Khamis, 29 Julai 2021 | 8:30am
Berikutan SOP mengawal penularan COVID-19, Syamel tidak mendapat kebenaran untuk melawat ibunya di hospital. Foto IG Syamel
Berikutan SOP mengawal penularan COVID-19, Syamel tidak mendapat kebenaran untuk melawat ibunya di hospital. Foto IG Syamel

Syamel risau ibu masih koma

KUALA LUMPUR: Tiada yang lebih merisaukan penyanyi Syamel apabila mengenangkan ibunya, Wan Faaizah Karim, 55, yang masih koma selepas terpaksa ditidurkan berikutan masalah kekurangan oksigen dalam badan di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara, sejak minggu lalu.

Selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), ibunya tidak menunjukkan banyak perubahan.

Namun, Syamel atau nama sebenar, Syameel Aqmal Mohd Fodzly bersyukur keputusan ujian saringan mengesahkan ibunya tidak dijangkiti COVID-19.

"Doktor beritahu emak mengalami masalah pernafasan dan bergantung sepenuhnya dengan mesin oksigen.

"Bagaimanapun, Syamel bersyukur selepas menjalani ujian saringan, penyakit emak bukanlah COVID-19. Ketika emak mula-mula jatuh sakit, perkara itulah yang membimbangkan Syamel.

Syamel dan ibu tercinta, Wan Faaizah. Foto Ihsan Syamel
Syamel dan ibu tercinta, Wan Faaizah. Foto Ihsan Syamel

"Cuma apabila mengenangkan emak terpaksa ditidurkan dan bernafas menggunakan mesin, perkara itu sangat merisaukan Syamel," katanya kepada BH Online.

Syamel berkata, ibunya terpaksa ditidurkan untuk mengurangkan pergerakan yang menggunakan lebih banyak oksigen.

"Biasalah, apabila sudah berusia, untuk bergerak sedikit sudah memerlukan banyak oksigen. Jadi, doktor bagi emak berehat sahaja," kata naib juara Akademi Fantasia (AF) 2015 ini.

Lebih membuatkan suami kepada penyanyi Ernie Zakri ini terkilan adalah tidak dapat menziarah ibunya berikutan terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) hospital yang ketat.

"Ketika mula-mula masuk wad, kesihatan emak masih lagi okay. Sempatlah kami berbual menerusi panggilan video hinggalah doktor maklumkan berita emak terpaksa ditidurkan.

"Dalam situasi sekarang, pelawat memang tidak dibenarkan... Tertekan jugalah perasaan. Tapi doktor pesan jangan risau kerana sebarang perkembangan, mereka akan maklumkan," katanya.

Syamel mengaku kasihan melihat ayah yang risau dengan keadaan ibu.

"Sudahlah kami tinggal berjauhan, hendak jumpa pun tak boleh. Mujur ada adik, sekurang-kurangnya boleh tengokkan ayah," katanya.

Syamel turut memohon peminat dapat mendoakan kesejahteraan kesihatan ibunya.

"Saya memohon jasa baik anda semua supaya dapat mendoakan ibu saya cepat sembuh dan pulang ke pangkuan keluarga," katanya.

Berita Harian X