee dilihat pada Malam Puisi Getaran Jiwa Tan Sri P Ramlee anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) serta Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang mengangkat Allahyarham sebagai Pemuisi Legenda.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat, berkata karya ciptaan P Ramlee terus diminati ramai sehingga muncul individu bergelar klon Seniman Agung itu.

"Namun, P Ramlee cuma seorang dan sehingga kini, kehilangannya masih tiada galang ganti. Seolah-olah kena dengan lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti... Lagu itu antara yang sering mengusik indera pendengaran kita.

"Saya melihat program untuk mengangkat Seniman Agong itu sebagai Pemuisi Legenda adalah sangat bertepatan kerana sehingga kini, P Ramlee tiada tolok bandingannya.

"Pemerhatian P Ramlee terhadap alam dan kerenah manusia sentiasa menjentik ilham beliau untuk menghasilkan karya yang menarik, bermutu dan penuh dengan nilai seni.

"Karyanya tersurat pelbagai pengajaran sekali pun ditulis dalam nada sindiran dan jenaka," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Acara yang julung kalinya diadakan itu disiarkan secara langsung selama dua jam melalui Facebook PEMUISI, FDAM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.

Pada acara itu, Noor Zari, tokoh bahasa, persuratan, perfileman dan personaliti hiburan tempatan bergabung mendeklamasi puisi dan lagu yang ditujukan khas buat P Ramlee.

Noor Zari mencuri tumpuan dengan menyampaikan puisi bertajuk Legenda Sepanjang Zaman karya Dr Lim Swee Tim.

Pelayar turut dihiburkan dengan komedi spontan oleh pengacara seiras seniman legenda itu, Musly Amir Mohamed Ramli atau terkenal dengan nama pentas, Musly Ramlee.

Acara itu turut dijayakan Penaung PEMUISI, Tan Sri Hamad Kama Piah Che' Othman; Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Awie turut mendeklamasikan puisi adaptasi daripada filem Hang Tuah bertajuk Taming Sari Jadi Saksi. Foto FB FDAM
Awie turut mendeklamasikan puisi adaptasi daripada filem Hang Tuah bertajuk Taming Sari Jadi Saksi. Foto FB FDAM

Turut memeriahkan acara, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan; Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Hashim Yaacob; Presiden PEMUISI, Datuk Dr Radzuan Ibrahim dan Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim.

Tidak ketinggalan, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie; Timbalan Presiden FDAM, Datuk Zulkeflie M Osman dan cucu Seniman Agung, Najua Nasir turut menghiburkan penonton dengan persembahan puisi dan lagu popular P Ramlee.

Awie yang berbusana pahlawan Melayu lengkap dengan keris mendeklamasikan puisi adaptasi daripada filem Hang Tuah bertajuk Taming Sari Jadi Saksi karya Dr Zainatul Shuhaida Abdull Rahman serta mendendangkan lagu Madu Tiga.

Najua yang mempersembahkan lagu Tunggu Sekejap dipetik daripada filem Sarjan Hassan terharu diundang sebagai wakil Seniman Agong itu.

"Penganjur memberi pilihan sama ada mahu mendeklamasikan puisi atau menyanyi. Saya pilih menyanyi kerana saya ada studio mini dalam bilik.

"Saya rindukan pentas... Perasaan itu terubat walaupun hanya membuat persembahan secara maya. Saya harap acara mengangkat dan memperingati P Ramlee, seniman dan seniwati tanah air dapat diteruskan," katanya.

Berita Harian X